Isnin, 20 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


KL, Bangkok kenal pasti enam bidang berpotensi

Posted: 20 Feb 2012 04:03 PM PST

Nasional

PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra bersama Datuk Seri Najib Razak ketika diperkenalkan kepada jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan pada majlis sambutan rasmi setibanya beliau di Dataran Perdana Putra, semalam.

PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra bersama Datuk Seri Najib Razak ketika diperkenalkan kepada jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan pada majlis sambutan rasmi setibanya beliau di Dataran Perdana Putra, semalam.

Najib mahu kerjasama ekonomi 2 negara dipertingkat

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand mengenal pasti enam bidang berpotensi iaitu industri automotif, menguruskan industri getah di kawasan sempadan, jaminan makanan, jaminan tenaga, minyak dan gas serta pelancongan yang membolehkan kerjasama ekonomi dipertingkatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kedua-dua negara juga bersetuju mengenai perlunya mencergaskan dan memberi nafas baru terhadap mekanisme sedia ada seperti Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JC), Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan (JDS), Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) serta rundingan tahunan antara kedua-dua pemimpin. "Perbincangan turut menyentuh mengenai keperluan mempermudahkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara dan mempertingkatkan perhubungan di kawasan sempadan.

"Sebagai contoh, kini ada dua cadangan, membina jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok dan Pengkalan Kubor dan Takbai, serta pembangunan kompleks CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin) di Bukit Kayu Hitam dan Sadao," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra di sini, semalam.

Terdahulu, Yingluck yang mengadakan lawatan kerja sehari sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2011, diberikan sambutan rasmi sebelum beliau dan delegasinya mengadakan mesyuarat tertutup dengan delegasi Malaysia.

Najib berkata, Malaysia juga sedia membantu Thailand mencari penyelesaian jangka panjang bagi menghentikan pergolakan di selatan Thailand dengan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, Thailand rakan dagang kedua terbesar bagi Malaysia di ASEAN dan tahun lalu, jumlah dagangan keseluruhan dua hala mencecah AS$22.95 bilion (RM69.4 bilion), selain mencatat purata pertumbuhan 13 peratus antara 2010 hingga 2011. Kini ada kira-kira 400 syarikat tempatan melabur di Thailand.

Sementara itu, Yingluck berkata, Thailand mengalu-alukan dan menyokong Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) diilhamkan Najib sebagai kaedah menentang keganasan dan percaya pendekatan itu kunci keamanan dan pembangunan.

"Thailand melihat peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2015 sebagai pemangkin pembangunan komuniti rantau ini dari segi perhubungan, keamanan dan kemakmuran serta menjamin kestabilan serantau," katanya.

Urusan JPJ dalam talian April

Posted: 20 Feb 2012 03:59 PM PST

Nasional

CHO HA (kanan) melawat kaunter perkhidmatan orang ramai sempena perasmian pejabat baru JPJ  Kedah di Jalan Suka Menanti, semalam.

CHO HA (kanan) melawat kaunter perkhidmatan orang ramai sempena perasmian pejabat baru JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti, semalam.

Orang ramai boleh perbaharui cukai jalan, lesen memandu secara online

ALOR SETAR: Program Transformasi Jabatan (JTP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimulakan sejak pertengahan 2010 dijangka diaplikasikan di seluruh negara pada April depan yang akan membolehkan perkhidmatan jabatan itu dilakukan secara dalam talian (online).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata program melalui pembangunan semula sistem pengkomputeran jabatan itu sudah 49 peratus siap dan berada dalam fasa pembangunan sistem. Katanya, ujian penerimaan pengguna oleh JPJ sedang berjalan bagi aktiviti utama pengurusan penguat kuasa dan kutipan hasil.

Beliau berkata, pembangunan semula sistem itu membabitkan empat modul perkhidmatan teras JPJ iaitu pengurusan pendaftaran kenderaan dan kejuruteraan automotif, pengurusan pelesenan pemandu, pengurusan penguatkuasaan serta pengurusan kutipan hasil.

"Melalui JTP, JPJ akan memperkenalkan inisiatif baru yang akan memberi impak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan, seterusnya memudahkan pelanggan untuk berurusan dengan JPJ.

"Buat permulaan, pelancaran penggunaan sistem dalam talian bagi urusan pembaharuan cukai jalan dan pengurusan pelesenan pemandu dijangka mula diaplikasi April depan, manakala pembangunan bagi semua aktiviti dan perkhidmatan lain JPJ dijangka selesai pada Julai," katanya selepas merasmikan pejabat baru JPJ Kedah, di Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.
Pejabat JPJ Kedah yang dibangunkan di tapak seluas sembilan hektar itu membabitkan kos RM59 juta, menyediakan 54 kaunter urusan selain dilengkapi 36 unit kompleks kediaman bagi kemudahan pegawai dan kakitangan jabatan.

Cho Ha berkata, antara inisiatif akan diperkenalkan menerusi JTP ialah urus niaga tanpa sempadan yang akan memudahkan proses pembaharuan cukai jalan dan menaik taraf pengurusan pelesenan pemandu.

Katanya, ketika ini, untuk mendaftar dan melesenkan sebuah kenderaan, bakal pemilik atau wakilnya perlu hadir ke pejabat JPJ dengan mengemukakan dokumen pendaftaran. Nombor pendaftaran kenderaan juga tertakluk kepada negeri di mana kenderaan itu didaftarkan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Ghazalie Hindi

Peningkatan yang sangat baik dan menampakkan kemajuan perkhidmatan oleh pihak JPJ dan harus dipuji...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan