Rabu, 22 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kelayakan Olimpik: Malaysia gigit jari, tumpas 0-4 kepada Jepun

Posted: 22 Feb 2012 07:52 AM PST

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda A sekali lagi dirundung duka apabila dibelasah teruk 0-4 kepada Jepun pada perlawanan kelima saingan kumpulan C Kelayakan Olimpik London 2012 bagi Zon Asia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Jepun bermula garang sejak awal babak pertama melakukan beberapa cubaan berbahaya bagi membolosi gawang gol negara yang dikawal rapi oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia hampir memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma pada minit ke-24 namun ia gagal digunakan sepenuhnya oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria apabila sepak derasnya tersasar.

Jepun yang terus melakukan asakan bertubi-tubi ke gawang gol Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi gol pertama yang dijaringkan oleh Sakai Hiroki pada minit ke-35.


Pemain berusia 22 tahun skuad Samurai biru, Osako Yuya kemudian menyumbang gol kedua hasil tandukan pada minit ke-44.


Pada babak kedua perlawanan, pasukan Jepun mula berpesta gol apabila Haraguchi Gengki menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55, diikuti gol keempat oleh Saito Manabu lima minit kemudian.

Jepun dijadual bertemu Bahrain pada 14 Mac depan.

Malaysia kalah kesemua perlawanannya sebelum ini dan berada di tangga tercorot antara empat pasukan dalam kumpulan C.

Kali terakhir skuad bola sepak negara layak ke Olimpik adalah pada tahun 1972 di Munich, Jerman yang ketika itu dikenali Jerman Barat. -- BERNAMA



Bangsal judi babitkan nilai pertaruhan sehingga setengah juta ringgit sehari diserbu

Posted: 22 Feb 2012 03:06 AM PST

SHAH ALAM: Polis berjaya membanteras kegiatan perjudian 'Pasar Malam' setelah menyerbu sebuah bangsal tepi sungai di Jalan Bagan, pekan Tanjong Karang, yang dijadikan sarang perjudian membabitkan nilai pertaruhan antara RM100,00 dan RM500,000 sehari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira jam 5 petang semalam, polis turut menahan 10 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang leka bermain judi di bangsal berkenaan.

Beliau berkata polis merampas 440 cip pelbagai warna, 200 keping kad, 30 biji dadu, beberapa kad angka dan wang tunai sebanyak RM23,870.

"Siasatan mendapati kesemua mereka merupakan pelanggan tetap bangsal judi itu dan kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk tempatan yang bekerja sebagai petani dan peladang," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.


Mohd Adnan berkata kesemua lelaki berusia antara 15 dan 53 tahun terbabit masih ditahan dan polis sedang mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut.


Dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata polis sedang mengesan empat lelaki dikenali sebagai M Baksaran, 26; M Mahendran, 31; G James, 31; dan M Thiagu, 21, berhubung kes bunuh dan tetak seorang pengawal keselamatan di tapak projek substesen Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Seksyen 18 di sini pada 1 Februari lalu.

Katanya mereka yang mempunyai maklumat berhubung kesemua lelaki itu diminta menghubungi ASP Effandy Muin di talian 013-3414887. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan