Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Malaysia sedia bantu Thailand

Posted:

Malaysia sedia bantu Thailand

Malaysia sedia bantu Thailand

Oleh HASHNAN ABDULLAH dan THOMOS CHONG
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bertukar dokumen dengan Yingluck Shinawatra selepas menandatangani kenyataan persetujuan bersama antara kerajaan Malaysia dan Thailand di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 20 Feb. – Malaysia bersetuju memenuhi permintaan Thailand untuk membantu mencari jalan penyelesaian berpanjangan terhadap pergolakan di selatan negara jiran itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakan sejawatan, Yingluck Shinawatra telah menyuarakan permintaan tersebut semasa mesyuarat dua hala sempena lawatan pertama beliau ke negara ini di sini, hari ini.

''Kita juga bersetuju bahawa ini merupakan hal domestik dan penduduk di selatan Thailand tidak harus mewujudkan negara berasingan. Mereka harus menolak keganasan dan terus setia kepada Raja Thailand.

''Di bawah prinsip ini kita mesti berusaha untuk mencari penyelesaian termasuk meningkatkan penyertaan ekonomi penduduk tempatan serta membolehkan mereka mempunyai suara lebih besar dalam perkara yang dekat di hati seperti pendidikan, agama dan hal ehwal budaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Yingluck di Perdana Putra.

Mengenai masalah dwi-kerakyatan di kalangan penduduk di sempadan dua negara pula, Najib berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju membandingkan pangkalan data masing-masing untuk menyelesaikan isu tersebut

Sementara itu, Yingluck mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya untuk menyempurnakan pembinaan dan operasi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Ban Prakob, berhampiran Kota Putra di Durian Burung, Kedah.

Yingluck berkata, beliau menyokong usul Najib yang mahu mempromosi kerjasama sektor swasta sama ada di kawasan sempadan atau di tempat lain di kedua-dua negara.

''Saya amat gembira dengan hasil perbincangan ini di mana lawatan kali ini mengesahkan hubungan erat kedua-dua negara dan komitmen bersama untuk mengukuhkan kerjasama melalui mekanisme bilateral sedia ada," katanya.

Pada pertemuan itu, menurut Najib, kedua-dua negara juga bersetuju rangkaian hubungan dan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan perlu diperkukuh serta diperkembangkan lagi bagi memudahkan pergerakan rakyat masing-masing.

Katanya, kedua-dua negara mengambil berat tentang pentingnya usaha mempromosi kemakmuran ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sumber manusia di sepanjang sempadan di bawah Strategi Pembangunan Bersama (JDS) dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, dua cadangan telah dikemukakan bagi mengukuhkan hubungan di Selatan Thailand iaitu pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Golok iaitu Rantau Panjang-Bandar Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai serta membangunkan zon ekonomi khas di kawasan berkenaan.

''Kedua, adalah mengintegrasikan pelan pembangunan dan zon ekonomi khas di CIQ Bukit Kayu Hitam-Sadao," katanya

Perbincangan hari ini, kata Perdana Menteri, turut tertumpu kepada cadangan mewujudkan perjanjian sempadan yang baru antara Malaysia dan Thailand selain mengoptimumkan perjanjian sedia ada untuk manfaat bersama.

Menyentuh kerjasama ekonomi, Najib berkata, kedua-dua negara bersetuju terdapat beberapa bidang membabitkan industri automotif, getah, makanan dan tenaha yang perlu dilihat secara mendalam bagi memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.

''Tidak ketinggalan juga industri halal seperti perdagangan, pemasaran, perkhidmatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian maklumat dan sebagainya.

''Kita telah meminta pihak industri dan agensi kerajaan berkaitan di kedua-dua negara untuk mengadakan perbincangan mengenainya," kata beliau.

Hentikan visa tindakan tepat

Posted:

Hentikan visa tindakan tepat

Hentikan visa tindakan tepat

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 20 Feb. - Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas itu adalah tepat.

Malah bekas Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Mesir, Zulkifli Yaacob mencadangkan supaya visa untuk pelajar dari negara-negara Afrika dihentikan terus kerana ia mengancam keselamatan negara dan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, pelajar Afrika hanya datang untuk mencari wang di negara ini dengan menggunakan pelbagai cara termasuk melanggar undang-undang dan bukannya untuk belajar.

"Saya menyokong penuh keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana pelajar asing terutama daripada Afrika menggunakan visa bukan untuk belajar, saya dapati 99 peratus pelajar Afrika datang ke sini bukan untuk pelajar.

"Mereka datang ke sini adalah untuk mencari wang dengan melakukan kegiatan yang tidak elok seperti menjadikan negara ini sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Agak pelik mereka tidak pergi ke negara Arab atau Eropah, mereka sanggup meredah dua benua untuk ke negara ini kerana undang-undang kita longgar," dakwanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas itu.

Kementerian tersebut hanya mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Zulkifli berkata, kerajaan perlu mengetatkan sistem pendidikan dalam aspek pengambilan pelajar asing kerana mereka telah menimbulkan masalah sosial.

"Saya pernah belajar di Mesir dan pernah ke United Kingdom, kedua-dua negara amat menjaga soal keselamatan negara dan tidak membenarkan orang asing masuk ke negara mereka sewenang-wenangnya.

"Selain itu, saya juga merasa amat sedih apabila melihat orang Afrika ini merosakkan pelajar-pelajar kita terutama perempuan, mereka ini bukannya ada pelajaran dan berharta pun," dakwanya.

Hadkan visa, pas bantu polis

Posted:

Hadkan visa, pas bantu polis

Hadkan visa, pas bantu polis

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Tindakan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing, membantu polis dalam membendung kegiatan pelacuran membabitkan warga asing yang mendakwa menjadi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, langkah itu adalah tepat dan dalam masa yang sama dapat membantu polis mengekang kegiatan jenayah lain atau salah guna pas berkenaan bagi tujuan maksiat.

"Memang sebelum ini kita bersama Jabatan Imigresen ada membincangkan mengenai perkara ini dan berikan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar menghentikan pemberian visa atau pas kepada pelajar asing yang ingin memasuki negara sebelum mereka secara sah ditawarkan melanjutkan pengajian ke mana-mana IPT untuk elak mereka salah guna pas tersebut.

"Jadi dengan adanya pelaksanaan seperti ini kita memang sambut baik kerana dapat membantu polis dalam menangani kegiatan jenayah dalam negara terutamanya aktiviti pelacuran yang seringkali membabitkan warganegara asing yang pada awalnya memasuki negara atas alasan untuk melanjutkan pengajian," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media hari ini bahawa KPT menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Abdul Jalil berkata dalam kebanyakan kes, mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT.

"Pelajar yang terlibat dengan salah guna visa dan pas ini memang didapati mereka yang belajar kursus-kursus jangka pendek atau mengikuti program sementara seperti pengajian bahasa," katanya.

Bernama pernah melaporkan pada bulan lepas bahawa polis menunjukkan wujud trend baru pelacur wanita dari Timur Tengah menjadikan Malaysia antara destinasi utama aktiviti maksiat mereka dengan menggunakan taktik samaran kononnya untuk belajar bahasa Inggeris menggunakan pas pelajar dengan mendaftarkan diri di institusi pendidikan tinggi swasta.

Pada tahun lepas, polis Bukit Aman menerima 116 kes pemerdagangan manusia dan daripada jumlah itu, 52 kes melibatkan ekploitasi seks, 45 kes perkhidmatan paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa dan sembilan kes penjualan bayi.

Warga China merupakan jumlah paling ramai ditangkap polis kerana terbabit dalam pelacuran iaitu 5,922, diikuti Vietnam (2,169), Thailand (1,492), Indonesia (1,208), Filipina (750), Myanmar (112), India (67), Kemboja (36), Bangladesh (34), Laos (14), Uzbekistan (12), Nigeria (8), Uganda (4), dan masing-masing seorang bagi Austria dan Taiwan.

Polis turut menangkap 1,801 wanita tempatan kerana aktiviti pelacuran tahun lepas. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan