Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Imbas sejarah di Muzium Perang

Posted:

Imbas sejarah di Muzium Perang

Imbas sejarah di Muzium Perang

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


LALUAN bawah tanah yang terdapat di Muzium Perang di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang.


PULAU PINANG 13 Feb. - Sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957, negara pernah dijajah oleh kuasa-kuasa asing iaitu Portugis, Belanda, Jepun dan British.

Justeru, tidak hairan jika bangunan-bangunan bercirikan warisan negara-negara tersebut dapat dilihat di Malaysia, termasuk di negeri ini.

Antaranya, Muzium Perang yang terletak di puncak Bukit Batu Maung di sini.

Ia pernah digunakan sebagai pusat operasi tentera British pada sekitar 1930-an dan 1940-an.

Kedudukannya yang strategik membolehkan tentera British mengawasi tiga perempat keluasan Pulau Pinang daripada serangan musuh.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kubu itu dibina pada 1930 dan kini merupakan muzium perang terbesar di Asia Tenggara.

Terletak di ketinggian 75 meter dari aras laut, kubu usang yang dikelilingi rimbunan pokok itu masih berkeadaan baik walaupun banyak kesan peluru dan bom dapat dilihat pada setiap dindingnya.

Ia dibiarkan dalam keadaan asal bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri keadaan di situ kira-kira 60 tahun lalu.

Laluan pejalan kaki di beberapa bangunan terutama bekas berek askar masih dikekalkan dengan cat asal berwarna hijau suram.

Selain itu, banyak koleksi gambar peribadi seorang tentera British yang ditahan Jepun di situ, James Tait dipamerkan bagi memberi gambaran situasi sebenar di situ.

Terdapat juga gambar tokoh-tokoh terkenal semasa Perang Dunia Kedua seperti Jeneral Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya dan Jeneral MacArthur.

Malah, kebanyakan peralatan yang dipamerkan pula merupakan artifak asal yang dijumpai di tapak muzium seperti kuali, alat untuk menyeksa tahanan dan serpihan pinggan mangkuk.

Berbeza dengan keadaan muzium-muzium lain yang pernah kita lawati, pengunjung berpeluang merasai pengalaman unik iaitu menyusuri salah satu daripada tiga terowong yang pernah digunakan oleh askar British untuk melarikan diri semasa Jepun menyerang.

Keadaannya yang panjang, gelap, sempit dan berbelok-belok membangkitkan perasaan seram dan pengunjung perlu berjalan dalam keadaan tunduk.

Berdasarkan fakta sejarah, pada 1930 kerajaan British memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membina kubu berkenaan.

Unit British Royal Engineers telah diberi tanggungjawab untuk menggali bukit tersebut bagi membina terowong bawah tanah, kubu, pusat perisikan, pusat logistik, dewan, pejabat, saluran angin, meriam, tempat tidur, tempat memasak, penjara dan kelengkapan perubatan di atas tanah seluas 20 ekar (lapan hektar) itu.

Pada 1942, kubu pertahanan British itu jatuh ke tangan tentera Jepun selepas satu pertempuran sengit membabitkan lebih 1,500 anggota tentera British termasuk askar Punjab, Gurkha dan Melayu di mana ramai yang terkorban atau ditawan.

Tentera Jepun kemudian menjadikan kubu berkenaan sebagai pusat tahanan dan penyeksaan selama lebih dua tahun sebelum menyerah kalah kepada tentera Berikat pada 1945 sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.

Bermula dari itu, kubu itu ditinggal dan dibiarkan begitu saja, bagaimanapun selepas lebih 60 tahun diabaikan, ia kemudiannya dijadikan Muzium Perang bagi memperingati sejarah negara.

Banteras gejala sosial remaja

Posted:

Banteras gejala sosial remaja

Banteras gejala sosial remaja

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusanpenang@utusan.com.my


ROSLAN Saidin (duduk tengah) bersama para pelajar yang menerima BB1M di SMK Haji Abdul Kadir, Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin.


KEPALA BATAS 13 Feb. - Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak-anak, terutama di luar persekolahan bagi mengelak mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin berkata, ini kerana ada ibu bapa tidak menghiraukan tingkah laku anak-anak apabila dimaklumkan tentang anak mereka.

"Kita dimaklumkan ada 24 pelajar sekolah menengah terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan Kepala Batas," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 36 pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir di sini.

Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM200.

Menurut Roslan, pelajar yang terjebak dengan najis dadah boleh merosakkan masa depan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

Kata beliau, kerajaan amat prihatin untuk membantu pelajar supaya mereka dapat menyambung pengajian bagi menjamin kehidupan mereka pada masa depan.

Sementara itu, Pengetua sekolah itu, Sopiah Ebau berkata, baucar yang diterima perlu digunakan pelajar untuk membeli pelbagai bahan bacaan dan pemberian ini dapat meringankan bebanan keluarga.

MBI teruskan pembangunan Pangsapuri Waller Court

Posted:

MBI teruskan pembangunan Pangsapuri Waller Court

MBI teruskan pembangunan Pangsapuri Waller Court

IPOH 13 Feb. --Setelah beberapa kali tertangguh sejak 1990-an, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akhirnya memutuskan untuk meneruskan cadangan pembangunan semula Pangsapuri Waller Court miliknya di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, mengikut perancangan, keseluruhan pangsapuri itu akan diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri baharu bersaiz sederhana yang lebih selesa dan moden untuk didiami penghuni.

Katanya, pangsapuri baharu itu mempunyai tiga bilik tidur dan lot-lot komersial akan dibangunkan di kawasan sekitarnya.

"Kita sudah hantar terma rujukan kepada kerajaan negeri. Kita hendak kerajaan negeri tengok terma rujukan itu sesuai atau tidak.

"Kita harap sekurang-kurangnya pada tahun ini boleh buat majlis pecah tanah projek pembinaan pangsapuri baru itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Sarapan Pagi Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro di MH Hotel di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan pembangunan semula Pangsapuri Waller Court yang sudah usang dan dianggap mencacatkan pemandangan bandar raya ini.

Pangsapuri Waller Court dibina pada 1962 di atas tanah 2.88 hektar. Premis tersebut mempunyai 500 unit rumah dengan kadar sewa antara RM50 dan RM125 sebulan.

Roshidi berkata, semasa proses pembinaan pangsapuri baharu itu, 380 penghuni Pangsapuri Waller Court tidak perlu berpindah kerana projek itu dibuat secara berperingkat-peringkat.

"Sebanyak 200 unit pangsapuri yang telah dikosongkan sebelum ini akan dirobohkan bagi pembangunan fasa pertama. Kita akan kekalkan penduduk di rumah mereka sehingga perumahan baharu siap," ujarnya.

Menurut beliau, MBI komited dan beberapa kali cuba untuk membangunkan semula Pangsapuri waller Court tetapi beberapa kali tertangguh kerana dibantah penduduk selain isu tersebut.

"Saya minta penduduk faham kehendak sekarang. Jangan politikkan perkara ini. Kalau tidak dipolitikkan, semua (yang dirancang) boleh jadi," katanya.

Dalam pada itu, Roshidi memberikan tempoh selama 15 hari kepada penduduk Taman Kaya di Taman Ipoh Timor di sini menyerahkan pelan berhubung tindakan mereka membina pondok pengawal dan memasang palang besi bagi mengawal keselamatan kawasan itu daripada aktiviti jenayah.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil penduduk itu adalah baik tetapi ia perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

"Kita sudah hantar notis kepada penduduk. Apa yang mereka buat itu baik dan apa yang majoriti penduduk mahukan sebaik-baiknya mendapat kelulusan majlis," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan