Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


DAP perlu jelas pemberian wang RM14 juta

Posted:

DAP perlu jelas pemberian wang RM14 juta

DAP perlu jelas pemberian wang RM14 juta

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kerajaan Pulau Pinang perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pemberian wang sebanyak RM14 juta dalam isu tanah Tan Hak Ju kerana ia melibatkan wang rakyat.

Menurut pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Zulfakar Ramlee, jumlah tersebut amat besar sebagai pampasan daripada sebuah kerajaan yang memerintah.

''Jika pampasan itu daripada pihak swasta ia mungkin tidak perlu dipertikaikan tetapi kalau daripada kerajaan negeri ini sesuatu yang perlu diperjelaskan,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata beliau, rakyat Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran untuk memantau isu berkenaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

''Kita kena lihat atas dasar apa kerajaan negeri boleh mengeluarkan wang sebegitu banyak sebagai pampasan,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Teng Hock Nan yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu sebagai 'pelik' kerana ia masih dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

Pada 31 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri telah mendepositkan sebanyak RM14 juta kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 Mei 2009 seperti diperintahkan mahkamah.

Namun, pada 11 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi supaya membayar RM40 juta kepada Hak Ju.

Sebaliknya, kerajaan hanya perlu membayar RM500,000 kepada Hak Ju sebagai bayaran kos yang ditanggungnya sepanjang perbicaraan kes itu.

Dalam pada itu, pakar undang-undang Prof. Salleh Buang berkata, rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui alasan kerajaan membuat bayaran sedemikian.

''Jika mereka mencurigai tindakan tersebut laporan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),'' katanya.

Namun, beliau berkata, jika kes berkenaan masih di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan maka keputusan kerajaan negeri membayar pampasan itu agak luar biasa.

''Kalau kes itu masih di peringkat rayuan oleh mana-mana pihak maka, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlekehkan fungsi mahkamah,'' katanya.

Nik Aziz perlu ditarbiah

Posted:

Nik Aziz perlu ditarbiah

Nik Aziz perlu ditarbiah

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Ulama Pas perlu mentarbiah Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kembali ke pangkal jalan dan berhenti daripada bersikap hipokrit semata-mata untuk menjaga kepentingan politiknya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keengganan Nik Abdul Aziz menyatakan pendirian berhubung sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keselamatan sebuah negara Israel baru-baru ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang tidak berpendirian.

"Dia sepatutnya berkata sesuatu yang lebih tegas bukannya berdiam diri atau sekadar meminta penjelasan Anwar yang sebenarnya hanya satu helah.

"Nik Abdul Aziz sudah banyak menyeleweng, maka perlu ulama dalam Pas sendiri membawa beliau kembali ke pangkal jalan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas sikap 'pak turut' Mursyidul Am Pas itu yang dilihat mempertahankan kenyataan Anwar menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel di dalam wawancara dengan The Wall Street Journal (WSJ) akhir bulan lalu.

Menurutnya, sebagai pemimpin parti yang memperjuangkan Islam, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya berdolak-dalih berhubung isu yang telah mengguris hati umat Islam dan imej negara yang konsisten menentang kezaliman Zionis.

"Dia buat andaian kononnya media memutar belit kenyataan Anwar tetapi Anwar sendiri tidak menafikan kenyataan yang beliau buat dalam WSJ.

"Tak perlu buat kenyataan berhelah, boleh bidas terus Anwar kalau itu yang dinyatakan," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran itu percaya tindak-tanduk Nik Abdul Aziz dan penyokong PKR yang mempertahankan kenyataan Anwar mempunyai kaitan dengan harapan pembangkang meraih bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Yahudi untuk memenangi pilihan raya.

"Mereka tidak yakin boleh tawan Putrajaya melalui proses pilihan raya dan demokrasi tanpa campur tangan kuasa asing.

"Ulama politik itu atau Nik Abdul Aziz telah berjaya memukau semua ahli Pas supaya hanya tumpu kepada matlamat politik dan usaha menawan Putrajaya. Mereka sanggup membelakangi nasib dan maruah rakyat Palestin," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Puad menyeru rakyat supaya menolak dan mengecam Nik Abdul Aziz serta penyokong Anwar yang menjadi punca Ketua Pembangkang itu semakin berani bersikap pro-Israel.

"Imej Malaysia yang selama ini konsisten menentang kezaliman Zionis akan bertukar menjadi sebuah negara pro-Israel jika pembangkang menang pilihan raya,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan