Khamis, 9 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


SPR warta dakwat kekal Rabu

Posted: 09 Feb 2012 02:04 PM PST

Nasional

Pengundi OKU dibenar bawa wakil untuk bantu proses buang undi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewartakan dakwat kekal pada 15 Februari ini, bagi membolehkan penggunaannya dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seperti dicadangkan sebelum ini.

Bukan itu saja, SPR juga turut melakukan pindaan Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981 dengan membenarkan pengundi dari golongan orang kelainan upaya (OKU) membawa wakilnya bersama pada hari mengundi untuk membantu proses pembuangan undi.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, SPR juga dijangka mewartakan pindaan pada April ini yang mana setiap calon bertanding tidak lagi dibenarkan menarik diri. Tempoh bantahan selama sejam diperuntukkan bagi calon mengemukakan bantahan berhubung kelayakan pencabar masing-masing juga akan dimansuhkan mengikut pindaan berkenaan.

"Bagi penggunaan dakwat kekal pihak kami dimaklumkan perihal mengenainya sudah pada peringkat akhir dan menunggu masa untuk diwartakan. Bagi OKU pula mereka boleh memilih wakil untuk membantunya ketika proses pembuangan undi dikalangan ahli keluarga.

"Berhubung pemansuhan tempoh bantahan dan penarikan diri calon bertanding pula, ia dijangka selesai pada minggu pertama April depan dan akan diwartakan bagi membolehkannya digunakan pada PRU-13," katanya selepas mesyuarat kali ketujuh jawatankuasa berkenaan di Parlimen, petang semalam.

Sebelum ini Parlimen meluluskan 10 cadangan yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan termasuk penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 selaras dengan usaha penambahbaikan proses pilihan raya di negara ini.
Sementara itu Maximus berkata, jawatankuasa berkenaan juga meminta SPR menilai semula cadangan bagi membolehkan pengamal media di negara ini mengundi sebagai pengundi pos pada pilihan raya umum akan datang dan keputusan mengenainya bakal diketahui pada mesyuarat akan datang.

Beliau berkata, cadangan pengundian awal bagi polis dan tentera, hanya bagi pasukan keselamatan yang bertugas di persempadanan mereka dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab melalui pengundian pos.

"Dianggarkan kira-kira 3,500 pasukan keselamatan bertugas di persempadanan, manakala cadangan supaya doktor dan jururawat yang bertugas di wad kritikal mengundi awal, keputusan sudah dibuat dan kumpulan ini dibenarkan untuk keluar mengundi seperti mana pengundi biasa.

"Kami juga dimaklumkan SPR bahawa pihaknya sudah melantik penolong pendaftar di konsulat besar di luar negara bagi membolehkan pengundi di sana memohon menjadi pengundi pos," katanya.

Jawatankuasa berkenaan akan selesai melaksanakan tugasnya pada awal April depan dan pembentangan mengenai hasil kerja jawatankuasa berkenaan akan diadakan akhir Mac.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Mohd Redzham Salleh

SPR sudah melakukan tugas mereka, begitu juga dengan semua jabatan/agensi kerajaan. Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia, Warga Malaysia yang lain? Laksanakanlah tugas & tanggungjawab anda - Daftarlah Sebagai Pengundi...

nur alya natasha

bagus juga.kalu buleh pru13dilaksanakan dgn segera

samsol

Bagaimana pula dengan golongan pekerja di sektor perkapalan dan carigali minyak? Angka Golongan ini boleh mencecah ribuan pekerja. Adakah golongan ini di kira sebagai tidak hadir mengundi atau ada mekanism untuk mereka mengundi dari lautan.?


Kematian Patrick Wong diklasifikasi kes bunuh

Posted: 09 Feb 2012 02:02 PM PST

Nasional

Polis percaya ada kaitan cubaan dedah skandal kes pasir

KUALA LUMPUR: Polis semalam menjelaskan kematian ahli perniagaan yang juga bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Patrick Wong pada 2009 diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak dari awal lagi.

Malah, polis masih menjalankan siasatan kes bunuh Wong, yang dipercayai ada kaitan dengan cubaan beliau mendedahkan skandal pasir membabitkan pemimpin dalam pakatan pembangkang di Selangor pada 2009.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya tidak pernah menutup siasatan kes itu seperti didakwa pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) dalam artikelnya bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan dalam portal berita online berkenaan. "Kita tidak pernah melaporkan kematian mangsa adalah disebabkan kemalangan akibat terjatuh dari tempat tinggi seperti didakwa RPK dalam portal miliknya semalam.

"Dari awal lagi, iaitu pada November 2009, kematian ahli perniagaan itu diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai pendedahan RPK, kelmarin yang mendakwa wujud keraguan di sebalik kematian Wong selepas dikatakan mati akibat terjatuh dari balkoni rumahnya ketika melarikan diri daripada perompak di Bukit Bandaraya di sini, pada November 2009.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira sebulan selepas ahli perniagaan itu dan isterinya mengadakan pertemuan bersama RPK di United Kingdom (UK) bagi meminta bantuannya mendedahkan skandal berkenaan.
Antara lain, penulis blog itu mendakwa berdasarkan kesan 'tekanan' ditemui pada leher mangsa seperti dinyatakan dalam laporan bedah siasat, kematian ahli perniagaan terbabit yang juga rakannya mempunyai kaitan dengan skandal melombong pasir di Selangor.

RPK yang dipetik Malaysia Today, berkata pendedahan terperinci akan dilakukannya selepas ini, termasuk nama dan bukti pembayaran kepada pemimpin tertentu dalam kerajaan negeri itu berhubung skandal berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri menjelaskan pihaknya tidak pernah menutup kes berkenaan, malah meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, termasuk RPK tampil membantu siasatan.

"Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dengan mengambil kira semua aspek berkaitan, termasuk segala dakwaan dibuat oleh penulis blog itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan