Jumaat, 31 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Rakyat terima baik tema Janji Ditepati: Rais

Posted: 31 Aug 2012 01:26 AM PDT

KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat ternyata senang dengan komitmen yang diberikan oleh kerajaan selaras dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, 'Janji Ditepati' hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kesemua ini dapat dilihat menerusi kemeriahan suasana sambutan sama ada dari sudut persembahan mahupun kehadiran orang ramai.

"Hari ini kita mengumpulkan satu kumpulan rakyat yang padat dan padu dari segi gerak geri suara dan persembahan serta semua aspek kemerdekaan nampak ceria dan kejayaan bagi menepati janji sebagai tema sudah tercapai.
"Pada pihak-pihak yang mempertikai tema atau slogan ini, majoriti rakyat terbukti senang dengan komitmen dan slogan terbabit," katanya ketika ditemui selepas perarakan dan perbarisan sempena 31 Ogos.

Dalam pada itu, Rais berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turun padang bersama-sama dengan peserta jelas menampakkan bahawa beliau ikhlas dalam menunaikan janji kepada rakyat.

"Apabila Perdana Menteri menggagahkan diri bersama-sama rakyat, nampak oleh saya dari dekat perasaan tulen untuk sama-sama memperbaiki kehidupan kita mengikut slogan," katanya.

Rais turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit menjayakan acara hari ini yang jelas melambangkan semangat kekitaan yang masih utuh dan dipertahankan.
Pada acara hari ini, lebih 13,000 peserta perarakan dan persembahan padang terlibat memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55. - BERNAMA

Kes tembak depan sekolah: Mangsa bekas tahanan Ordinan Darurat

Posted: 31 Aug 2012 01:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menegaskan lelaki yang ditembak mati di hadapan sebuah sekolah menengah di Selayang Baru, Rabu lalu, bukan pemilik syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan KDN.

Sebaliknya semakan KDN mengesahkan K. Amchuthan, 41, adalah bekas tahanan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, kata Ketua Setiausahanya Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata lelaki itu dibebaskan pada 23 Februari lalu.
"Kes itu sedang dalam siasatan polis dan kementerian berharap semua pihak dapat memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya," katanya.

Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan Amchuthan yang ditembak mati ketika menunggu anak lelakinya yang berusia 16 tahun di hadapan sekolah terbabit, sebagai pemilik sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Dalam kejadian itu, isterinya yang ada di dalam kereta bersama mangsa turut cedera pada bahagian pinggang akibat tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat.
- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Komen