Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Dadah RM4 juta dirampas

Posted:

Dadah RM4 juta dirampas

Dadah RM4 juta dirampas

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Noor Rashid Ibrahim menunjukkan barangan memproses dadah yang dirampas pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NUR AIMUNI (PelatiH UiTM)


KUALA LUMPUR 13 Feb. - Polis menggagalkan cubaan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ingin menjadikan negara ini sebagai pusat memproses dadah didalangi warga Iran selepas tertangkapnya tujuh lelaki termasuk tiga warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Changkat Kiara Bayu, Jalan Dutamas, di sini kelmarin.

Tiga daripada warga Iran itu ditahan ketika memproses dadah di kediaman mewah tersebut manakala seorang lagi warga Iran dan tiga warga tempatan yang dipercayai pengedar ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar ibu negara dalam serbuan serentak kira-kira pukul 5 petang, Sabtu lalu.

Hasil intipan dua bulan lalu, polis mendapati kediaman mewah itu dijadikan makmal haram memproses dadah dengan rampasan sebanyak 13 kilogram cecair syabu, tujuh kilogram syabu berbentuk kristal, pelbagai bahan kimia seperti acetone dan peralatan-peralatan memproses dadah.

Polis turut merampas 25 kilogram dadah prekursir ephedrine (ibu syabu) yang diperoleh dari India daripada seorang warga Iran yang ditahan berasingan di ibu negara, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, empat daripada yang ditahan termasuk seorang warga Iran itu baru dibebas dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, di bawah Undang-undang Pencegahan Akta Dadah Berbahaya, langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) 1985 dan Ordinan Darurat 1969.

"Tahanan yang berusia 22 tahun hingga 51 tahun itu dipercayai mula berhubung ketika dalam pusat tahanan sebelum merancang bekerjasama dalam sindiket pengedaran bagi pasaran tempatan dan antarabangsa tersebut.

"Kesemua warga Iran itu menggunakan visa pelancong untuk masuk ke negara ini. Salah seorang daripada tiga suspek tempatan itu memiliki lebih 10 rekod lampau jenayah berkaitan samun, rusuhan dan dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Kata Noor Rashid, sindiket itu dikesan mendapatkan bekalan dadah-dadah yang disorok dalam bekas-bekas barang perhiasan sebelum diseludup masuk melalui pelabuhan.

"Modus operandi sindiket adalah sentiasa berpindah selepas tiga hingga empat bulan menetap di satu kawasan. Mereka dipercayai merancang berpindah ke sebuah kediaman mewah di Bukit Tunku," katanya.

Jelas Rashid, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Sesyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Warga emas, menantu ditahan kes pecah rumah

Posted:

Warga emas, menantu ditahan kes pecah rumah

Warga emas, menantu ditahan kes pecah rumah


Salehhudin Abd. Rahman (kanan) bersama anggota polis menunjukkan hasil rampasan komputer riba yang dirompak oleh dua lelaki yang merupakan menantu dan bapa mertua pada sidang media di Melaka, semalam.


MELAKA 13 Feb. - Seorang warga emas berusia 69 tahun dan menantu lelakinya diberkas setelah dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lalu dalam serbuan di rumah sewa mereka di Taman Krubong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, dalam serbuan pukul 9 pagi itu, kedua-duanya cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 10 unit komputer riba pelbagai jenama iaitu Acer, Sony dan Lenovo, empat buah televisyen paparan cecair kristal (LCD) dan lima telefon bimbit pelbagai jenama antaranya Nokia dan Iphone 4.

"Turut ditemui sebuah kamera jenama Lumix, satu jalur lebar, sebuah beg mengandungi alatan untuk pecah rumah dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Banda Hilir di sini pada 6 Februari lalu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu mempunyai 12 rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah lain manakala bapa mertuanya tiada rekod.

Difahamkan modus operandi kedua-dua suspek ialah memecah masuk pada waktu siang ketika penghuninya keluar bekerja.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan