Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Guru gotong-royong usaha taman herba

Posted:

Guru gotong-royong usaha taman herba

Guru gotong-royong usaha taman herba

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


WARGA SK Dalam Ru melakukan gotong-royong membersihkan lengkuas yang dituai di taman herba sekolah tersebut.


PASIR PUTEH 13 Feb. - Guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru dekat sini membangunkan taman herba terutama lengkuas untuk menambah sumber pendapatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan yang aktif membantu warga guru melaksanakan pelbagai program kecemerlangan akademik murid-murid.

Penolong Kanan Kokurikulum, Wan Mohd. Nazari Wan Nawang berkata, usaha sukarela guru-guru terbabit juga adalah untuk membekalkan bahan bantu belajar terutama bagi mata pelajaran Sains yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan di samping memberi pengetahuan umum kepada murid.

"Guru, murid dan pekerja sekolah bergotong-royong membersihkan kawasan taman herba ini pada waktu lapang kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan.

"Selain keperluan dalam proses pendidikan yang memerlukan tumbuhan sebenar sebagai alat bantu belajar, murid juga didedahkan dengan kaedah penanaman pokok serta teknik mengindahkan taman selain memupuk semangat kerjasama membangunkan pelbagai projek yang dilaksanakan di peringkat sekolah," katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Nazari berkata, lengkuas lazimnya digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan, tetapi sebenarnya ia mempunyai nilai komersial memandangkan permintaan yang amat tinggi dalam dunia perubatan herba pada masa ini.

"Penanamannya di sekolah hanya sekadar aktiviti sampingan yang tidak bertujuan komersial, tetapi pada masa sama keperluannya dalam dunia perubatan herba dan permintaan seluruh dunia wajar didedahkan sebagai tanaman yang berpotensi dalam sektor pertanian komersial," katanya.

Menurutnya, di India dan Indochina, tumbuhan itu digunakan untuk merawat dispepsia (ketakcernaan) dan bronkitis manakala di China biji benih lengkuas digunakan untuk merawat kolik iaitu sakit perut yang memulas, cirit-birit dan muntah.

"Di Jawa ia digunakan untuk merawat limpa yang bengkak serta untuk memperbaiki sistem pencernaan dan di Malaysia pula ia digunakan sebagai salah satu bahan utama tonik herba selepas bersalin selain sebagai salap untuk merawat sakit sendi dan ligamen," katanya.

Masyarakat Siam bantu anak yatim Perkaya Jabi

Posted:

Masyarakat Siam bantu anak yatim Perkaya Jabi

Masyarakat Siam bantu anak yatim Perkaya Jabi


Sebahagian daripada anak yatim Asrama Perkaya Jabi yang menerima sumbangan daripada masyarakat Siam.


SETIU 13 Feb. - Meskipun berlainan agama dan bangsa, namun perasaan belas kasihan dan keprihatinan terhadap golongan yang tidak bernasib baik khususnya anak-anak yatim tidak pernah terpadam dari hati sanubari mereka.

Keinginan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban sesama insan timbul apabila melihat kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan ia turut didorong oleh rasa kekitaan serta perpaduan yang telah lama terjalin.

Sesuai dengan ajaran setiap agama yang memberi perhatian kepada golongan anak yatim, masyarakat Siam dari Kampung Batu Balai Renek dan Pak Kiang, Keluang tidak ketinggalan menabur bakti.

Baru-baru ini, satu rombongan yang diketuai oleh Ketua Sami Wat Phuttasinpalukararm, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, Tharn Nurn berkunjung ke Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) Jabi di Kampung Pondok Paku dekat sini.

Tujuannya untuk menziarahi penghuni yang tinggal di asrama tersebut sambil menyampaikan sumbangan makanan dan bantuan kewangan kepada pengurusan asrama itu yang kini dihuni oleh 109 pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim.

Selain makanan, mereka turut menghulurkan wang kepada penghuni asrama itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali yang juga pengerusi asrama tersebut serta Pengerusi MCA Bahagian Setiu, Wee Beng Hai.

Tidak ketinggalan tiga orang sami Buddha serta penduduk berketurunan Siam dan Cina dari perkampungan Siam di Kampung Batu Balai, Renek dan Kampung Pak Kiang, Keluang menyertai rombongan tersebut.

Sumbangan kewangan disampaikan kepada pengetua asrama, Ahmad Awang manakala barang makanan seperti minyak masak dan beras diserahkan kepada Ramlan.

Beng Hai dalam ucapannya berkata, kehadiran mereka untuk menyumbang kepada penghuni asrama itu sebenarnya didorong oleh semangat 1Malaysia selain menyuburkan ikatan perpaduan yang telah sekian lama terjalin.

"Sumbangan ini bukan untuk dinilai jumlahnya tetapi atas semangat dan keikhlasan kami untuk memberikan sesuatu kepada pelajar yang kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim.

"Yang penting kita mahu para pelajar faham, biarlah kehidupan kita miskin tetapi kita kaya dengan semangat juang untuk mengubah nasib biarpun sudah kehilangan ibu bapa," ujarnya.

Sementara itu salah seorang ahli rombongan itu, Vinaron a/l Eh Nek, 18, berasa bangga kerana berpeluang menyertai rombongan itu sekali gus menjadi satu pengalaman menarik kepada dirinya.

Katanya, peluang bersama anak-anak yatim dari pelbagai agama dan bangsa bukan penghalang untuk mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini.

"Inilah konsep yang perlu diterap dan diamalkan, sesuai dengan gagasan 1Malaysia untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara berbilang kaum serta agama ini," ujarnya.

Aling a/p Awang, 19, pula berkata, dia amat teruja dengan perjumpaan bersama pelajar yatim apatah lagi agama yang dianutinya turut memberikan penekanan untuk membantu.

"Ini satu lagi cara yang baik dan patut diamalkan oleh semua kaum dan bangsa bagi memastikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat menghayati konsep perpaduan," katanya.

Jerman dipilih latih pelajar teknologi automotif

Posted:

Jerman dipilih latih pelajar teknologi automotif

Jerman dipilih latih pelajar teknologi automotif

KUALA TERENGGANU 13 Feb. - Kerajaan negeri memilih Jerman sebagai pangkalan untuk melatih sekumpulan pelajar dari negeri ini bagi mengikuti bidang teknologi automotif bermula tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu sejajar dengan kedudukan negara itu yang terkenal dengan tradisi industri pemotoran termasuk jenama yang mendominasi pasaran dunia iaitu BMW, Mercedes dan Audi.

Katanya, mereka akan ditempatkan di The Technical University of Berlin hasil perbincangan dengan pihak universiti itu yang bersedia memberi tempat.

"Bagaimanapun, pelajar berkenaan terlebih dahulu perlu belajar bahasa Jerman," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Katanya, kepakaran itu nanti akan membuka peluang yang lebih luas kepada anak Terengganu untuk bekerja dengan firma pemotoran di seluruh dunia.

"Kita akan lihat jumlah pelajar yang dihantar kelak berdasarkan keperluan, kesanggupan dan kelayakan mereka untuk mengikuti kursus berkenaan dengan kos keseluruhannya akan ditanggung oleh Yayasan Terengganu," katanya.

Ahmad turut memaklumkan, Terengganu bakal mempunyai sebuah pusat latihan penyelenggaraan pesawat, sebagai satu lagi pendekatan ke arah mempelbagaikan penguasaan kemahiran anak negeri.

Katanya, bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan Pusat Penerbangan Taiko di Xiamen, China.

Menurut beliau, ia bakal dibina berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi memudahkan pengendalian dan keperluan penerbangan serta pendaratan.

"Kita telah mengadakan lawatan ke Pusat Penerbangan Taiko dan pihaknya juga akan datang ke sini bagi melihat kawasan yang bersesuaian.

"Pada masa ini, seramai 50 anak tempatan sedang mengikuti pengajian di pusat penerbangan tersebut dan lebih ramai yang berpeluang jika pusat seumpama itu beroperasi di sini," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan