Jumaat, 31 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Dua beranak terjun 10 meter

Posted: 30 Aug 2012 12:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beranak sempat terjun melalui tingkap setinggi 10 meter untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di bangunan tiga tingkat di Jalan Tun HS Lee, di sini, terbakar, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anak lelaki mangsa berusia 40-an terjun dahulu sebelum meminta bantuan orang ramai menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun.


Saksi kejadian, Lee Kok Siang, 24, berkata, dia kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk ke sebuah bank sebelum ternampak api dan asap tebal dari bangunan berkenaan.

"Saya nampak seorang wanita berusaha untuk terjun manakala beberapa orang lagi sedang meletakkan kusyen untuk dijadikan alas di bawah bagi membolehkan warga emas itu terjun dengan selamat," katanya.


Katanya, sebaik kedua-dua mangsa diselamatkan, orang ramai menghubungi ambulans untuk menghantar mereka ke hospital.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.52 petang sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.

"Ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba, kedua-dua mangsa yang terperangkap sudah diselamatkan dengan bantuan orang ramai dan difahamkan mereka cedera ringan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.


Katanya, api marak dengan pantas berikutan struktur bangunan tiga tingkat yang dibina sekitar 1940-an itu diperbuat daripada kayu dan papan yang mudah terbakar.

"Pasukan bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dipadamkan sepenuhnya jam 4.30 petang.


"Siasatan mendapati kebakaran bermula dari tingkat dua yang menempatkan kediaman mangsa," katanya.


Katanya, punca sebenar kebakaran bangunan yang menempatkan kediaman, restoran dan kedai menjual cakera padat digital (VCD) itu masih disiasat dan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta.


Menurutnya, 10 jentera bomba dan penyelamat dari Balai Hang Tuah, Pudu, Chow Kit, Sentul dan Pantai dikejarkan ke tempat kejadian bersama bantuan bomba sukarela Bukit Bintang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012


Sayu baju raya hangus

Posted: 30 Aug 2012 12:06 PM PDT

SHAH ALAM: "Sayu hati bila tengok baju raya yang baru sekali saya pakai terbakar. Api marak terlalu pantas menyebabkan saya dan anak tidak sempat berbuat apa-apa," keluh Nuriah Dolman, 63, yang masih terkejut apabila sebahagian rumahnya musnah dalam kebakaran di Jalan Tukas, Seksyen 18, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, rumah teres dua tingkat yang dihuninya sejak 25 tahun lalu bersama arwah suami dan empat anak hampir musnah dan kerugian dianggarkan mencecah RM100,000.


Ketika kejadian, Nuriah bersama anak lelaki dan menantu perempuannya berada di rumah, manakala tiga lagi anak perempuannya berada di rumah masing-masing di ibu kota.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia berada dalam bilik air apabila terdengar letupan kuat dari dapur.


"Bunyi letupan itu diselangi jeritan menantu saya memanggil suaminya memberitahu dapur terbakar.


"Saya bergegas dapur dan melihat api di bahagian belakang dapur. Saya cuba padam kebakaran dengan air, namun api semakin marak menyambar kabinet dapur yang diperbuat dari kayu," katanya ketika.

Nuriah berkata, tidak sampai seminit, api merebak ke seluruh bahagian dapur sehingga memusnahkan semua perkakas elektrik menyebabkan dia dan anaknya tidak dapat berbuat apa-apa.


Menantunya, Darwina Wan Abd Kadir, 26, berkata, dia melihat api bermula daripada bahagian hos yang menyambungkan kepala gas dan dapur.

Menurutnya, setelah selesai memasak juadah untuk suaminya, dia mematikan api dapur dan terdengar bunyi seperti daun kering terbakar.


Katanya, apabila diperiksa, dia mendapati terdapat api kecil di bahagian hos berkenaan sehinggalah ia merebak menjadi marak dan membakar dapur berkenaan.


"Saya menghubungi bomba dan menyelamatkan kereta serta motosikal di garaj rumah. Saya bersyukur kerana semua nyawa selamat," katanya.


Bagaimanapun, Darwina kecewa kerana pili bomba yang terdapat di depan rumah mentuanya tidak mempunyai air menyukarkan kerja memadam api dilakukan.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.15 malam sebelum dua jentera bersama sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012


0 ulasan:

Catat Komen