Khamis, 16 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pasar mesra pengguna

Posted:

Pasar mesra pengguna

Pasar mesra pengguna

Oleh Noor Hanis Harun

SEREMBAN 15 Feb. – Selepas dua tahun melalui transformasi persekitaran kondusif, Pasar Besar Seremban di sini, kini menjadi sebuah pasar moden, lebih selesa dan mesra pengguna.

Hal ini diakui ramai selepas berbangga dengan perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, yang melihat perlunya bangunan itu dikekalkan, peniaga di situ dibela, selain memastikan keadaan dalam dan luarannya lebih menarik dan bersih.

Peniaga sayur di pasar berkenaan, Lim Chai Yu, 54, memberitahu, sejak kerja menaiktaraf dan pengindahan pasar berkenaan beberapa tahun lalu, semua peniaga menjalankan aktiviti dalam keadaan tidak selesa, air penuh di lantai dan suasananya teruk sekali.

"Cubalah lihat sekarang, semuanya cantik, lantai diperbaiki malahan orang ramai yang datang ke sini tidak perlu risau percikan air terkena kain atau seluar.

"Setiap Selasa kawasan pasar ini akan dibersihkan oleh petugas Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Kami berterima kasih kerana keprihatinan kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui di Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan pasar itu kini lebih bersih, tersusun dan ramai pekerja MPS melakukan kerja-kerja pembersihan di setiap penjuru.

Sementara urusan jual beli di sekitar pasar lebih teratur dan keadaan dinding yang dahulunya kotor, kini lebih ceria.

Sementara itu seorang lagi pekerja menjual sayur, T. Suren, 29, memberitahu, sejak mereka masuk kembali dalam bangunan pasar ini selepas ia dibaik pulih, masalah kebersihan tidak timbul langsung.

"Kerajaan benar-benar mengotakan janji untuk melihat peniaga dan orang ramai yang datang ke pasar ini lebih selesa.

"Tengoklah pekerja MPS mengangkat sampah, ini satu yang amat kami hargai," katanya.

Peniaga hasil tempatan, Masliha Omar, 33, menjelaskan, banyak kelainan di pasar ini, jika dibandingkan lima tahun lalu.

"Hari ini orang tidak kekok untuk datang ke pasar kerana ia lebih ceria, kalau berbanding dahulu yang mengatakan pasar ini berbau busuk, kotor dan tidak terurus.

"Sekarang kalau orang datang ke pasar, mereka akan datang semula dan ini boleh dikenali dengan wajah baharu yang mengunjungi Pasar Besar Seremban ini," ujarnya.

Pulau Besar gamit pelancong

Posted:

Pulau Besar gamit pelancong

Pulau Besar gamit pelancong

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada orang ramai menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Besar, Melaka baru-baru ini.


MELAKA 15 Feb. – Berbeza dengan kebanyakan pulau yang ada di negara ini, nama Pulau Besar seringkali dikaitkan dengan mistik dan mitos yang tersendiri.

Barangkali kerana khazanah sejarah serta kepelbagaian kisah silam yang tersimpan, nama Pulau Besar tidak pernah surut dengan berbagai spekulasi dan persoalan pelbagai pihak.

Menyelak sejenak helaian sejarah pulau legenda yang terletak di perairan Selat Melaka kira-kira tiga batu nautika dari Banda Hilir itu, ia sebenarnya pernah menjadi salah satu pusat berkembangnya penyebaran agama Islam ke negara ini.

Mengikut sejarah, individu yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran Islam yang berpusat di pulau itu dikenali sebagai Sultanul Arifin atau nama sebenarnya Sheikh Ismail Abdul Qadir yang juga merupakan keturunan ke-18 Nabi Muhammad SAW.

Atas sebab itu jugalah pulau ini merupakan tempat persemadian ramai tokoh agama sejak ratusan tahun yang lalu.

Dan kerana itu jugalah ramai dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar, terutamanya orang lama beranggapan, pulau itu mempunyai 'keramat' dan tidak boleh berkelakuan sebarangan.

Bagaimanapun, tempat yang menjadi tinggalan sejarah yang menjadi bukti bertapaknya Islam ke negara ini sedikit masa dahulu tercemar dengan pelbagai aktiviti khurafat dan pemujaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pelbagai aktiviti termasuklah pemujaan kubur, pokok dan batu menjadi taruhan mereka yang ingin mencapai hasrat tertentu.

Malangnya, aktiviti yang berterusan sejak sekian lama itu seolah-olah membayangi pulau itu sehingga ada pihak yang melabelkan pulau itu sebagai 'pulau khurafat'.

Biarpun usaha demi usaha dilakukan oleh pihak berwajib, namun kedegilan dan kegilaan si pemuja yang begitu teruja memohon dan meminta pertolongan daripada mereka yang dipanggil 'wali' bagaikan menghakis akal dan rasional.

Peliknya, aktiviti tersebut bukan hanya dilakukan oleh orang bukan Islam, tetapi juga yang beragama Islam.

Mereka mempercayai mitos yang kononnya dengan memuja roh di Makam Tujuh Beradik, Makam Nenek Kebayan, bekas tapak kaki dan sebagainya akan memakbulkan segala hasrat yang dipinta.

Ini secara tidak langsung telah mencemarkan kesucian Islam yang pernah dibawa oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu ke pulau itu.

Peredaran masa ternyata telah membawa pelbagai perubahan kepada Pulau Besar.

Label pulau khurafat kini tidak lagi sesuai kerana pulau itu semakin 'pulih' atas usaha kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang sering melakukan pemantauan.

Usaha membangunkan Pulau Besar kini semakin menampakkan hasil apabila semakin ramai berkunjung ke pulau itu untuk bercuti, di samping menyelusuri sisipan sejarah agung berkaitan kedatangan Islam ke negara ini.

Hakikatnya, kini perubahan itu dapat dilihat dengan terbinanya kemudahan penginapan, termasuk chalet dan kemudahan pengangkutan ke tempat-tempat menarik di pulau itu.

Antara tempat-tempat menarik ialah Makam Sultanul Arifin, Tapak Kaki Sultanul Arifin, Batu Belayar, Batu Tengkorak, Batu Belah dan Makam Syarifah Rodziah.

Biarpun masih lagi di peringkat 'pemulihan', namun Pulau Besar bagi penulis yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke situ baru-baru, ia merupakan tempat yang cantik kerana dilengkapi landskap yang terjaga rapi serta sesuai dijadikan destinasi percutian sekeluarga bagi merehatkan minda dari kesibukan kota.

Perjalanan dari jeti sepanjang 200 meter ke pulau itu yang terhidang landskap yang menghijau bagaikan menggamit dan mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja.

Tidak sukar untuk ke sana, perjalanan hanya mengambil masa kurang satu jam dari Jeti Anjung Batu dan Jeti Umbai.

Pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di pulau itu dengan berkhemah sahaja.

Usaha menghakis aktiviti khurafat di pulau itu dibuktikan oleh kerajaan negeri bukan hanya dengan mengadakan pemantauan berkala malah, mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan keagamaan.

Ini termasuklah sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri baru-baru ini yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad.

Pulau itu turut dikenali oleh pengunjung dari luar negara yang datang bercuti ke negeri itu termasuklah Singapura, India dan Indonesia.

Selain bercuti, pengunjung dilihat mengambil kesempatan melawat makam-makam berhampiran sambil berdoa untuk kesejahteraan si mati.

Pelbagai gelagat dapat dilihat. Ada hanya meninjau kawasan sekitar makam, ada yang berdoa dan ada juga yang bersedekah dengan memasukkan wang ke dalam tabung khas.

Jika usaha 'pemulihan' sebegini mampu menyelamatkan Pulau Besar daripada pelbagai aktiviti khurafat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, nama Pulau Besar pasti menjadi antara salah satu destinasi pulau percutian menarik di negara ini.

Panggilan kebakaran palsu di tahap terkawal

Posted:

Panggilan kebakaran palsu di tahap terkawal

Panggilan kebakaran palsu di tahap terkawal

MELAKA 15 Feb. - Panggilan palsu yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri masih di tahap yang terkawal dengan hanya 48 panggilan direkodkan berbanding 3,019 panggilan yang diterima sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Zainuddin Md. Alip berkata, kebanyakan panggilan palsu yang diterima itu dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mengganggu dan menjejaskan tugas jabatan berkenaan.

Menurutnya, biarpun bilangan panggilan palsu yang diterima adalah kecil dan terkawal, namun ia tetap menyebabkan kerugian kepada jabatan itu daripada segi masa, kos dan penyelenggaraan jentera serta perkakasan.

"Di negeri ini panggilan palsu yang diterima tidak begitu tinggi dan tidak menjejaskan tugas jabatan secara keseluruhannya, namun kerugian dari segi masa dan kos tetap berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dekat Bukit Katil di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain jelasnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM889,700 daripada musnah akibat kebakaran sepanjang bulan lalu.

Zainuddin berkata, dalam tempoh berkenaan 156 kes kebakaran dilaporkan yang menyebabkan kemusnahan harta-benda bernilai RM942,900.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan