Khamis, 16 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


4 keluarga diarah pindah

Posted: 15 Feb 2012 12:43 PM PST

SHAH ALAM: Empat keluarga di Bukit Bandaraya, Seksyen U11, di sini, diarahkan berpindah serta-merta selepas diberikan notis 24 jam oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berikutan kejadian tanah runtuh, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata MBSA sudah meminta pemaju perumahan kawasan itu melantik perunding teknikal membuat analisis dan kajian berhubung kejadian jam 7 malam itu.


Beliau berkata, hasil analisis itu membantu bagi menentukan tindakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah gelinciran tanah di kawasan berkenaan.

"Sebagai langkah pencegahan jangka pendek, pemaju sudah menutup kawasan gelinciran tanah berkenaan dengan kanvas bagi mengurangkan risiko gelinciran tanah atau tanah runtuh yang lebih teruk. "Pada masa sama, PDRM meletakkan pondok polis sementara bagi langkah keselamatan dan berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Tinjauan Harian Metro mendapati tanah runtuh berkenaan hampir menimpa sebuah rumah.


Bagaimanapun, cubaan untuk mendapatkan komen penduduk yang diarah pindah gagal berikutan penghuni sudah mengosongkan rumah.

Kerja pembersihan turut dilakukan pemaju dan MBSA, selain keliling kawasan berisiko diletakkan tali kuning kecemasan dilarang masuk. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata keputusan mengeluarkan notis 24 jam berpindah kepada keluarga terbabit dibuat dengan kerjasama MBSA.


"Selepas jurutera daripada MBSA meninjau kawasan kejadian, didapati empat rumah di sebelah lereng bukit berada dalam situasi bahaya kerana tanah di kawasan itu masih lembap," katanya.

Beliau berkata, jurutera terbabit menasihatkan supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan kejadian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


"Orang ramai juga diminta berhati-hati dengan kehadiran pencuri yang memecah masuk rumah mangsa ketika rumah tidak berpenghuni.


"Kami akan mengawasi kawasan kejadian," katanya.



MBSA minta Ikram buat analisis

Posted: 15 Feb 2012 12:40 PM PST

SHAH ALAM: Kejadian rumah teres di taman perumahan Jalan Plumbum 101/107, Seksyen 7, berhampiran i-City di sini, yang mendap Selasa lalu, mendapat perhatian segera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata MBSA sudah meminta Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) membuat kajian dan analisis berhubung kejadian tanah mendap yang merosakkan 35 hingga 40 rumah teres dua tingkat di tempat kejadian.


Sehubungan itu, katanya, lebih 1,000 penduduk yang terjejas diminta bertenang berikutan usaha penambahbaikan diusahakan. "MBSA merujuk masalah ini dengan agensi lain yang terbabit dan pihak berkaitan. Semalam (kelmarin) Ikram dan Bahagian Geoteknikal, Jabatan Kejuruteraan, MBSA, sudah melawat tempat kejadian bagi melakukan tinjauan awal.

"Penilaian dilaksanakan sebelum tindakan lanjut dibuat. Hari ini (semalam), Ikram sekali lagi turun padang bagi menjalankan kerja pengumpulan data dan mengenal pasti punca berlakunya tanah mendap itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.


Shahrin berkata, MBSA bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memastikan masalah itu diselesaikan segera.


Menurutnya, pihaknya berharap melalui kajian dan hasil analisis Ikram dengan kerjasama PKNS, masalah itu dapat dikenal pasti seterusnya mencadangkan tindakan dan penambahbaikan untuk mengatasinya.

Harian Metro semalam melaporkan tidur nyenyak lebih 1,000 penduduk di taman perumahan Jalan Plumbum 101/107, Seksyen 7, berhampiran i-City, di sini, dikejutkan dengan dentuman kuat sebelum berlaku tanah mendap pada awal pagi. Kejadian tanah mendap jam 2.30 pagi itu mengakibatkan 35 hingga 40 rumah teres dua tingkat rosak dan ruang hadapan beberapa rumah penduduk mendap selain digenangi air.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan