Rabu, 8 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


FAM umum penggantungan 11 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan kerana terlibat rasuah

Posted: 08 Feb 2012 03:59 AM PST

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penggantungan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Penggantungan itu berkuat kuasa sejak 30 Nov lepas.

Kenyataan FAM hari ini menyebut siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM ke atas pegawai dan pemain skuad Piala Presiden pasukan itu mendapati terdapat unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan melibatkan pasukan berkenaan.

Empat pemain iaitu Mohd Yatim Abdullah, D. Adrian, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A'ashari dikenakan penggantungan setahun daripada aktiviti bola sepak dan hukuman tersebut tidak boleh dirayu.


Tujuh lagi pemain iaitu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari, Muhammad Rizqi Azman dan Mohd Hafiz Mohd Nor digantung selama lima tahun dan tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.


"Rayuan hanya boleh dibuat selepas satu tahun dan rayuan hendaklah dibuat secara bertulis kepada FAM," kata badan induk bola sepak negara itu.

FAM turut menyatakan bekas ketua jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas Yusarman Yusof digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dan beliau hanya boleh membuat rayuan bertulis kepada FAM selepas 10 tahun.

Kenyataan itu menyebut pemain dan pegawai Piala Presiden pasukan SDM Pulau Pinang, Johor MP Muar dan Terengganu T-Team 2010 turut digantung sementara sehingga mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad baru-baru ini mendedahkan 18 pemain skuad Piala Presiden negeri dan seorang jurulatih terlibat dengan gejala rasuah musim lepas.

Kesemua 18 pemain tersebut terdiri daripada enam pemain dari pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan, pasukan T-Team (enam) dan pasukan MP Muar (enam). -- BERNAMA



Dadah bernilai RM700,000 dirampas, 6 ditahan dalam 2 serbuan

Posted: 07 Feb 2012 11:14 PM PST

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dalam dua serbuan di Johor Baharu di Johor dan Cheras di sini dengan merampas dadah sintetik jenis Amphetamine bernilai RM700,000 dan menahan enam orang termasuk tiga wanita yang dipercayai menjadi keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pada 31 Jan lepas di Johor Baharu, polis menahan seorang lelaki warganegara Singapura bersama dua wanita tempatan dan Filipina, yang kesemuanya berusia antara 30 dan 49 tahun.

"Mereka ditahan di Taman Austin Perdana hasil maklumat yang disalurkan pihak Biro Narkotik Pusat Singapura berhubung seorang rakyatnya yang amat dikehendaki yang bersembunyi di Johor. Dalam serbuan itu, kita merampas 1,000 biji pil Erimin 5," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Noor Rashid berkata dalam serbuan di Taman Orkid, Cheras pada 1 Feb lepas, polis menahan dua lelaki warganegara Nigeria dan Guinea serta seorang wanita tempatan, yang kesemuanya berumur antara 24 dan 42 tahun.


Hasil serbuan pada pukul 6 petang itu, polis merampas 2.8kg dadah jenis syabu, dipercayai untuk diseludup ke luar negara dengan menggunakan keldai dadah.


"Dadah itu disembunyikan di dalam 16 batang silinder piston kereta yang diletakkan dalam empat kotak. Kita percaya dadah ini dibawa melalui jalan darat dari negara jiran dan polis percaya Malaysia dijadikan transit sebelum dadah itu dihantar ke negara sasaran," katanya.

Mohd Noor Rashid berkata polis dapat mematahkan cubaan menyeludup dadah itu hasil maklumat orang awam dan bantuan agensi penguatkuasa dadah luar negara.

Beliau berkata mereka kini ditahan direman dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan