Selasa, 21 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Anwar fail permohonan semakan rayuan tuduhan qazaf

Posted: 21 Feb 2012 02:12 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan berhubung satu keputusan yang dibuat dalam prosiding rayuan pertuduhan qazaf yang difailkannya terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, yang juga ketua pembangkang, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar di Mahkamah Syariah di sini melalui peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman dengan menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Permohonan itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, yang menolak permohonan Kamar Ainiah supaya Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir memfailkan permohonan kebenaran bagi mengetepikan notis rayuan yang difailkan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pertuduhan qazaf yang difailkan Anwar terhadap Mohd Saiful. Pada 30 Januari lalu, panel tiga anggota mahkamah itu iaitu Hakim Datuk Zohdi Toha, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Hasan menolak permohonan Kamar Ainiah dengan alasan mereka (Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir) tidak perlu membuat permohonan berkenaan kerana ia tidak relevan dan sia-sia.

Dalam permohonannya itu, Anwar mendakwa Mahkamah Rayuan Syariah telah melakukan kesilapan undang-undang yang ketara dan penghakiman yang diberikan adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan aturcara mahkamah.

Beliau turut mendakwa mahkamah telah membuat keputusan tanpa membicarakan permohonan responden-responden untuk mendapat kebenaran terlebih dahulu dan turut mendakwa telah berlaku berat sebelah yang mengakibatkan ketidakadilan kepadanya.

Selain itu, Anwar turut memohon supaya mahkamah menggantung sementara semua prosiding rayuan kes itu bagi mendapatkan perintah selanjutnya daripada mahkamah.
Sementara itu, Anwar turut memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonannya bagi menghalang seorang peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar daripada mewakili ketiga-tiga responden dalam rayuannya.

Dalam afidavit itu, Anwar berkata mahkamah perlu membuat keputusan terhadap isu-isu yang dikemukakan bahawa peguam syarie itu berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur serta wujud percanggahan atau konflik kepentingan memandangkan Zainul Rijal telah dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 25 Julai, tahun lalu.

Beliau berkata sebagai anggota Majlis dan pada masa yang sama merupakan peguam syarie yang aktif menjalankan amalan guamannya di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Zainul Rijal berada di dalam kedudukan yang boleh mempengaruhi Menteri atau ahli majlis dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah kerana pelantikan hakim turut ditentukan olehnya.

Pada 23 April 2010, Anwar, 65, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya supaya memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Shamsuddin, meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 27.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA

Lambakan filem tahyul, hantu, seram membimbangkan: Dr Juanda

Posted: 21 Feb 2012 02:08 AM PST

Mutakhir

KANGAR: Lambakan filem dan drama berunsur tahyul, hantu dan seram yang ditayangkan terutama melalui televisyen memberi kesan negatif terhadap pembinaan masyarakat yang bertamadun, kata Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memantau serta mengawal penayangan filem dan drama seumpama itu yang antaranya menggambarkan tahap penghinaan yang serius terhadap Islam.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang semalam turut membangkitkan perkara itu kerana bimbang ia mungkin mempengaruhi akidah umat Islam. "Ia bukan hanya untuk filem-filem atau drama tempatan tetapi juga yang diimport," katanya.

Juanda percaya lambakan filem dan drama seumpama itu adalah kerana ia mendapat sambutan masyarakat sedangkan kesan jangka panjang kepada penonton adalah buruk.

Beliau turut mencadangan supaya satu kajian mengenai impak penonton terhadap filem-filem seumpama itu.

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga membangkitkan isu eksploitasi terhadap wanita melalui iklan produk tertentu sehingga mempamerkan aurat mereka secara tidak terkawal.
"Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi dan tidak sewajarnya mereka dieksploitasi untuk melariskan barangan," katanya.

Beliau berkata wanita Islam yang terpilih sebagai model barangan tertentu sepatutnya menutup aurat manakala yang bukan Islam perlu berpakaian sopan.

Sementara itu, Juanda melahirkan rasa kecewa dengan iklan penjualan kismis yang kononnya telah dibawa tawaf di Kaabah untuk meningkatkan khasiatnya begitu juga iklan mengenai air zam zam yang kononnya telah dibawa ke tempat solat hajat semata-mata untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi berbanding biasa.

Beliau menyifatkan iklan seumpama itu bertujuan menipu pengguna di samping melakukan eksploitasi agama dalam perniagaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan