Isnin, 20 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


LKIM cadang bina pangkalan baru

Posted:

LKIM cadang bina pangkalan baru

LKIM cadang bina pangkalan baru

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR PUTEH 19 Feb. - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan bercadang untuk membina sebuah pangkalan baru bagi memudahkan hampir 200 nelayan tradisional yang menggunakan sampan dan bot kecil di Tok Bali dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim berkata, pihaknya telah memohon peruntukan lebih RM5 juta menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Tani bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini nelayan terbabit terpaksa mendaratkan hasil tangkapan mereka di merata tempat termasuk di tepian sungai kerana ketiadaan pangkalan atau jeti pendaratan ikan kekal.

"Kemudahan ini difikirkan perlu untuk menyeragamkan proses pendaratan hasil dan tempat, khusus untuk melabuhkan sampan mereka di kawasan yang lebih selamat," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup nelayan secara tunai bagi kawasan Semerak di Pelabuhan Perikanan LKIM di Tok Bali di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Pasir Puteh, Zawawi Othman kepada 170 nelayan membabitkan agihan wang sebanyak RM284,800.

Adnan berkata, satu lokasi yang berdekatan dengan Pelabuhan LKIM sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti diperlukan oleh nelayan terbabit.

Beliau berkata, pelabuhan LKIM sedia ada hanya dikhususkan kepada bot berkapasiti besar termasuk bot laut dalam untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Datuk Mohd. Jelani Jaafar ketika ditemui mengalu-alukan cadangan itu dan berharap kementerian itu dapat meluluskan peruntukan yang dipohon oleh LKIM dengan segera.

Beliau berkata, pangkalan khusus bagi nelayan tradisional itu juga perlu diwujudkan pasar ikan segar bagi membolehkan hasil tangkapan dipasarkan terus dengan harga yang berpatutan.

"Selama ini mereka terpaksa mendarat di merata-rata tempat dan ini menyebabkan mereka mudah ditipu oleh orang tengah dengan pembelian harga yang lebih rendah berbanding di pasaran untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda.

"Satu contoh harga yang dibeli oleh orang tengah hanya RM3 hingga RM3.50 sen sekilogram anak ikan kembung manakala harga yang dijual di pasaran tempatan seperti di Pasir Puteh antara RM7 hingga RM8 sekilogram," katanya.

47 penyokong Pas sertai UMNO di Tanah Merah

Posted:

47 penyokong Pas sertai UMNO di Tanah Merah

47 penyokong Pas sertai UMNO di Tanah Merah


IKMAL Hisham Abdul Aziz (dua dari kanan) menerima borang keahlian UMNO daripada bekas ahli Pas pada majlis Selamat Tinggal Pas dan Maulidul Rasul Kampung Kenerak, Tanah Merah, semalam.


TANAH MERAH 19 Feb. - Seramai 47 bekas ahli Pas menyertai UMNO selepas menyerahkan borang keahlian pada Majlis Selamat Tinggal Pas dan sambutan Maulidur Rasul di Kampung Kenerak di sini, malam tadi.

Borang tersebut diserahkan oleh Ketua UMNO Cawangan Kampung Kenerak, Zainuddin Sepian kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz. UMNO Cawangan tersebut ditubuhkan oleh bekas ahli Pas terbabit.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharuddin Yusoff dan Pengerusi Tetap yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Panau, Abdul Latiff Abd. Rahman.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan Kenerak, Marina Abu Zahar memberitahu, beliau terkilan kerana sejak tinggal lebih 10 tahun di kampung itu tidak ada sebarang perubahan.

"Dalam tempoh itu tidak ada perubahan. Sekiranya ada UMNO sedikit sebanyak kita dapat bantuan, seperti ada perubahan termasuk jalan serta kemudahan lain.

"Disebabkan itu ramai penduduk terutamanya kaum wanita di kampung ini mengambi keputusan untuk menyertai UMNO supaya mendapat pembelaan," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Selain itu, dua adik-beradik dari kampung tersebut, Mahmud Mustapa, 53 dan kakaknya, Som, 59, mengambil keputusan menyertai UMNO kerana terkilan dengan tindakan kerajaan Pas Kelantan mengambil alih tanah dusun mereka yang diusahakan di Kuala Krai lebih 20 tahun untuk dijadikan ladang komersial.

Mahmud berkata, dia meneroka tanah seluas 4.8 hektar di kawasan berkenaan sejak 20 tahun dan ditanam dengan pokok buah-buahan.

Katanya, tidak berapa bulan lalu, dia menerima surat dari pejabat tanah mengambil balik tanah berkenaan untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

Dia mendakwa akan dibayar RM200 sebulan, tetapi hingga sekarang masih tidak diperoleh.

''Saya sedih dan berharap dengan menyertai UMNO, suatu hari nanti masalah dapat diselesaikan dan memperoleh kembali tanah berkenaan yang diusahakan dengan titik peluh sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham semasa berucap pada majlis itu berkata, rakyat perlu sedar tanpa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke -13 tidak banyak kemudahan dapat dilaksanakan.

Sebagai contoh, katanya, dua projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Tanah Merah iaitu bekalan air untuk kawasan Peralla yang tidak pernah menikmat bekalan air bersih dengan peruntukan RM3.1 juta.

"Manakala pembinaan bangunan Masjid Belimbing yang tergendala sejak tiga tahun lalu pula mendapat peruntukan berjumlah RM1. 4 juta.

"Peruntukan pembinaan masjid itu diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan Parlimen Tanah Merah baru-baru ini," katanya.

Guru hamil tujuh bulan terharu terima pampasan RM39,542

Posted:

Guru hamil tujuh bulan terharu terima pampasan RM39,542

Guru hamil tujuh bulan terharu terima pampasan RM39,542


SEBAHAGIAN daripada pewaris yang juga penerima pampasan Koperasi Guru Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 19 Feb. - Seorang guru terharu apabila menerima pampasan sebanyak RM39,542 daripada Koperasi Guru (Koguru) Terengganu berikutan kematian suaminya pada 12 September tahun lalu.

Suraya Ramli, 37, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai layak menerima pampasan itu selepas suaminya, Mohamad Fadhli Chik, 36, maut akibat dihempap pokok kelapa di Jalan Pusara, Kampung Seberang Marang dekat sini.

Dia yang hamil tujuh bulan sangat terkejut ketika ditemui kerana tidak menyangka bahawa arwah suaminya ada membuat caruman yang dikendalikan pihak koperasi tersebut.

"Arwah suami tidak pernah memaklumkan bahawa dia ada membuat caruman sebab itu saya sangat terharu ketika menerima wang pampasan itu dan berjanji akan menggunakan wang itu sebaik mungkin.

"Insya-Allah saya akan gunakan wang pampasan untuk pendidikan anak-anak selain menampung keperluan harian serta persediaan kelahiran anak ketiga kami," katanya kepada pemberita dekat sini semalam.

Suraya menerima cek tersebut daripada Pengerusi Koguru, Alias Yahya yang turut dihadiri Pegawai Pembangunan Perniagaan, Etiqa Insurans & Takaful, Cawangan Kuala Terengganu, Abdul Malek Salleh.

Pada majlis itu, seramai 14 waris ahli keluarga turut menerima cek pampasan Etiqa Insurans & Takaful berjumlah RM167,800 dan sumbangan khairat kematian daripada Koguru sebanyak RM500 dan RM3,500 setiap seorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan