Rabu, 22 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Banyak jalan di Morib rosak

Posted:

Banyak jalan di Morib rosak

Banyak jalan di Morib rosak

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my


Jalan ke Pantai Kelanang juga tidak terkecuali daripada rosak teruk dan tidak dibaiki walaupun kawasan itu kini semakin popular sebagai destinasi perkelahan.


KUALA LANGAT 22 Feb. – Semakin banyak jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di sini kini mengalami kerosakan teruk sehingga mengundang keresahan kepada para pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 10 jalan di kawasan tersebut rosak teruk terutama berlubang, berlopak, mendap dan tidak rata sehingga pengguna bimbang untuk melaluinya khususnya pada waktu malam.

Antara jalan yang rosak ialah Jalan Sempadan Kanchong Darat, Kampung Sungai Lang Baru, Kampung Tali Air, Kampung Serdang Belah, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Kampung Tongkah dan Kampung Pulau Banting.

Walaupun kerosakan itu sudah lama terjadi tetapi setakat ini ia masih dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang kerja-kerja pembaikan atau penyelenggaraan oleh pihak yang berkenaan.

Jika terdapat kerja pembaikan sekali pun, ia dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga kerana tidak lama selepas kerja penyelenggaraan dilaksanakan, jalan berkenaan kembali berlubang dan rosak.

Seorang pengguna, Saiful Hakim, 30, berkata, kerosakan pada jalan di sekitar Morib kini semakin teruk sehingga mengundang bahaya kepada para pengguna.

"Persoalannya ialah mengapa pihak yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan tidak menyelenggara jalan tersebut. Apakah ia disebabkan tidak peruntukan disediakan oleh kerajaan.

"Masalah kerosakan jalan ini telah menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengguna jalan raya, boleh merosakkan kenderaan serta membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi pengguna, Azlina Mat Ayob berkata, keadaan menjadi lebih buruk jika hujan kerana air akan bertakung di kawasan yang rosak itu dan pengguna tidak tahu terdapat lubang di jalan tersebut.

"Kalau termasuk ke dalam lubang atau lopak, ia tentunya akan mendedahkan pengguna terutama penunggang motosikal kepada kemalangan," katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa supaya membaiki jalan-jalan tersebut atau lebih baik lagi menurap semula semuanya demi kebaikan semua pihak.

"Kasihanilah kami yang terpaksa membelanjakan wang yang lebih kerana kenderaan sering mengalami kerosakan akibat jalan yang teruk di kawasan ini," katanya.

Baiki segera siling kelas SJKT Serdang

Posted:

Baiki segera siling kelas SJKT Serdang

Baiki segera siling kelas SJKT Serdang

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Kementerian Pelajaran diminta mengambil tindakan segera membaiki siling pada beberapa buah bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serdang dekat sini yang pecah dan hampir menimpa murid baru-baru ini.

Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, bilik-bilik darjah itu kini telah ditutup dan murid yang terlibat kini ditempatkan sementara di pusat sumber sekolah itu.

Menurutnya, beliau telah melawat ke sekolah tersebut bersama wakil Lembaga Pengurus SJKT Serdang, Mohan Kumar dan beberapa pemimpin MIC setempat dan mendapati masalah itu memerlukan perhatian segera.

"Kejadian itu berlaku pada 15 Februari lalu yang mungkin berpunca daripada serangan anai-anai kerana bangunan sekolah itu sudah berusia lebih 20 tahun.

"Mujur tidak ada murid yang cedera sewaktu siling itu pecah dan jatuh walaupun pada waktu itu mereka sedang belajar di dalam kelas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pian Hon yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah memaklumkan kejadian di sekolah itu secara bertulis kepada pemimpin-pemimpin BN Selangor, Pejabat Pembangunan Persekutuan, Jabatan Pelajaran Selangor dan agensi berkaitan.

Katanya, tindakan susulan daripada usaha yang telah diambil setakat ini akan diuruskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman.

Pasar TTDI: Jangan ada agenda tersembunyi

Posted:

Pasar TTDI: Jangan ada agenda tersembunyi

Pasar TTDI: Jangan ada agenda tersembunyi

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Mesyuarat di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada 27 Februari ini diharapkan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi.

Penasihat persatuan kebajikan itu, Ramli Ismail berkata, pihaknya sangat berharap DBKL akan lebih telus dalam menjelaskan apa yang sebenarnya dirancang di tapak pasar berkenaan.

Menurutnya, ini kerana pihaknya tidak jelas dengan tujuan sebenar mesyuarat itu dan hanya mengetahui bahawa nama mesyuarat tersebut ialah 'Mesyuarat Cadangan Pembangunan Semula Pasar Besar TTDI dan Stesen MyRapid Transit (MRT)'.

"Pada 16 Februari lalu, kita telah menerima surat jemputan untuk mesyuarat tersebut yang akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

"Surat yang diterima daripada pihak DBKL itu tidak mempunyai agenda mesyuarat yang khusus menyebabkan kami semua tidak tahu motif sebenar mesyuarat tersebut," katanya pada sidang akhbar di pasar itu di sini semalam.

Ramli berkata, memandangkan peniaga tidak mengetahui agenda atau perkara yang akan dibincangkan kelak, jadi mereka semua hanya akan hadir untuk mendengar apa yang mahu disampaikan oleh Datuk Bandar tanpa membuat apa-apa persediaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas tahu mengenai cadangan membangunkan pasar itu sebagai hab MRT, pihaknya telah pergi sendiri ke Pusat Maklumat MRT untuk melihat pelan pembinaan hab tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa laluan projek stesen MRT itu tidak melalui langsung kawasan pasar ini dan laluannya juga jauh dari sini.

"Oleh itu, alasan untuk merobohkan pasar ini bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen MRT tersebut adalah tidak wajar sama sekali kerana kami tidak membuat kacau pun," ujarnya.

Dalam pada itu itu, Pengerusi persatuan itu, Jenny Loo berkata, pihak persatuan sepakat tidak akan berpindah dari pasar ini ke tempat lain.

"Pasar ini sudah moden serta banyak memberi manfaat kepada masyarakat sekitar. Jadi kami dari awal lagi sudah bertegas tidak akan pergi dari sini," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan