Ahad, 19 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Air masuk rumah selepas dilanda ribut

Posted:

Air masuk rumah selepas dilanda ribut

Air masuk rumah selepas dilanda ribut

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


BLOK E PPR Sri Cempaka di Lembah Pantai, Kuala Lumpur kehilangan bumbung akibat ribut yang berlaku pada Januari lalu.


KUALA LUMPUR 19 Feb. - Penduduk Blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka di Lembah Pantai memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempercepatkan proses menggantikan semula bumbung blok itu yang diterbangkan ribut dalam kejadian bulan lalu.

Kelewatan membaiki bumbung flat 17 tingkat itu telah menyebabkan penduduk di aras bawahnya menanggung akibat apabila air hujan yang bertakung pada tingkat atas meresap ke dalam lantai dan menitik ke dalam unit rumah di tingkat 16.

Tinjauan Utusan Malaysia ke blok tersebut baru-baru ini mendapati bumbung 10 unit rumah di tingkat 17 masih belum dibaiki dan kelihatan air bertakung pada lantai rumah terbabit.

Seorang suri rumah yang tidak mahu dikenali berkata, air hujan yang bertakung dari tingkat atas telah meresap ke dalam lantai dan memasuki rumah di bawah.

Selain itu, katanya, air turut meresap ke dalam lubang wayar lampu dan menyebabkan berlaku litar pintas sehingga lampu pada bahagian dapur rumahnya tidak dapat digunakan bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

"Apabila tidak ada lampu memang susah untuk memasak dan buat kerja setiap hari. Lampu di dapur ini memang tidak boleh dinyalakan, kalau dinyala nanti akan berlaku litar pintas pada keseluruhan rumah.

"Suami saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada DBKL. Mereka ada datang tengok tapi masih tiada tindakan lanjut," katanya.

Dia juga merayu kepada pihak berkuasa agar mengatasi masalah itu dengan cepat kerana bimbang air yang bertakung akan mengakibatkan berlaku kerosakan lebih besar pada masa depan dan akan membahayakan keselamatan anak-anaknya yang masih kecil.

Pada 25 Januari lalu, hujan lebat serta angin kencang yang melanda beberapa kawasan di ibu negara. Kejadian itu telah mengakibatkan sepuluh unit rumah yang terletak di tingkat 17 flat itu mengalami kerosakan di bahagian bumbung setelah diterbangkan angin kencang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR tersebut, Ikhwan Hamzah berkata, pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Kami mencadangkan supaya DBKL dapat mengkaji penggunaan bumbung jenis reinforce concrete slab (bidur konkrit bertetulang) berbanding bumbung dari jenis logam agar kejadian bumbung terbang yang boleh mengancam nyawa penduduk dapat diatasi.

"Pihak kami juga khuatir dengan keadaan bumbung yang terdedah akan menyebabkan resapan air hujan terutamanya kepada rumah di tingkat 16," ujarnya.

PVTM kecewa terhadap kerajaan Selangor

Posted:

PVTM kecewa terhadap kerajaan Selangor

PVTM kecewa terhadap kerajaan Selangor


P. Kumalanathan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang balu bekas tentera pada Majlis Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan Bersama Tentera Rakyat 1Malaysia sambil disaksikan oleh Mohd. Ali Baharom (tengah) di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 19 Feb. - Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) kecewa terhadap janji kosong yang ditaburkan oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kononnya akan membela golongan itu sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Presidennya, Mohd. Ali Baharom berkata, kerajaan Selangor pada awalnya berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan bekas-bekas tentera bagi membincangkan masalah yang dihadapi selain memperuntukkan tanah pertanian kepada mereka.

"Tetapi kini sudah empat tahun mereka memerintah, tidak ada seorang pun yang muncul untuk membela nasib kami," katanya ketika berucap pada majlis Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan bersama Tentera Rakyat 1Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu kira-kira 20 bekas tentera dan balu bekas tentera menerima bantuan berupa makanan.

Mohd. Ali menambah, pembangkang juga pernah berjanji untuk menghulurkan bantuan RM200 secara berkala untuk membantu membiayai anak-anak bekas tentera tetapi janji hanya tinggal janji.

Dalam pada itu, beliau kecewa dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong keselamatan Israel berkata, PVTM akan membuat desakan secara terbuka dalam masa dua minggu ini supaya Ketua Pembangkang itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

"Mereka yang menyokong Israel adalah pengkhianat agama dan negara," katanya.

Ditanya mengenai bentuk desakan sama ada akan mengadakan perhimpunan secara aman atau sebaliknya, Mohd. Ali berkata, beliau masih belum memutuskan dan perlu berbincang dengan ahli-ahli persatuannya terlebih dahulu.

Aman Kampus bantu mahasiswa fahami dasar kerajaan

Posted:

Aman Kampus bantu mahasiswa fahami dasar kerajaan

Aman Kampus bantu mahasiswa fahami dasar kerajaan


Razali Ibrahim (tengah) bersama sebahagian peserta Program Aman Kampus Kembara Mahasiswa Bersama Masyarakat di Kuala Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 19 Feb. - Program 'Aman Kampus Kembara Mahasiswa Bersama Masyarakat' diyakini dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan mahasiswa untuk terus menyokong dan memahami setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, penglibatan mahasiswa di dalam program itu juga meningkatkan keyakinan pucuk pimpinan bahawa mahasiswa bersedia menggalas dan memikul tangggungjawab untuk membina negara.

"Mesej aman yang dibawa melalui program ini membawa konotasi besar pada masa ramai rakyat terutamanya mahasiswa di Syria dan Mesir yang bangkit menggunakan kuasa menggulingkan kerajaan atas nama kebebasan, tetapi tidak sedar keamanan hilang begitu sahaja meskipun kebebasan tercapai.

"Ini kerana kebebasan tidak membawa keamanan. Kita perlu memelihara keamanan dan selepas itu, kita bebas buat apa sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penghargaan program itu di sini, hari ini.

Razali berkata, pindaan yang bakal dilakukan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan mewujudkan keselesaan dan keamanan di tempat mahasiswa belajar.

"Melalui pindaan akta ini, keadilan untuk mahasiswa (berpolitik) terlaksana dan pada masa sama kecemerlangan di kampus diutamakan.

Program itu yang disertai 180 peserta daripada 22 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bermula 6 Februari lepas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan meneruskan perjalanan ke Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan berakhir di Sungai Besar, Selangor hari ini.

Acara kemuncak program itu ialah Himpunan Aman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anak muda yang bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 17 Mac depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan