Khamis, 16 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mayat bayi bertali pusat ditemui dalam tandas hospital

Posted: 16 Feb 2012 03:51 AM PST

BUKIT MERTAJAM: Mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam tandas wad kanak-kanak Hospital Bukit Mertajam (HBM), di sini hari ini.

Mayat bayi perempuan itu ditemui di atas lantai oleh seorang tukang cuci yang hendak mencuci tandas berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

Pencuci tandas berkenaan memaklumkan penemuan mayat bayi itu kepada jururawat hospital sebelum memanggil doktor untuk memeriksa bayi berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


"Berdasarkan siasatan awal, ada saksi terlihat seorang wanita keluar dari tandas wad berkenaan dalam keadaan pucat dan letih pada jam 7.30 pagi," katanya.


Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. - Bernama



Juruhebah IKIMfm Abdul Razak Arbain meninggal dunia

Posted: 16 Feb 2012 12:34 AM PST

KUALA LUMPUR: Juruhebah Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Abdul Razak Arbain meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bukit Jalil, di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.15 pagi ketika motosikal yang ditunggang Abdul Razak bertembung dengan motosikal lain sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah, menurut kenyataan IKIM.

Abdul Razak, 46 memulakan tugas sebagai juruhebah di IKIMfm sejak tahun 2006 dan merupakan seorang juruhebah yang disegani ramai melalui slot kendaliannya 'Dini Hari' yang ke udara setiap Selasa dan Rabu, jam 2 hingga 6 pagi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, dan tiga orang anak yang berusia antara 10 dan 19 tahun.


Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Bohol, Kinrara, Puchong, selepas solat Zohor. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan