Ahad, 19 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


'Benteng pertahanan kepentingan agama'

Posted: 19 Feb 2012 04:38 PM PST

Nasional

NAJIB ketika berucap pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.

NAJIB ketika berucap pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.

Muafakat ulama, cendekiawan, penulis tepis fitnah: PM

KUALA LUMPUR: Permuafakatan yang wujud antara kerajaan dengan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya akan menjadi benteng pertahanan kepada kepentingan serta maruah agama di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerjasama berkenaan amat perlu bagi menyaring setiap maklumat serta menepis segala tuduhan dan fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab melalui tindak balas segera bagi memperbetul sebarang kekeliruan dengan cepat. Katanya, umat Islam sedang menghadapi pelbagai cabaran getir yang menuntut mereka bersatu padu, memperkukuh permuafakatan, selaras dari segi tindakan serta menguatkan iltizam bagi memastikan kesucian Islam dapat diperjuang, sekali gus mempertahankan kestabilan dan kemakmuran negara.

Lebih-lebih lagi, beliau berkata, revolusi teknologi maklumat kini menyaksikan fenomena penggunaan media sosial untuk menyebarkan perkara bersifat 'api dalam sekam atau virus', terutama maklumat palsu dan fitnah dengan sangat mudah serta pantas.

"Pembabitan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya amat penting dalam konteks cabaran semasa kerana maklumat perlu disampaikan dengan tepat supaya ia tidak dapat diseleweng atau sengaja disongsangkan menjadi fitnah untuk tujuan politik. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan segala maklumat palsu.

"Sikap berdiam diri, tidak mahu campur tangan atau malas bertindak, akan memberi kesan sangat buruk kepada umat dan kedudukan agama Islam, lebih-lebih lagi bidang politik adalah suatu jihad yang perlu diutamakan dalam Islam.
"Kita tidak dapat memisahkan politik daripada perjuangan menegakkan agama dan kepentingan umat Islam. Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia adalah bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di atas muka bumi ini, yakni sebagai khalifah Allah SWT," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di sini, semalam.

Justeru, Najib berkata, berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariat Islam, sama ada melalui penulisan mahu pun percakapan, perlu bermula dengan niat ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat serta tidak mengelirukan.

Sambil menjelaskan jihad sedemikian akan menghasilkan perpaduan ummah lebih kukuh dan utuh serta memartabatkan Islam, beliau berkata, peranan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya sangat besar yang mana mereka perlu lebih peka serta prihatin terhadap perkembangan semasa dan juga perubahan dasar kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau akan berjuang habis-habisan untuk kebajikan rakyat Malaysia, termasuk kumpulan agama yang mana kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha seperti menaikkan elaun 4,254 imam daripada RM450 kepada RM750 sebulan, elaun guru KAFA daripada RM500 kepada RM800 serta menyambung semula bantuan perkapita sebanyak RM95 juta setahun kepada sekolah agama rakyat.

Dividen KWSP 2011 enam peratus

Posted: 19 Feb 2012 04:34 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan kadar dividen enam peratus untuk 8.3 juta pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir 2011, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

KWSP membayar dividen 5.8 peratus pada 2010 dan 5.65 peratus pada 2009.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata dividen lebih tinggi dibayar berikutan pencapaian lebih baik KWSP pada 2011 dengan memperoleh pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.24 bilion, meningkat 13.18 peratus daripada 2010. Beliau berkata, bayaran keseluruhan dividen bagi 2011 adalah sebanyak RM24.27 bilion berbanding RM21.61 bilion pada 2010, iaitu peningkatan 13.23 peratus.
Katanya, 2011 menandakan pencapaian baik bagi KWSP, walaupun dalam persekitaran pelaburan yang sangat mencabar.

"Sementara pelaburan berpendapatan tetap memberikan pulangan yang stabil, prestasi keseluruhan KWSP, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan dalam kedua-dua ekuiti tersenarai awam domestik dan global, serta program pengurusan yang aktif.

"Ia adalah prestasi terbaik sejak 2001, hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP serta dengan usaha berterusan pasukan pelaburan KWSP," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Berdasarkan laporan sebelum ini, dividen tertinggi yang pernah diumumkan oleh kumpulan itu ialah sebanyak 8.5 peratus yang dibayar kepada pencarum pada 1983 sehingga 1987.

Bayaran dividen tahun lalu ada selepas ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi, caj berkanun dan bayaran dividen pengeluaran.

Setakat 31 Disember lalu, jumlah aset pelaburan KWSP mencatat pertumbuhan sihat sebanyak 6.52 peratus kepada RM469.22 bilion daripada RM440.52 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu disumbang sebahagian besarnya oleh caruman tahunan bersih yang positif daripada ahli dan majikan serta prestasi pelaburan yang konsisten dan menggalakkan.

Samsudin berkata, ekuiti adalah penyumbang pendapatan terbesar, iaitu RM13.29 bilion atau 48.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan, diikuti pinjaman dan bon, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM7.54 bilion, RM5.63 bilion dan RM656.36 juta, manakala pelaburan dalam hartanah dan pelaburan lain menyumbang RM115.41 juta atau 0.43 peratus.

Beliau berkata, oleh kerana pegangan KWSP banyak tertumpu dalam aset berpendapatan tetap, sebahagian besar pulangan dipengaruhi arah aliran kadar faedah.

"KWSP juga secara beransur dan berhati-hati beralih kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dengan had risiko yang boleh diterima... strategi ini memberikan kesan yang baik, melebihi jangkaan KWSP kerana berjaya mengatasi kadar simpanan tetap dan faedah semasa," katanya.

Samsudin berkata, pencapaian utama pelaburan KWSP pada 2011 ialah pengambilalihan bersama (dengan Kumpulan UEM) Plus Expressway Berhad melalui syarikat pelaburan bersama PLUS Malaysia Sdn Bhd, selain meluaskan pelaburan global dalam hartanah, ekuiti dan sukuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan