Rabu, 22 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pasangan warga emas rugi RM6,000 dirompak kali ketiga

Posted: 22 Feb 2012 02:54 AM PST

Mutakhir

GURUN: Pasangan suami isteri warga emas kerugian kira-kira RM6,000 selepas dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang dan pedang dalam satu kejadian di rumah mereka di Kampung Sungai Rotan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa Md Isa Taib, 75, dan isterinya Che Puan Amin, 61, kehilangan wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba serta lima telefon bimbit dan ia adalah kali ketiga keluarga itu dirompak.

Che Puan berkata, sebelum kejadian, hanya beliau, suami serta anak perempuannya berusia 22 tahun saja berada di rumah dan mereka sedang tidur di bilik masing-masing. "Tiba-tiba saya terjaga dan melihat sudah ada tiga perompak di depan mata saya sedang bercakap dengan suami. Tiga perompak itu memegang pisau, pedang dan parang.

"Mereka mengikat mulut dan tangan serta menutup muka dan kepala kami dengan selimut tebal hingga sesak nafas," katanya kepada pemberita di rumahnya dekat sini, hari ini.

Che Puan berkata, salah seorang perompak pergi ke bilik anak perempuannya sebelum memecahkan pintu bilik dengan sebuah tong gas dan menariknya ke bilik mereka sebelum mengikat tangan, kaki serta menutup mulutnya dengan kain.

Katanya, beliau dan suami turut cedera pada bahagian belakang badan dan tangan akibat dipukul oleh tiga perompak itu.
"Suami kena pukul pada bahagian tangan kanan sebab mereka tanya di mana barangan berharga lain tapi kami bagi tahu tak ada. Saya pula kena tendang di belakang sebab cuba bangun untuk bercakap," katanya.

Che Puan berkata, dalam kejadian kira-kira satu jam itu, anak perempuannya turut cedera pada bahagian mulut akibat ditampar salah seorang perompak kerana enggan memberi telefon bimbit yang diminta.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Polis tubuh pasukan khas banteras bookie bola sepak di setiap negeri

Posted: 22 Feb 2012 02:50 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas di setiap negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membanteras aktiviti 'bookie' bola sepak yang semakin berleluasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata kerjasama dengan badan induk bola sepak negara itu perlu kerana FAM lebih memahami tindak tanduk serta prestasi pemain bola sepak.

"Malahan FAM mampu memantau dengan lebih telus sekiranya terdapat pemain yang mempunyai cara hidup lebih mewah daripada sepatutnya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gejala rasuah dalam bola sepak negara apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Perlis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah membabitkan pasukan itu yang kalah 2-7 di tangan MP Muar pada 9 Januari lalu.

Abdul Jalil berkata, FAM yang juga panel Jawatankuasa Rasuah dan Disiplin SPRM, dapat memberikan polis lebih maklumat terperinci mengenai kegiatan bookie daripada terus menjadi penyakit dalam industri sukan negara. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan