Ahad, 19 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Dua disimbah asid ketika tidur

Posted:

Dua disimbah asid ketika tidur

Dua disimbah asid ketika tidur

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my


Mohd. Hamizi Hussin menunjukkan bantal yang rosak akibat terkena simbahan cecair dipercayai asid di Kampung Padang Merchang, Marang, semalam.


MARANG 19 Feb. - Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rakannya melecur di muka dan badan akibat disimbah asid ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Merchang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, dan Shahrulzaman Salim, 38, yang bekerja sebagai nelayan cedera disimbah asid yang dilakukan individu tidak dikenali.

Menceritakan kejadian itu, Shahrulzaman memberitahu, ketika kejadian, dia dan Mohd. Fazil sedang tidur dalam sebuah bilik sebelum terjaga selepas dikejutkan dengan jeritan rakannya itu yang mengadu kesakitan.

Tanpa menyedari dia turut terkena simbahan asid itu, Shahrulzaman bingkas bangun dan bertanyakan keadaan rakannya.

"Saya cuba bertanya kepadanya apa yang berlaku, namun pada masa yang sama saya turut merasa pedih di muka dan badan.

"Beberapa minit selepas itu, baru saya sedar rupa-rupanya saya turut terkena simbahan asid itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Shahrulzaman berkata, selepas menyedari mereka disimbah asid, dia dan Mohd. Fazil segera berlari keluar dari rumah dan membasuh cecair yang disimbah kepada mereka.

Menurutnya, sebelum itu, mereka tidur di dalam bilik sambil membiarkan tingkap terbuka bagi menerangi bilik selain mengurangkan panas.

"Saya syak individu yang menyimbah asid itu melakukan perkara tersebut melalui tingkap berkenaan namun saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian," jelasnya yang simpati terhadap nasib rakannya yang lebih teruk melecur berbanding dirinya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mereka melecur di muka, tangan dan kaki dan terpaksa dirawat di Unit Kebakaran HSNZ.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hamizi Hussin, 29, yang juga rakan mangsa memberitahu, kedua-dua rakannya itu sering datang ke rumahnya setiap hari untuk menonton perlawanan bola sepak.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila dihubungi salah seorang rakan yang memaklumkan bahawa kedua-dua mereka cedera disimbah sejenis cecair.

"Sebelum kejadian, terdapat enam rakan saya berada dalam rumah itu. Saya kemudian keluar untuk menghantar pekerja kilang di Chendering.

"Kira-kira lima minit selepas saya keluar, seorang rakan menghubungi saya dan memaklumkan kejadian ini menyebabkan saya segera pulang untuk menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Merchang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan mengenai kejadian itu dan memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pekerja kedai aksesori dibunuh

Posted:

Pekerja kedai aksesori dibunuh

Pekerja kedai aksesori dibunuh

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


ANGGOTA polis mengangkat mayat Raja Dzulhairi Raja Ali yang dipercayai mati dibunuh dalam sebuah kedai aksesori kenderaan di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 19 Feb. - Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan ditemui mati dibunuh dalam keadaan kepalanya terendam dalam bilik air premis berkenaan di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil di sini hari ini.

Mayat Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, ditemui pemilik kedai berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pemilik kedai berusia lingkungan 30-an itu mengesyaki sesuatu apabila mangsa yang merupakan anak saudaranya dan tidur dalam premis itu tidak membuka kedai seperti biasa pagi ini.

"Kebiasaannya kedai dibuka pada pukul 8 pagi. Pemilik kedai itu cuba memanggil anak saudaranya beberapa kali tetapi tidak dijawab.

"Dia kemudian mendapati pintu tidak berkunci. Setelah masuk ke dalam kedai, dia menemui mayat anak saudaranya dalam bilik air," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Ahmad Zakaria berkata, berdasarkan keterangan pemilik kedai itu, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah semasa premis itu ditutup pukul 8.30 malam tadi.

"Raja Dzulhairi berasal dari Negeri Sembilan dan sudah dua tahun bekerja di situ dan dia biasanya tidur di dalam kedai," katanya.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati, motosikal jenis Yamaha 125 dan komputer riba milik mangsa turut hilang.

"Selain itu, beberapa aksesori kenderaan yang dijual dikesan turut hilang," katanya.

Ahmad Zakaria menambah, mangsa mungkin mengenali suspek memandangkan tiada kesan pecah masuk dan berlaku pergelutan.

"Polis sedang menyiasat motif kejadian dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan