Khamis, 16 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Derita sang penyu perlu pembelaan

Posted:

Derita sang penyu perlu pembelaan

Derita sang penyu perlu pembelaan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


Para pelajar yang menyertai program Kenali Penyu Sayangi Penyu anjuran Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melepskan anak-anak penyu ke laut di Lumut, baru-baru ini.


LUMUT 15 Feb. - Penyu kini dilanda masalah serius kerana lebih 300 spesies haiwan tersebut berdepan dengan ancaman kepupusan.

Hidupan itu bukan sahaja dikumpul, didagang mahu pun dimakan, malah habitat haiwan tersebut turut diancam pencemaran dan kemusnahan bagi tujuan pembangunan.

Laporan Gabungan Penjagaan Penyu, sebuah gerakan global termasuk Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli (IUCN) pada Mac tahun lalu mendedahkan, terdapat 25 penyu air tawar dan kura-kura yang kini paling diancam kepupusan.

Biarpun cangkerang penyu berupaya memastikan survival haiwan tersebut sejak bertahun lamanya, namun kerakusan manusia mampu melenyapkan spesies itu dalam sekelip mata.

Di negara China, perdagangan penyu amat berleluasa dengan jutaan haiwan tersebut diimport setiap tahun dari seluruh Asia, Afrika dan Amerika Utara bagi memenuhi permintaan tinggi.

Meskipun perusahaan penyu berskala besar secara komersial giat diusahakan bagi memenuhi permintaan domestik di China, namun populasi haiwan tersebut masih terancam.

Ia berikutan terdapat permintaan untuk mendapatkan daging penyu selain ada yang juga melihatnya sebagai satu produk perubatan.

Lebih malang, populasi penyu semakin musnah apabila penggemar haiwan yang kaya sanggup membayar berjuta-juta dolar Amerika di pasaran gelap semata-mata untuk mendapatkan haiwan tersebut.

Di negara ini pula, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyeru pihak berkuasa melarang penjualan dan pemakanan telur penyu dan tidak terbatas hanya kepada penyu belimbing.

Menurut WWF Malaysia, penyu agar, penyu karah dan terutamanya penyu lipas juga kian berada di ambang kepupusan sekiranya telur-telur hidupan ini tidak dilindungi oleh undang-undang.

Biarpun begitu, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu Malaysia yang dilancarkan pada 2008 sekurangnya menyediakan platform tepat ke arah perlindungan telur penyu daripada dijual dan dimakan.

Menyedari hakikat tentang peri pentingnya penjagaan penyu, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bersama 200 pekerjanya baru-baru ini menganjurkan program 'Kenali Penyu Sayangi Penyu' di Pusat Pengurusan Penyu Segari.

Seramai 50 pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Segari, Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Huntley menyertai inisiatif ini.

Dirancang di bawah Program Pembangunan Kepemimpinan Malakoff, pelajar memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai penyu termasuklah langkah yang perlu mereka lakukan supaya kemandirian spesies tersebut terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam penjagaan alam sekitar di bawah platform tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Projek ini amat bermakna dan kita berharap pelajar dan masyarakat setempat akan mendapat lebih input bagaimana untuk memulihara populasi penyu yang semakin berkurangan," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah ceramah bertajuk Kenali Penyu Bererti Menyayangi Penyu yang memfokuskan tentang pemahaman terhadap haiwan tersebut termasuk kitar hidupnya.

Para pelajar turut dibawa melawat di sekitar pusat penetasan penyu, tangki semaian dan kolam penyu.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam pertandingan mewarna penyu dan kuiz antara sekolah bagi menguji pengetahuan mengenai hidupan laut tersebut.

Pada akhir program, para peserta berikrar tidak akan sesekali memakan telur penyu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memperbanyak populasi haiwan tersebut.

Kemuncak program adalah melepaskan anak-anak penyu ke laut yang juga merupakan langkah terakhir dalam penjagaan penyu.

Ketua projek bagi program tersebut, Mohd. Nizam Baharin berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada setiap tahun.

Terdahulu, mereka turut bergotong-royong membersihkan serta mengecat premis di Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menceriakan suasana di situ.

Seorang guru daripada Sekolah Kebangsaan Segari, Rashidah Shaari berkata, program tersebut berjaya membuka mata para pelajar mengenai kepentingan penyu terhadap ekosistem.

"Inisiatif sebegini harus diteruskan supaya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan penyu akan lebih bertambah," katanya.

Mohon bantuan tanam semula

Posted:

Mohon bantuan tanam semula

Mohon bantuan tanam semula

Oleh SAFINA RAMLI
utusanutara@utusan.com.my


Ahmad Othman (tengah) bersama rakan-rakannya menunjukkan padi yang terlalu masak dan tidak dapat dituai oleh jentera tuaian akibat keadaan tanah lembab di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah, Alor Setar, baru-baru ini.


ALOR SETAR 15 Feb. - Pesawah di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah di sini memohon bantuan modal daripada kerajaan untuk menanam semula padi kerana hasil padi mereka merosot akibat masalah cuaca.

Seorang pesawah, Ahmad Othman, 64, berkata, kira-kira 23 hektar sawah padi di kawasan itu tidak dapat dituai kerana masalah tanah jerlus serta lembut setelah hujan lebat.

"Pada musim ini sepatutnya padi dituai pada bulan Januari namun mesin padi tidak boleh masuk ke dalam sawah kerana tanah sawah basah akibat hujan.

"Sepatutnya cuaca kering tetapi ada waktu hujan turun dan sehingga kini kami tidak dapat menuai hasil padi kerana tidak ada mesin padi yang mahu masuk ke dalam sawah yang tanahnya lembut dan jerlus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Padang Garam di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini perkara tersebut tidak pernah berlaku di kawasan tersebut dan rata-rata pesawah di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian akibat padi tidak dapat dituai.

"Sekarang padi sudah jadi tua dan kering jadi kalau kami tuai pun kami tidak akan mendapat hasil seperti musim-musim dahulu.

"Kebanyakan daripada pesawah di sini berhutang dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan sebab itu kami berharap kerajaan akan membantu kami untuk menanam semula padi," jelasnya.

Seorang lagi pesawah, Hamid Awang, 75, berkata, pada musim ini kira-kira dua hektar sawahnya tidak mendatangkan hasil kerana masalah tanah sawah menjadi lembut itu.

"Selalunya dalam satu musim, pesawah boleh dapat hasil kira-kira RM2,000 untuk satu relung namun pada musim ini memang hasil merosot.

"Dari dahulu memang sawah padi ini menjadi sumber pendapatan saya, dan saya berharap kerajaan dapat membantu kami untuk menanam semula padi tidak lama lagi," ujarnya.

Tambahnya, sawah padi yang tidak dapat dituai itu terpaksa dibakar untuk menjalankan penanaman semula tidak lama lagi.

"Memang sedih kerana kami terpaksa bakar padi yang tidak dapat dituai ini namun apa boleh buat. Jika kami tidak buat begini padi tidak dapat ditanam semula dengan segera," ujarnya.

Perlis tuan rumah Konvensyen Pendidikan Islam 2012

Posted:

Perlis tuan rumah Konvensyen Pendidikan Islam 2012

Perlis tuan rumah Konvensyen Pendidikan Islam 2012

KANGAR 15 Feb. - Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di sini akhir bulan ini antara lain berusaha mencari formula terbaik ke arah mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap lebih tinggi.

Konvensyen dua hari anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), kerajaan negeri Perlis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan berlangsung di Dewan 2020 di sini bermula 27 Februari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, konvensyen yang bertemakan Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah itu antara lain akan mengupas dua daripada 20 gagasan resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali pertama yang berlangsung di ibu negara pada September tahun lalu.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, konvensyen itu yang akan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail terbuka kepada semua umat Islam terutama yang terlibat dalam bidang pendidikan Islam.

Titah baginda lagi, konvensyen berkenaan terbuka kepada umat Islam di seluruh negara terutama yang terlibat dalam bidang pendidikan Islam.

Bertitah menyatakan demikian ketika bertitah merasmikan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Jannatul Naim, Sungai Paya, Beseri dekat sini kelmarin.

Tuanku Syed Faizuddin juga percaya, konvensyen tersebut akan mendapat sokongan mantap dan menjadi medium percambahan idea, wahana interaksi dan perkongsian pintar antara majlis agama Islam negeri-negeri dalam mengangkat pendidikan Islam ke tahap tinggi.

Titah baginda, konvensyen tersebut diharap dapat memantapkan lagi wajah dan penampilan Majlis Agama Islam negeri-negeri sebagai pemacu transformasi dalam meningkatkan martabat ummah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan