Khamis, 9 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis sedang kenal pasti individu terlibat rasuah bola sepak negara

Posted: 09 Feb 2012 03:08 AM PST

JOHOR BAHARU: Polis sedang mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terlibat dalam rasuah bola sepak di negara ini termasuk beberapa individu yang pernah dikenakan tindakan pada tahun 1994 atas kesalahan yang sama.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenainya bagi memastikan gejala itu dapat diatasi.

"Pada 1994, seramai 126 pemain bola sepak dikenakan tindakan kerana terlibat dengan rasuah bola sepak dan kami mengesyaki ada di antara mereka terlibat dengan kegiatan terbabit ketika ini," katanya kepada pemberita selepas majlis keberangkatan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Tunku Ismail sempena keberangkatan itu diberikan taklimat mengenai keadaan keselamatan Johor dan kegiatan rasuah bola sepak daripada Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


Menurut Abdul Jalil, modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu masih sama iaitu mendekati para pemain dengan memberikan pelbagai hadiah istimewa sebelum menjerat mereka untuk menjual perlawanan. - Bernama



Lelaki didakwa menipu atas urusan pas lawatan sementara

Posted: 09 Feb 2012 02:42 AM PST

SHAH ALAM: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan menipu untuk melanjutkan pas lawatan sementara di Klang, tiga tahun lepas.

Mohamed Zaidi Baba, 50, yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim M Bakri Abdul Majid.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Zaidi didakwa memperdaya seorang pegawai kerajaan, Bulkini Paharudin supaya mempercayai bahawa dia boleh membantu melanjutkan pas lawatan sementara milik seorang warga Indonesia Mohammad Zain Basrun yang tamat tempoh pada 9 Ogos 2007, sedangkan dia mengetahui tempoh pas itu tidak boleh dilanjutkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.


Bagi pertuduhan kedua, Mohamed Zaidi didakwa memperdayakan Bulkini supaya mempercayai nama pemegang pasport Indonesia, Mohamad Zain Basrun dan Elly Herawati Sadin, tidak ada dalam data kemasukan sistem komputer Jabatan Imigresen sedangkan nama kedua-dua warga Indonesia itu terdapat dalam data jabatan itu. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan