Khamis, 9 Februari 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


SPRM panggil Shahrizat

Posted: 08 Feb 2012 02:18 PM PST

MukaDepan

SHAHRIZAT keluar dari bangunan SPRM selepas memberi keterangan kes PFN, semalam. - Foto Mohd Fadhli Hamzah

SHAHRIZAT keluar dari bangunan SPRM selepas memberi keterangan kes PFN, semalam. - Foto Mohd Fadhli Hamzah

Menteri disoal siasat 2 jam setengah berhubung kes pusat fidlot

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira dua jam setengah berhubung isu Pusat Fidlot Negara (PFN) di sini, semalam.

Beliau yang kembali memulakan tugas semalam selepas bercuti tiga minggu, tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 4 petang dan dilihat bertemu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali di tingkat satu bangunan berkenaan.

Ketika ditemui wartawan selepas itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, berkata kehadirannya di SPRM bertujuan membantu siasatan berhubung isu PFN yang diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang diketuai suaminya, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutifnya. "Saya sebenarnya mengambil cuti dengan harapan SPRM memanggil saya untuk membuat siasatan rapi mengenai isu NFC (NFCorp), sama ada saya terlibat atau tidak terlibat dengannya.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya disiasat, saya datang ucap terima kasih kepada SPRM kerana memanggil saya dan datang dengan rela hati kerana sememangnya saya menunggu mereka memanggil saya.

"Sepanjang dua jam setengah mereka bertanya soalan dan saya memberi jawapan di mana saya nyatakan secara jelas dan terang, saya tidak pernah terbabit dalam membuat keputusan atau apa-apa isu dengan NFC.

"Saya hadir di sini kerana saya isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC, (Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail), sebab itu wujud persoalan sama ada ada konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat.
"Saya sudah pun menjelaskan sebelum ini, saya tidak pernah terbabit dan ada dokumen rasmi untuk mengesahkannya," katanya kepada pemberita yang menunggu sejak jam 3 petang di ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Shahrizat bercuti daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu dan berharap dalam tempoh itu SPRM akan menjalankan siasatan mengenai NFC milik suaminya yang turut dikaitkan dengannya.

Projek NFC diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd (Agroscience) di Gemas, Negeri Sembilan, dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.

Isu berkaitan pusat itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas ia berdepan masalah apabila sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 lembu kepada 8,000 lembu.

Sementara itu, Mustafar yang dihubungi berkata, Shahrizat memberikan kerjasama yang baik ketika memberi keterangan.

"Kita panggil Shahrizat ke SPRM adalah sebahagian daripada prosedur biasa siasatan yang kita dijalankan," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

arby

Apa nak takut kalau tak salah...hanya Allah yg maha mengetahui.

anak

tidak kira jerung atau bilis siasatan adil mesti dilakukan secara telus tak kira siapa atau jawatan apa hatta PM sendiri.Masalahnya masih ada yg kebal undang2

mmm

Ikan Jerung pun perlu disiasat agak kerajaan tidak dituduh pilih kasih .
Selamat Menghadapi Siasatan.

apai malouda

gud kak ijat... saya sentiasa menyokong kak ijat... harap kak ijat bertabah... saya percaya itu semua fitnah-fitnah yg menjijik kn... harap kak ijat terus berjuang dan menyising lengan...

Masbak K

Kerjasama yg baik. Rakyat alu alukan. Menghilangkan rasa keraguan semua pihak.


Sekolah buka spa kaut RM5,000 sebulan

Posted: 08 Feb 2012 02:14 PM PST

MukaDepan

JOHOR BAHRU: Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Azizah, di sini yang membuka spa kecantikan dikendalikan pelajarnya sejak setahun lalu, mampu menjana keuntungan sehingga RM5,000 sebulan.

Sebuah rumah guru terbiar di kawasan SMV-ERT Azizah, di Jalan Datin Halimah itu, diubah suai dengan kos kira-kira RM100,000 selepas mendapat kelulusan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional bagi membolehkan Spa Puteri Azizah beroperasi.

Sejak tempoh itu, pusat kecantikan itu berkembang hingga mempunyai pelanggan tetap termasuk dari negara jiran kerana kedudukannya yang mudah dikunjungi, serta reka bentuk kontemporari. Spa Puteri Azizah yang menerima kira-kira 10 pelanggan setiap hari menyediakan perkhidmatan pada harga RM71 hingga RM256 bagi satu sesi bergantung kepada pakej pilihan merangkumi rawatan seluruh badan, khidmat sauna, jakuzi dan mandian aromaterapi.

Ketua Panitia Kursus Juru Kecantikan sekolah, Rohana Mohd Salleh, berkata spa itu bukan saja mampu menjana keuntungan sehingga RM5,000 sebulan, malah 14 penuntut yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berupaya mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran masing-masing.

"Pada mulanya, penuntut dicadangkan mengikuti kelas dalam bengkel seperti proses pembelajaran biasa, tetapi Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional berpendapat sekolah wajar menyediakan kemudahan bersesuaian dan hanya SMV-ERT Azizah mempunyai kemudahan ini.

"Justeru, peluang itu dimanfaatkan kerana kita komited mahu menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat setempat supaya pelajar mendapat pendedahan awal, selain bersedia melangkah ke alam sebenar pekerjaan," katanya.
Rohana berkata, pengambilan pelajar dua tahun sekali dan penyertaan dibuka kepada pelajar perempuan yang mendapat keputusan kurang memberangsang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Ini adalah program 'sekolah perusahaan' bertujuan memberi galakan kepada pelajar bergiat dalam perniagaan secara komersial dan menjadi juru kecantikan bermula dari bangku sekolah supaya mampu meningkatkan ketrampilan diri dan daya kreativiti," katanya.

Pelajar, Ummi Raihah Abu Bakar, 17, berkata dorongan ibu bapa membantunya membina keyakinan dan potensi diri walaupun berbekalkan keputusan kurang memberangsangkan dalam PMR dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Selama ini, saya suka menyolek wajah kakak dan ibu serta mendapat kepuasan melihat hasil kerja yang cantik. Saya bercadang melanjutkan pengajian sebelum membuka perniagaan sendiri," katanya.

Bagi Nor Azira Mohd Jamil, 17, pula hasil pembelajaran dua tahun itu membolehkan dia memulakan kerja sampingan mengambil upah menyolek rakan dan saudara mara yang mahu bertunang.

"Mulanya saya hanya mempromosikan mekap untuk saudara mara ketika cuti sekolah tetapi apabila menerima sambutan menggalakkan, saya mula fikir mene-ruskan secara serius kerana hasilnya yang menguntungkan apabila mampu meraih antara RM50 hingga RM100 untuk setiap pelanggan," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan spa itu dengan melayari laman web www.myazizah2u.com atau hubungi Rohana menerusi 012-7827058 atau 07-216 0203.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan