Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Taman jadi laluan lori tanah

Posted:

Taman jadi laluan lori tanah

Taman jadi laluan lori tanah

Oleh ZUHARMAN MOHAMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my


SALAH sebuah lori yang membawa muatan untuk projek perumahan melalui jalan Taman Rimbunan Desa, Peringat, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 20 Feb. - Lebih 500 penduduk Taman Desa Rimbunan, Peringat dekat sini bimbang dengan keselamatan dan kesihatan mereka apabila jalan di taman tersebut dijadikan laluan utama lori tanah untuk ke projek perumahan baharu di kawasan berhampiran.

Keadaan yang berlarutan selama dua tahun itu juga telah menyebabkan kawasan taman tersebut berdebu, manakala longkang dan jalan rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 10 lori membawa tanah melalui jalan tersebut.

Pengerusi persatuan penduduk taman itu, Abdul Aziz Daud, 72, berkata, pihaknya telah beberapa kali membuat laporan kepada pihak berkaitan, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Kami telah membuat aduan kepada Majlis Daerah Ketereh (MDK), namun kami diberikan sepucuk surat bahawa pihak berkuasa tersebut telah memberikan kebenaran kepada lori tanah itu menggunakan laluan tersebut.

"Perkara ini sudah berlarutan hampir dua tahun dan projek perumahan yang sedang dibina di belakang kawasan taman ini adalah projek persendirian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Nazri Mohamad, 41, berkata, masalah debu di kawasan berkenaan semakin serius sehingga membahayakan kesihatan penduduk.

Katanya, penduduk di situ telah menutup dua daripada tiga laluan yang digunakan lori tersebut kerana tidak tahan dengan keadaan yang berdebu.

Zulkifli Mohamad, 42, berkata, penduduk di taman ini mendesak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan kerana ia mengancam keselamatan dan kesihatan.

"Sistem perparitan juga rosak ekoran laluan yang digunakan mendap, longkang di perumahan ini turut pecah.

"Keadaan menjadi lebih teruk apabila musim hujan. Air bertakung dan mengakibatkan banjir," katanya.

Maulidur Rasul di Kemaman meriah

Posted:

Maulidur Rasul di Kemaman meriah

Maulidur Rasul di Kemaman meriah

Oleh SAPEE MAT JUNUS
utusanterengganu@utusan.com.my

CUKAI 20 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Islam sebagai memperingati peristiwa besar keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sambutan itu juga diadakan sebagai simbol memuliakan baginda dengan berusaha mengikuti ajaran dan panduan yang telah ditinggalkan.

Lazimnya, sambutan diisi dengan ceramah di surau-surau dan masjid atau di sekolah-sekolah mengenai sirah atau sejarah kehidupan Rasulullah, di samping perarakan yang menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Di Terengganu, sambutan yang digerakkan oleh pelbagai pihak dan sambutan terbesar di negeri ini berlangsung di daerah Kemaman baru-baru ini.

Di Kemaman, acara kemuncaknya diadakan perarakan yang dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 40,000 penduduk setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengetuai perarakan yang mencatatkan penyertaan terbesar dalam tradisi perarakan setiap tahun yang dianggapnya sebagai cerminan perpaduan yang semakin kukuh.

Katanya, sambutan kali ini adalah di luar jangkaan kerana kebiasaannya ia dalam lingkungan 30,000 penyertaan.

"Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha kita menjalin kesepakatan sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW," katanya pada sidang media selepas mengetuai perarakan bermula di Padang Astaka dan mengelilingi bandar Cukai.

Turut serta, isteri beliau, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera; ADUN Kemasik, Ir. Rosli Othman; ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman.

Perarakan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu dewasa sejauh tujuh kilometer, institusi pendidikan sejauh lima kilometer dan tabika dua kilometer mengelilingi bandar Cukai.

Sementara itu, beberapa penduduk tempatan dan pelancong asing ketika ditemui menyuarakan rasa gembira dan teruja melihat perarakan itu.

Pelancong Holland, Eline Trudy, 50, berkata, dia kagum melihat masyarakat Islam di negara menyambut kelahiran Rasulullah melalui perarakan yang berwarna-warni.

"Saya kagum dengan pelbagai perayaan agama dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Bagi penduduk tempatan, Syed Mohd. Saharzi Syed Alwi, 42, berkata, dia gembira kerana berpeluang bersama puluhan ribu anggota masyarakat dalam sambutan ini.

"Walaupun terpaksa berjalan sejauh tujuh kilometer, saya tidak merasa penat malah terasa begitu seronok," ujarnya.

Nurhayati Yusuf, 25, berkata, dia rasa amat gembira kerana turut berada dalam suasana penuh meriah.

"Tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan sambutan yang sebegini hebat dengan menggabungkan 40,000 warga Kemaman dan ini suatu sejarah," katanya.

Sebagai penghargaan, penyertaan dan penampilan setiap kontinjen dalam perarakan itu dinilai untuk diberikan hadiah.

Ia dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk kategori jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Tempat pertama bagi kategori itu dimenangi oleh Pesama Timber, Pejabat Agama Daerah (kedua) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah (ketiga)

Bagi kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tempat pertama disandang oleh JKKK Batu Empat Binjai manakala JKKK Bukit Teruna (kedua) dan JKKK Mak Lagam (ketiga).

Untuk kategori Wanita UMNO, tempat pertama dimenangi Batu Empat Binjai manakala Jawatankuasa Aktiviti Kemas (kedua) dan Sungai Ibok (ketiga).

Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang manakala kategori sekolah menengah diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Cukai.

Hari bersama keluarga di Seberang Takir meriah

Posted:

Hari bersama keluarga di Seberang Takir meriah

Hari bersama keluarga di Seberang Takir meriah


PARA peserta sibuk menyiapkan masakan sewaktu pertandingan itu anjuran Penyelaras Pergerakan Wanita UMNO DUN Seberang Takir, Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 20 Feb. - Kesibukan kerja sebagai pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak menghalang Fatimah Hashim, 35, memenuhi minatnya dalam ukiran buah-buahan.

Biarpun tidak mempunyai asas dalam seni kulinari itu, Fatimah berusaha mengasah bakat dengan mengutip kemahiran daripada kakaknya.

Buat pertama kali, dia begitu teruja apabila menyertai pertandingan mengukir buah anjuran Penyelaras Pergerakan Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dekat sini semalam.

Fatimah merupakan antara 20 peserta yang menyertai acara mengukir buah, salah satu acara yang mengumpulkan penduduk sekitar kawasan itu untuk bersama dalam pelbagai kegiatan sepanjang sehari itu.

"Hari ini, saya cuba menyertai pertandingan ini dan dapat bersama-sama penduduk setempat yang berkongsi minat yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada program itu.

Program sehari di Dataran Permata Kampung Baru yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik dan pertandingan memasak hidangan tengah hari.

Dengan kerjasama Kolej Inforana dan syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), turut diadakan demonstrasi masakan daripada chef jemputan serta pertandingan membuat kek cawan oleh kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman yang merasmikan program itu menyifatkan aktiviti tersebut sebagai 'hari untuk wanita bersama keluarga'.

Katanya, program seumpama itu dapat mengeratkan silaturahim di antara kaum wanita dari 20 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.

"Kita memang tidak sangka sambutan amat memberangsangkan dan di harap ia memberi ruang menggembirakan bagi wanita yang sentiasa sibuk menguruskan keluarga," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan