Selasa, 14 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lapan bulan terbiar

Posted: 13 Feb 2012 11:26 AM PST

GOMBAK: Selepas lebih lapan bulan sejak Taman Sri Gombak Town Villa di sini, ditimpa bencana tanah runtuh pada penghujung Mei tahun lalu, kerja baik pulihnya mengecewakan penduduk apabila sehingga kini tiada tindakan susulan.

Pengerusi Penduduk perumahan berkenaan, Zulkifli Abdul Rahman, berkata sejak bencana terbabit melanda kawasan rumah mereka, bekas runtuhan berkenaan hanya ditambak dengan tanah membabitkan 40 lori oleh pemilik lot tanah itu sendiri.


Katanya, beliau beberapa kali menghubungi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mendapatkan maklum balas serta perkembangan berhubung perkara itu, sekali gus meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit mempercepatkan kerja baik pulih sebelum insiden lebih buruk berlaku.

"Saya diberitahu, peruntukan untuk melaksanakan kajian berhubung struktur tanah oleh Kumpulan Ikram Sdn Bhd (Ikram) di kawasan runtuhan itu sudah diluluskan MPS, namun Ikram belum menerima bayarannya.


"Setiap kali hujan, kami berdebar-debar kerana risau kejadian itu berulang dan boleh menjadi lebih teruk disebabkan struktur tanah tidak stabil. Malah, perkara ini juga membabitkan keselamatan penduduk Kampung Sungai Chin Chin di kaki bukit perumahan kami," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, lebih merisaukan penduduk apabila sijil layak menduduki (CF) sementara diberikan MPS yang tamat pada September tahun lalu tidak diperbaharui seolah-olah rumah mereka tidak selamat didiami.

Sementara itu, jurucakap MPS berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pemilik tanah terbabit berhubung perkongsian kos untuk memperbaiki runtuhan itu dalam masa terdekat.


"Laporan kejadian itu sudah siap disediakan MPS, malah sudah pun dibawa kepada pihak Ikram untuk perhatian lanjut dan kami perlu menunggu hasil perbincangan bagi mencari kata sepakat sebelum melaksanakannya," katanya. Harian Metro Mei tahun lalu melaporkan kebimbangan lebih 200 penduduk perumahan berkenaan selepas tebing bukit berhampiran rumah mereka runtuh dan pada masa sama hakisan tanah berlaku disebabkan hujan lebat beberapa hari sebelumnya.



Forklift rempuh rumah

Posted: 13 Feb 2012 11:25 AM PST

SHAH ALAM: "Ketika saya melayari Internet, saya terkejut selepas mendengar tiga dentuman kuat di luar rumah. Saya sangka kemalangan kerana rumah berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

"Disebabkan dentuman itu kuat, saya keluar untuk meninjau keadaan. Saya terkejut selepas mendapati sebuah forklift melanggar kereta saya sebelum menghentam pagar rumah dan kenderaan jiran," kata Dr Azman Mat Isa, 40, ketika ditemui rumahnya di Jalan Pegaga U12/12, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 11.40 pagi semalam itu, sebuah forklift yang menuruni bukit menghadapi masalah brek menyebabkan ia hilang kawalan dan melanggar kereta Perodua Kancil milik Dr Azman di bahu jalan sebelum merempuh pagar dan Nissan Grand Lavina milik jirannya.


Dr Azman berkata, sebaik mendengar dentuman itu, dia keluar sebelum mendapati dua pekerja sebuah syarikat pembinaan berada di hadapan rumah jirannya dengan pemandu forklift berkenaan cedera di kepala dan dikejarkan ke hospital.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan