Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Masalah mangsa ribut ke Kabinet

Posted:

Masalah mangsa ribut ke Kabinet

Masalah mangsa ribut ke Kabinet

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my


Noh Omar (tiga dari kanan) bertanya khabar salah seorang mangsa kejadian ribut sewaktu melawat mereka di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM 8 Feb. – Masalah yang dihadapi mangsa ribut di Pangsapuri Teratai di Bukit Subang semalam telah dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini kerana ia melibatkan kerugian agak besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau memaklumkan kepada Kabinet tentang kejadian tersebut memandangkan penduduk terbabit bukan sahaja memerlukan bantuan memulihkan rumah, malah sokongan bagi memulihkan trauma yang dihadapi mereka

"Pihak urus setia penduduk juga sedang membuat bancian bagi memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan terus kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin dan Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Anggerik, Kamaruddin Ahmad telah melawat mangsa selepas kejadian itu dan menghulurkan bantuan segera. Kami akan terus memantau keadaan mereka serta memberi bantuan yang diperlukan," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat lokasi kejadian dan mangsa-mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Teratai di sini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam menghulurkan bantuan pemulihan kerana ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri manakala kerajaan Persekutuan membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kerugian akibat kehilangan bumbung di Pangsapuri Teratai dianggarkan berjumlah RM200,000 selain kerosakan struktur tanah dan bangunan. Apa pun, kita tunggu tindakan kerajaan negeri supaya tidak berlaku percanggahan bidang kuasa yang akan mengusutkan keadaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, ribut yang melanda kawasan Bukit Subang menyebabkan 23 unit rumah di Pangsapuri Teratai mengalami kerosakan termasuk sembilan daripadanya tercabut bumbung.

Roadshow pembiayaan rumah rakyat, PA DBKL

Posted:

Roadshow pembiayaan rumah rakyat, PA DBKL

Roadshow pembiayaan rumah rakyat, PA DBKL

PUTRAJAYA 8 Feb. - Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin hari ini menjemput sesiapa sahaja termasuk dari parti pembangkang untuk menyertai dan berdebat pada program roadshow Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) bermula 1 Mac ini.

Beliau berkata, program yang akan diadakan di hadapan penduduk PPR dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu khusus mengenai skim pembiayaan khas berkenaan sahaja.

Katanya, lokasi pertama bagi road show itu akan dimaklumkan melalui media tidak lama lagi.

"Marilah berdebat bersama-sama saya di hadapan penduduk PA DBKL dan PPR kerana sebelum ini ada pihak-pihak tertentu, termasuk pembangkang menyatakan golongan tersebut tidak mampu nak bayar dan macam-macam lagi.

"Mereka kena berdepan dengan golongan itu dan tanya betulkah mereka tidak mampu bayar RM200 hingga RM300 sebulan untuk hartanah yang akan jadi milik mereka di masa depan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Semalam portal berita Malaysiakini melaporkan anggota parlimen pembangkang iaitu Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) menyahut ajakan Nong Chik untuk berdebat berhubung skim pinjaman khas perumahan itu.

Skim yang akan dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan) dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu bertujuan membantu warga kota berpendapatan rendah membeli rumah.

Nong Chik berkata, beliau berharap hasil daripada debat itu, bakal pembeli atau penyewa dapat menilai dengan lebih dekat hasrat murni kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Dalam masa yang sama, mereka juga mungkin dapat melihat bagaimana pihak pembangkang sengaja memanipulasikan niat baik kerajaan supaya ia gagal," katanya.

Sementara itu, menyentuh sambutan terhadap skim tersebut, beliau berkata, setakat ini kira-kira 35,000 penduduk PPR dan PA DBKL ditawarkan skim tersebut dan daripada jumlah itu, kira-kira 25,000 orang menyatakan minat.

"Daripada 25,000 orang itu, kira-kira 5,000 penduduk membelinya secara tunai dan 13,000 lagi telah menandatangani perjanjian jual-beli sementara 7,000 dalam proses menunggu kelulusan," katanya.

MPK serbu kafe siber

Posted:

MPK serbu kafe siber

MPK serbu kafe siber

KLANG 8 Feb. - Tiga buah kafe siber dan sebuah pusat karaoke telah diserbu dalam satu operasi yang dilakukan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) di bandar ini baru-baru ini.

Sebuah kafe siber itu beroperasi di Jalan Keledang 6, Meru manakala dua lagi di Taman Sentosa. Pusat karaoke itu pula merupakan sebuah restoran yang terletak di Jalan Young, Pandamaran Jaya.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat Kuasa, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, 76 unit komputer telah disita dari premis berkenaan kerana kesemua pemilik telah melanggar Undang-undang Kecil 3 Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007 dan tindakan diambil di bawah Undang-undang Kecil 28(1) Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007.

"Operasi yang diadakan ini adalah hasil risikan kami dan maklumat orang ramai yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, MPK sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan bagi memastikan kedua-dua isu ini dapat ditangani secara serius demi kesejahteraan penduduk setempat.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama ibu bapa perlu sentiasa peka dengan aktiviti luar anak-anak mereka terutama pada waktu malam dan hari cuti persekolahan bagi mengelakkan mereka daripada menjalankan aktiviti yang tidak berfaedah.

Dalam masa sama katanya, operasi turut dijalankan di sebuah restoran di Pandamaran Jaya berikutan aduan penduduk sekitar yang tidak tahan dengan bunyi bising dan tindakan pelanggan di situ yang suka meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka.

"Pemilik premis ini menjalankan perniagaan hiburan berbentuk karaoke tanpa lesen daripada MPK dan melanggar Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995 (Pindaan 1998 dan 2001).

"Tindakan sita pula telah diambil di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995 (Pindaan 1998 dan 2001)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan