Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Polis tingkat pemantauan jenayah siber

Posted:

Polis tingkat pemantauan jenayah siber

Polis tingkat pemantauan jenayah siber

MELAKA 7 Feb. - Polis negeri akan meningkatkan pemantauannya terhadap aktiviti di laman sosial khususnya yang melibatkan pelajar sekolah bagi membendung golongan berkenaan daripada terjerumus dalam jenayah siber.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pelajar lebih cenderung terdedah kepada jenayah berkenaan berbanding orang dewasa kerana golongan itu sering bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan akibatnya.

"Kita perlu pantau perkara ini kerana mungkin satu pergaduhan serius sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian boleh berlaku akibat perbalahan kecil di laman sosial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun statistik kes melibatkan jenayah siber masih rendah dan terkawal, namun polis memandang serius terutamanya yang menjurus kepada berlakunya pergaduhan atau menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, selain penularan fitnah, polis turut memberikan perhatian serius terhadap penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman kerana boleh menyebabkan keadaan huru-hara dan menggugat keselamatan negara.

"Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan Internet dan laman sosial adalah perlu pada masa ini, namun pengguna perlu bertanggungjawab dan berwaspada dengan kenyataan yang dibuat kerana ia memberikan impak besar terhadap kestabilan negara," katanya.

Justeru, katanya, bagi memastikan jenayah siber melibatkan pelajar sekolah dapat dibendung dengan berkesan, guru dan ibu bapa perlu turut membantu dengan sentiasa memantau aktiviti pelajar dan anak mereka.

Maut digilis kereta bapa

Posted:

Maut digilis kereta bapa

Maut digilis kereta bapa

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 7 Feb. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan maut digilis kereta yang dipandu oleh bapanya sendiri dalam kejadian di rumahnya di Kampung Dusun dekat Kuala Lipis semalam.

Mangsa, Nurfazliyana Jais dilaporkan meninggal dunia di rumah keluarganya akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.05 petang apabila bapa mangsa berusia 45 tahun dikatakan sedang mengundur keretanya tanpa menyedari anak bongsu daripada empat beradik terbabit berada di belakang kenderaan tersebut.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dipercayai sedang makan bubur bersama adik-beradiknya yang lain di dalam rumah manakala bapanya keluar menghidupkan enjin kereta untuk pergi ke kebun.

"Apabila kereta diundurkan, secara tiba-tiba dia meluru keluar dan pergi ke belakang kenderaan itu tanpa disedari oleh bapanya.

"Akibatnya, mangsa dipercayai dilanggar dan kepalanya dilenyek kereta itu sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, kejadian hanya disedari oleh ibu mangsa yang berusia 39 tahun apabila dia terdengar bunyi kuat seakan- akan benda terhantuk di luar rumah.

"Jenazahnya dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan