Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Yakin Pahang kekal negeri biru

Posted:

Yakin Pahang kekal negeri biru

Yakin Pahang kekal negeri biru

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 18 Feb. - Seluruh kepimpinan dan jentera Barisan Nasional (BN) Pahang kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja dalam tahun ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, berkat komitmen dan kerja kuat berterusan seluruh ahli dan kepimpinan parti, beliau yakin BN negeri akan mampu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

"Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menetapkan KPI kita (BN Pahang) iaitu 14 kerusi Parlimen. Kita yakin akan mencapai KPI itu 100 peratus berkat usaha berterusan UMNO dan seluruh parti komponen BN negeri.

"Seterusnya, mengekalkan negeri ini sebagai negeri biru yang mana sudah lama negeri ini menjadi negeri biru dan insya-Allah akan terus kekal," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Ditanya mengenai kerusi panas seperti di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, Mohd. Sharkar berkata, beliau yakin dua kerusi Parlimen itu yang kini dimiliki pembangkang akan dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun katanya, ia memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh ahli parti termasuk parti-parti komponen untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang bekerja dan benar-benar membela nasib mereka.

"Ditambah calon yang disebut oleh Pengerusi BN sebagai calon boleh menang dan disenangi rakyat, insya-Allah saya yakin kita akan dapat merampas kembali dua kerusi Parlimen yang dimiliki pembangkang itu," katanya.

Beliau berkata, hubungan antara pemimpin UMNO dan parti-parti komponen BN di negeri ini cukup baik dan jika wujud perbezaan pendapat sekalipun ia adalah sesuatu yang lumrah bagi mana-mana organisasi.

"Apa yang penting kami sepakat dan bekerja bersama demi memastikan BN diterima rakyat dan terus kekal sebagai parti memerintah di negeri dan negara ini," katanya.

Mengenai pertemuan kepimpinan UMNO dan parti-parti komponen BN negeri dengan Muhyiddin kelmarin, Mohd. Sharkar menyifatkan pertemuan itu adalah yang terbaik dalam usaha merencanakan strategi parti bagi menghadapi PRU-13.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Abu Jimi Samat berkata, Muhyiddin pada pertemuan kelmarin mengingatkan kepada semua pucuk pimpinan BN negeri supaya mengelakkan konflik dalaman, menyelesaikan isu yang berbangkit dan memperkemaskan jentera parti.

"Timbalan Pengerusi BN itu juga memberi nasihat supaya toleransi kaum yang sekian lama diamalkan diperkukuhkan oleh semua pemimpin parti-parti komponen BN negeri," katanya.

14 usahawan kecil terima bantuan mesin jahit

Posted:

14 usahawan kecil terima bantuan mesin jahit

14 usahawan kecil terima bantuan mesin jahit


Norhelan Mahmud (depan, dua dari kiri) menyampaikan sumbangan mesin jahit Azam Niaga kepada Sahara Ismail pada satu majlis di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - MINGGUAN/M.RIZAL NOR


JERANTUT 18 Feb. - Seramai 14 usahawan kecil jahitan di daerah ini tersenyum lebar apabila menerima bantuan mesin jahit Azam Niaga daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang disampaikan di sini baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Jerantut, Norhelan Mahmud berkata, semua usahawan yang terpilih merupakan penduduk dari Felda Jengka 13, Felda Jengka 9, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4, PAKR Kuala Tembeling, Kampung Bantal, Felda Sungai Retang dan Kampung Kedondong dekat sini.

"Bantuan seperti ini dapat membantu usahawan kecil luar bandar mempertingkatkan pengeluaran sekali gus meningkatkan pendapatan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan di sini.

Beliau berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terbela terutama bagi meningkatkan pendapatan rakyat miskin dan miskin tegar.

Seorang penerima bantuan berkenaan, Sahara Ismail, 43, dari Kampung Kedondong, Pulau Tawar menyifatkan bantuan tersebut dapat membantunya menyiapkan tempahan pelanggan dengan lebih cepat.

"Saya sangat bersyukur kerana sebelum ini hanya menggunakan mesin jahit lama pemberian emak yang hampir uzur dan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah terutama menjelang musim perayaan," ujarnya.

Sementara itu, Hasnah Hassan, 50, memberitahu, sumbangan mesin jahit itu memberi semangat baru kepadanya untuk memberi tumpuan dalam bidang jahitan.

"Ketika ini saya mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan di rumah tetapi dengan adanya mesin baru, saya dapat mempelbagaikan kaedah jahitan pakaian.

"Sekiranya sambutan semakin menggalakkan, saya berhasrat untuk membuka kedai jahit sendiri dan menjadikannya sebagai kerjaya untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarga," jelasnya.

6P: Majikan digesa segerakan permohonan

Posted:

6P: Majikan digesa segerakan permohonan

6P: Majikan digesa segerakan permohonan

KUANTAN 18 Feb. - Semua majikan digesa mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dengan segera bagi mengelak kesesakan pada minggu terakhir tarikh tutup permohonan yang ditetapkan pada 10 April ini.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohamed Nasir Osman berkata, keputusan kerajaan melanjutkan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI (6P) yang sepatutnya berakhir Selasa lalu adalah selepas menimbang rayuan yang dikemukakan para majikan dan persatuan peniaga kecil sebelum ini.

"Bagaimanapun, kebanyakan mereka masih bertangguh dengan hanya menunggu pada saat-saat akhir permohonan ditutup.

"Senario ini menyebabkan kesesakan yang luar biasa berlaku di kaunter-kaunter imigresen sehingga mereka mengeluh kerana terpaksa menunggu giliran dalam tempoh yang lama," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Mohamed Nasir, Kuantan merupakan pusat pemutihan kelapan telah meluluskan permohonan sebanyak 1,585 majikan dengan melibatkan 5,968 orang pekerja asing.

"Namun, terdapat juga permohonan yang ditolak kerana gagal memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu membabitkan 204 majikan dan 1,069 pekerja," katanya.

"Justeru, saya berharap dalam tempoh yang diberikan ini setiap majikan menyiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang bertemu majikan bagi mengenal pasti punca keengganan mereka melakukan proses pemutihan tersebut.

"Isnin ini kita akan ke Cameron Highlands bertemu dengan majikan yang menggaji pekerja asing bagi membincangkan masalah dan mencari jalan penyelesaian agar mereka membuat permohonan segera," ujarnya.

Sementara itu, katanya, Pahang telah menerima bayaran levi sebanyak RM4.8 juta daripada 1,488 permohonan.

"Bayaran levi tertinggi adalah dalam bidang pembinaan yang membabitkan permohonan sebanyak 326 majikan iaitu berjumlah RM1.94 juta.

"Levi ini dibayar bagi tempoh setahun iaitu antara RM410 dan RM1,850 bagi satu kepala," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan