Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Kuasa Melayu terletak pada undi

Posted:

Kuasa Melayu terletak pada undi

Kuasa Melayu terletak pada undi


SEBAGAI warganegara yang bijaksana, jika mereka tidak mengundi, hanya sekadar mendaftar, kuasa politik sebenar tidak akan terlaksana. - Gambar hiasan


RABU lalu, 15 Februari adalah hari ulang tahun ke-70 penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, termasuk Singapura.

Pada 15 Februari 1942, tentera Jepun mengalahkan angkatan bersenjata British dan menjadikan penduduk Tanah Melayu sebagai anak jajahannya.

Orang Melayu tidak ada kuasa apa-apa. Mereka hanya dapat memerhatikan peralihan kekuasaan daripada British ke Jepun. Apabila Jepun kemudiannya menyerah kalah, British pula kembali berkuasa.

Walaupun negeri ini tanah air mereka, orang Melayu tidak mempunyai kuasa di tangan mereka. Sebelum penaklukan Jepun itu, orang Melayu yang menjadi rakyat kepada raja masing-masing hanya melihat betapa semua kekuasaan politik dan ekonomi dipegang oleh British.

Raja-raja Melayu yang walaupun berdaulat tetapi hanya berkuasa dalam soal hal ehwal agama Islam dan adat istiadat. Sementara rakyat negeri-negeri Melayu tidak mempunyai kuasa apa-apa.

Apabila Jepun menakluk Tanah Melayu, rakyat negeri ini dizalimi sewenang-wenangnya. Orang Melayu dijadikan hamba untuk memenuhi nafsu megalomania Tokyo.

Jepun dengan mudah menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu serta raja-rajanya kepada Siam. Orang Melayu marah tetapi tidak berdaya apa-apa.

Begitu juga apabila British kembali dan menubuhkan Malayan Union. Rakyat Melayu tidak mempunyai kuasa. Hanya apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dan pilihan raya pertama diperkenalkan pada tahun 1955, barulah buat pertama kalinya dalam sejarah orang Melayu mendapat kuasa untuk menentukan masa depan politik mereka.

Melalui pilihan raya untuk memilih Majlis Perundangan Persekutuan itu, rakyat negeri ini memberi mandat kepada Perikatan untuk meneruskan usaha bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Untuk mendapatkan kuasa itu, setiap rakyat Tanah Melayu yang layak perlu mendaftar dan mengundi. Jika mereka tidak mendaftar untuk mengundi, maka tidaklah mereka memiliki kuasa.

Sememangnya sekeping undi itu sajalah yang merupakan kuasa bagi seseorang rakyat dewasa.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Perlembagaannya menguatkuasakan penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan tugas mendaftar pengundi. Rakyat Tanah Melayu yang layak mempunyai hak mengundi. Hak inilah satu-satunya kuasa mereka. Mereka tidak memiliki kuasa lain daripada hak ini.

Kuasa ini berupa dua jenis undi. Satu undi untuk memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, dan satu lagi ialah untuk ahli Parlimen di peringkat persekutuan.

Tetapi jika mereka tidak mendaftar dengan SPR sebagai pengundi, maka tidak adalah kuasa ini.

Apa yang disebut sebagai kuasa rakyat terletak pada mendaftar dan mengundi. Begitu juga dengan kuasa rakyat Melayu, jika mereka tidak berdaftar dan mengundi, walau berbuih mulut mereka berbahas di kedai kopi mengenai politik, kuasa tidak ada pada tangan mereka.

Ini kerana kuasa hanyalah bagi mereka yang mendaftar.

Kini penduduk Semenanjung Malaysia telah melalui 13 kali pilihan raya. Satu pilihan raya pada tahun 1955 iaitu sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Justeru dikira pilihan raya bermula pada tahun 1959 dan yang terakhir ialah pada tahun 2008 dengan disifatkannya sebagai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12.

PRU ke 13 dijangka diadakan pada tahun ini atau depan. Namun dari segi Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963, maka PRU pertama sebenar Malaysia berlaku pada tahun 1964.

Jadi saban pilihan raya, kerajaan dipilih oleh majoriti rakyat. Maka rakyatlah yang menentukan parti mana yang akan menjadi kerajaan.

Apa yang disebut sebagai rakyat di sini ialah mereka yang pergi mengundi. Para pengundilah yang menentukan kerajaan.

Berdaftar

Tetapi untuk membolehkan mana-mana rakyat mengundi, mereka mestilah berdaftar dengan SPR. Maksudnya di sini, warganegara yang berdaftar sebagai pengundilah sebenarnya menentukan parti politik yang mana menubuhkan kerajaan. Jika mereka tidak mengundi, setakat mendaftar, kuasa politik mereka tidaklah terlaksana.

Apatah lagi kalau tidak berdaftar. Justeru, jika seseorang bercakap mengenai kuasa politik Melayu, apa yang digambarkan tidaklah boleh dikira dari segi bilangan penduduk Melayu berbanding dengan orang bukan Melayu.

Apa yang sebenarnya perlu digambarkan ialah bilangan orang Melayu yang berdaftar sebagai pengundi. Mereka inilah yang sebenarnya pemegang kuasa politik Melayu. Bagi orang Melayu yang tidak berdaftar, maka mereka tidak memiliki apa-apa kuasa.

Tanpa kesedaran kepentingan kuasa politik, sebenarnya orang Melayu yang tidak berdaftar sebagai pengundi ini hanya bergantung kepada pilihan mereka yang berdaftar.

Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan bahawa lebih 3.73 juta rakyat negara ini yang layak mengundi belum mendaftar.

Maknanya, 3.73 juta rakyat negara ini tidak memiliki kuasa politik kerana mereka tidak berdaftar. Mereka melepaskan hak begitu saja.

Justeru jika mereka merupakan orang Melayu, aspirasi bangsa tidak terserlah sepenuhnya kerana ketiadaan mereka dalam daftar pemilih.

Dalam demokrasi, mereka juga mempunyai hak untuk tidak menyertai proses pilihan raya. Tetapi pada waktu sama ia juga menunjukkan kesedaran tanggungjawab politik yang rendah dan lemah di kalangan mereka.

Hakikatnya ialah kesedaran berpolitik ini tidak semestinya ada secara semula jadi. Ia perlu dipupuk dan digalakkan. Kalaulah dahulu rakyat negara ini tidak mempunyai kesedaran politik untuk merdeka, mungkin mereka hanya menerima apa saja penjajah tentukan.

Umpamanya kalau dulu penjajah British mahu terus menguasai negara ini dengan memperkenalkan Malayan Union, maka orang Melayu hanya terima saja kerana ketiadaan kesedaran kebangsaan. Walaupun dengan menerima keadaan itu, mereka kehilangan hak sebagai orang Melayu yang memiliki negeri ini.

Usaha meniupkan kesedaran dan semangat kebangsaan tidak datang dengan sendirinya. Ia perlu digemblengkan oleh pergerakan dan pertubuhan.

Kalau dahulu, perjuangan kemerdekaan digerakkan oleh bukan saja parti-parti politik tetapi juga persatuan-persatuan Melayu, malah akhbar seperti Utusan Melayu.

Maka kali ini, usaha menyedarkan rakyat negara ini mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi, terutama dalam pilihan raya umum yang tidak berapa lama lagi perlu digerakkan oleh semua pihak.

Di kalangan orang Melayu, parti politik, NGO dan sesiapa saja yang mengambil berat terhadap nasib bangsa wajar mengajak sesama warganegara mendaftar sebagai pemilih. Ia merupakan tugas nasional.

Tugas mendaftar dan menggalak rakyat melakukannya bukan terletak pada SPR semata-matra. Ia adalah peranan rakyat yang insaf.

Antara ciri-ciri demokrasi adalah persepakatan minda rakyat, yang walaupun pelbagai tetapi secara keseluruhan memiliki kebijaksanaan bersama dalam menentukan pemerintahan negara.

Maka itulah pentingnya lebih banyak rakyat berdaftar sebagai pemilih dan selanjutnya mengundi dalam pilihan raya umum.

Murdoch cabul etika wartawan

Posted:

Murdoch cabul etika wartawan

Murdoch cabul etika wartawan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MEDIA pada hari ini adalah kuasa dan perniagaan. Apabila menjadi penanda aras kuasa dan lubuk yang menjanakan keuntungan, etika kewartawanan dan kebebasan media menjadi semakin terpencil dan dilihat sebagai anti kemajuan.

Tidak banyak media yang menjunjung prinsip demokrasi, sebaliknya berubah menjadi pendokong individu dan fahaman politik tertentu.

Organisasi media dan wartawan yang menjunjung etika kewartawanan dan berusaha membebaskan media dari cengkaman sesuatu pihak semakin kecil jumlahnya. Tidak banyak wartawan yang malu "menggadaikan" etika kewartawanan yang menjadi batu asas kerjayanya.

Mahu tidak mahu inilah realiti yang terpaksa kita akui. Kepentingan organisasi media dan wartawan sudah berubah. Ia diubah oleh kedudukan media itu sendiri yang menjadi penanda aras kuasa dan perniagaan. Apabila untung rugi menjadi kayu ukur dan organisasi media "dimiliki" oleh yang berkepentingan, prinsip untuk memperjuangkan kemanusiaan dan keadilan sudah luntur.

Tahun lalu akhbar mingguan News of the World milik taikun media, Rupert Murdoch ditutup kerana memintas talian telefon mangsa bunuh dalam pengeboman di London. Kini akhbar The Sun juga milik Murdoch bawah empayar media News Corp bergoncang apabila sembilan pegawai kanan editorialnya disiasat polis kerana rasuah. Mereka merasuah polis dan pegawai kanan awam untuk mendapatkan maklumat.

Di tangan Murdoch, media adalah kuasa dan lubuk perniagaan. Dia peduli apa dengan etika kewartawanan dan kebebasan media asalkan impian berkuasa dan mengaut keuntungan tercapai. Murdoch kini yang berusia 80 tahun mempunyai impian yang cukup tinggi untuk menguasai dunia.

Pada zaman pengaruh media yang menentukan warna politik, Murdoch percaya bahawa menguasai media adalah menguasai dunia. Empayar News Corp misalnya menguasai semua media, daripada studio perfileman berpengaruh di Amerika Syarikat (AS), stesen televisyen satelit, akhbar politik hingga kepada akhbar picisan yang popular di pasaran. Ketika ini impiannya menguasai kepentingan dalam televisyen satelit British Sky Broadcasting (BSkyB) yang bernilai RM42 bilion.

Tahun 2010 News Corp mengaut keuntungannya antara lain dari studio filem 20th Century Fox sebanyak AS$7.6 bilion (RM22.8 bilion), kabel televisyen iaitu Fox News dan National Geographic Channel (AS$7 bilion (RM21 bilion), akhbar seperti News of the World, Daily Mirror, The Star, The Sun serta dua akhbar di AS, National Inquirer dan The Star, The New York Post, AS$6.1 bilion (RM18.3 bilion), saluran Fox TV, AS$4.2 bilion (RM12.6 bilion) dan satelit TV, AS$3.8 bilion (RM11.4 bilion).

Politik

Akhbar News of the World yang berusia 168 tahun dan mencatatkan 7.5 juta pembaca setiap keluaran adalah alat kawalan jauh Murdoch menguasai politik Britain. Ketua Eksekutif News International yang mengendalikan akhbar News of the World, Rebekah Brooks mempunyai hubungan sangat rapat dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron. Antara tokoh lain yang mempunyai hubungan akrab dengan Rebekah Brooks ialah bekas Perdana Menteri Tony Blair, bekas Perdana Menteri Gordon Brown, bekas Datuk Bandar London Ken Livingstone dan Datuk Bandar London Boris Johnson.

Sembilan pegawai kanan editorial The Sun termasuk lima wartawan kanan dan berpengaruh mendepani tuduhan merasuah untuk mendapatkan berita panas adalah kelangsungan The Sun sebagai lubuk perniagaan. The Sun yang mencatatkan edaran 2.7 juta naskhah sehari mempunyai kedudukan penting dalam News Corp. Ini kerana ia menyumbangkan keuntungan selain pengaruh yang besar dalam menentukan percaturan politik Britain. Sebenarnya "budaya" bayar tunai bukan rahsia lagi dalam The Sun. Perkara ini diketahui umum apabila wartawan boleh menuntut wang yang dirasuahkan kepada polis, pegawai awam, tentera malah badan kehakiman seumpama menuntut elaun perjalanan. Inilah juga petua The Sun untuk terus berkuasa.

Di United Kingdom terdapat apa yang dipanggil Suruhanjaya Aduan Akhbar atau Press Complaint Commision (PCC). Ini adalah entiti untuk mengawal selia media bercetak iaitu akhbar dan majalah serta akhbar dalam talian. PCC adalah majlis akhbar tertua yang diwujudkan sejak 1953 dan penubuhannya dianggap selari dengan kedudukan media sebagai kuasa keempat selepas judisiari, legislatif dan eksekutif. Tetapi secara rasminya kedudukan media tidak pernah diiktirafkan setaraf dengan tiga kuasa itu.

Tetapi nampaknya selepas skandal News of the World dan kini skandal rasuah akhbar The Sun, PCC tidak mempunyai kuasa untuk mengawal selia media supaya sentiasa berada pada tahap etika yang tinggi. Ini membuktikan pemilik media mempunyai kuasa lebih besar untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh wartawan-wartawannya. Apabila editor berpengaruh seperti Rebekah Brooks boleh menentukan kemenangan Cameron dari Parti Konservatif dalam pilihan raya, apakah ada yang masih berharap akan wujud lagi etika kewartawanan dan kebebasan media?

Kita terpaksa menerima realiti baru bahawa wartawan mendepani kesukaran mengangkat wibawa profesionnya ke tahap yang tinggi. Apa yang berlaku kepada News of the World dan The Sun menunjukkan wartawan tidak mempunyai pilihan kecuali setuju dengan dasar organisasi dan berkerja untuk kepentingan pemiliknya.

Semua ini boleh dijadikan cermin kepada organisasi media dan wartawan tempatan supaya terus berjuang menjulang tinggi etika kewartawanan untuk kepentingan rakyat. Walaupun tidak mungkin lahir sekali lagi "Bob Woodward" dan "Carl Bernstein" yang membongkar skandal Watergate dan menumbangkan Presiden Richard Nixon, tetapi etika kewartawanan perlu diletakkan di tempat yang selayaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan