Sabtu, 18 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Gelombang kesedaran baru landa rakyat

Posted: 18 Feb 2012 03:43 PM PST

Nasional

   MUHYIDDIN   bersama  Norainee     dan Tsu Koon serta pemimpin BN bersalaman dengan orang ramai ketika hadir  pada  Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi,  Balik Pulau, semalam.

MUHYIDDIN bersama Norainee dan Tsu Koon serta pemimpin BN bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Balik Pulau, semalam.

TPM yakin BN catat kejayaan besar

BALIK PULAU: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kejayaan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan gelombang kesedaran baru di kalangan rakyat yang kembali menyokongnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, gelombang kesedaran baru itu berdasarkan maklumat dan reaksi masyarakat secara keseluruhan di seluruh negara, khususnya terhadap pelbagai program transformasi dilakukan kerajaan dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Katanya, banyak program transformasi yang digerakkan sejak PRU-12 menyentuh perasaan rakyat dan mereka turut menghargai pembangunan ekonomi yang dibawa BN, di mana ia mendapat pujian banyak pihak, termasuk Bank Dunia dan IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa).

"Bila kita membuat bacaan mengenai sikap rakyat ini, kita mendapati sokongan rakyat kepada BN sudah bertambah kukuh dan lebih baik berbanding beberapa tahun sebelum ini. Jika dilihat dari sudut pilihan raya ia adalah sikap pengundi yang nampaknya sudah kembali kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Tsu Koon serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan Zainal, pemimpin UMNO serta BN Pulau Pinang di Menara UMNO, Georgetown.
Sementara itu, Muhyiddin turut menempelak Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang bersikap sombong dan angkuh sehingga lupa jasa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang membangunkan Pulau Pinang menjadi negeri termaju di Malaysia.

Katanya, beliau menerima banyak maklum balas daripada penduduk Pulau Pinang mengenai sikap Guan Eng yang menunjukkan seolah-olah negeri ini maju selepas pembangkang mentadbir.

"Jika Guan Eng rasional, beliau sewajarnya mengakui peranan dimainkan bekas Ketua Menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

"Sudah tiga tahun lebih Guan Eng memerintah tetapi menunjukkan sikap sombong dan bongkak dengan menafikan usaha BN terdahulu... Tsu Koon pun tidak kurang hebatnya. Rakyat sudah mula sedar.

"Jika bersikap rasional, dia kena mengakui apa yang BN buat dulu... bukannya oleh pakatan pembangkang. Itu semua (pembangunan) ketika BN... takkan orang Pulau Pinang buta... orang Pulau Pinang pun tahu," katanya.

PM tunai janji naik taraf kuarters JKR

Posted: 18 Feb 2012 03:37 PM PST

Nasional

Apartmen sembilan tingkat lengkap kemudahan asas selesakan penghuni

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak meninjau kuarters kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang daif dan serba kekurangan di Batu 2.5 Jalan Sungai Besi, dekat sini, serta memberi jaminan ia akan diganti baru untuk keselesaan penghuninya.

Semalam, Perdana Menteri mengotakan janjinya apabila kakitangan JKR terbabit menerima kunci rumah baru mereka daripada beliau. Apartmen sembilan tingkat yang mengandungi 60 unit rumah bersaiz 110 meter persegi setiap satu dengan tiga bilik, dua bilik mandi selain kemudahan tabika, gelanggang futsal, dewan, taman permainan kanak-kanak dan 209 petak letak kereta dibina di Batu 4.5 Jalan Sungai Besi.

Ini berbanding kuarters lama yang hanya mempunyai satu bilik, satu bilik mandi, tanpa sebarang kemudahan, selain bangunannya yang usang, dipenuhi semak dan longkangnya tersumbat serta menyukarkan kehidupan penghuninya.

Ketika melakukan tinjauan mesra ke situ pada 5 September 2009, Najib mengumumkan peruntukan RM28 juta bagi membina kuarters baru sembilan tingkat itu, namun hanya RM19 juta digunakan untuk menyiapkan perumahan baru itu.

Kerja pembinaan dimulakan pada 25 Mac 2010 dan siap sepenuhnya pada 3 Oktober lalu sebelum mula diduduki kakitangan JKR berpendapatan rendah secara berperingkat mulai Disember lalu.
Ketika ditemui Berita Minggu, semalam, seorang penghuni, Azizah Abdul Aziz, 29, berkata beliau bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib kakitangan JKR berpendapatan rendah.

"Alhamdulillah, saya akan berpindah ke rumah baru bulan depan. Sekarang kami tinggal di Flet Pandan Cahaya. Saya sudah tengok rumah baru itu, memang luas dan lengkap dengan tiga bilik serta dua bilik mandi.

"Kalau sekarang kami terpaksa menyediakan RM500 untuk membayar sewa bulanan, mulai bulan depan kami dapat menggunakan wang itu untuk keperluan keluarga," katanya.

Azizah yang bertugas di JKR Cawangan Wilayah Persekutuan, berkata tidak mungkin keselesaan di rumah baru itu mampu dinikmati tanpa keprihatinan Najib terhadap nasib rakyat berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Sementara itu, P Ravichandran, 43, kakitangan Bahagian Istiadat JKR, berkata sejak berpindah ke rumah baru pada 29 Januari lalu, beliau dan isteri serta tiga anak mereka berusia lapan hingga 15 tahun menikmati kehidupan lebih selesa.

"Dulu kami tinggal di Kuarters Batu 2.5. Rumah itu terlalu sempit kerana hanya ada satu bilik dan satu bilik mandi. Kalau ada anggota keluarga datang, kami terpaksa tidur di ruang tamu.

"Kalau hendak menyewa di tempat lain, kami tidak mampu kerana isteri saya tidak bekerja. Saya berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri kerana membela nasib penduduk berpendapatan rendah seperti saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan