Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Nahas kereta-lori: 3 beranak maut

Posted:

Nahas kereta-lori: 3 beranak maut

Nahas kereta-lori: 3 beranak maut

DUNGUN 18 Feb. - Tiga sekeluarga yang dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri kahwin maut, manakala dua lagi parah setelah kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam nahas ngeri di Kampung Paya Kemudi, dekat sini hari ini.

Mereka yang maut dalam nahas pukul 11.40 pagi itu ialah Tengku Shafuddin Tengku A. Rahman, 46, yang memandu kereta; isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, dan anak mereka, Tengku Muhammad Aqil, 9.

Ibu Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal.

Dua lagi anak mangsa iaitu Tengku Amir Haziz, 10, patah paha kanan manakala Tengku Nor Azira, 18, cedera ringan dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Dungun.

Tengku Shafuddin dan isterinya meninggal dunia di tempat kejadian manakala Tengku Muhammad Aqil meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Dungun.

Difahamkan, dalam nahas itu, sebahagian daripada mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dibantu orang ramai.

Kemalangan berlaku di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Paya Kemudi sewaktu keluarga malang itu dalam perjalanan dari Kampung Syukur, Pasir Raja untuk menghadiri kenduri kahwin di Kampung Gong Pasir.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke laluan sebelah sebelum bertembung dengan sebuah lori dari Dungun menghala ke Bukit Besi.

Sejurus selepas kemalangan itu, sebuah lagi kereta dinaiki empat beranak di belakang lori terbabit sempat mengelak ke kanan jalan sebelum melanggar tiang lampu di situ. Mereka dalam perjalanan ke Kuala Berang.

Keempat-empat mangsa itu ialah Mohd. Adli Rashid Abdullah, 36; Haslinda Mohamad, 35, serta dua anak mereka yang berusia 4 dan 9 tahun namun mereka tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, pemandu lori terlibat, Mohamad Abdullah, 58, berkata, dia dalam perjalanan menghantar bekalan diesel di Kampung Padang Pulut dan setiba di tempat kejadian, dia gagal mengelak kereta yang tiba-tiba memasuki laluannya.

"Saya cuba membrek bagi mengelak bertembung kereta itu yang tiba-tiba masuk ke laluan namun usaha itu gagal menyebabkan kenderaan kami bertembung," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abdullah mengesahkan mengenai nahas itu dan sedang menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.

Beliau berkata, jenazah tiga beranak dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.

2 maut, 1 parah tanah runtuh timbus rumah

Posted:

2 maut, 1 parah tanah runtuh timbus rumah

2 maut, 1 parah tanah runtuh timbus rumah

LAHAD DATU 18 Feb. - Dua termasuk seorang kanak-kanak maut manakala seorang lagi parah selepas rumah didiami mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Terusan, Lahad Datu dekat sini awal pagi ini.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu ialah Farida Jompa, 40, dan anak saudaranya, Nisdawati Jamal, 8.

Mangsa yang cedera parah ialah Masdar Laning, 50, yang juga suami kepada Farida.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd. Apandi Mahmod berkata, ketika kejadian, rumah yang terletak di lereng bukit itu dihuni tujuh sekeluarga termasuk empat lagi anak Farida.

"Mayat kedua-dua mangsa ditemui tertimbus di ruang tamu rumah berkenaan dalam jarak kira-kira satu meter.

"Bagaimanapun, lima lagi mangsa yang berusia antara 15 hingga 24 tahun berjaya menyelamatkan diri," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di hospital yang sama.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 11.30 pagi selepas mangsa terakhir ditemui.

Sementara itu, Masdar yang masih dalam keadaan trauma dan sedih berkata, pada mulanya dia hanya terdengar satu dentuman yang kuat dari belakang rumah.

"Saya kemudian pergi ke dapur dan melihat ada kesan tanah runtuh sebelum satu dentuman kuat tiba-tiba berlaku dan rumah kami ditimbus tanah.

"Saya tidak sempat membuat apa-apa kerana turut ditimbus tanah runtuh dan bergelut menyelamatkan diri," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan