Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kompleks tekstil terbesar Pantai Timur

Posted:

Kompleks tekstil terbesar Pantai Timur

Kompleks tekstil terbesar Pantai Timur

Oleh SAPEE MAT JUNUH
utusanterengganu@utusan.com.my


Ahmad Said (depan, empat dari kiri) meninjau kawasan dalam Kompleks tekstil di Bandar Baru Kijal, Kemaman, semalam.


KEMAMAN 7 Feb. – Kompleks tekstil yang menjadi salah satu komponen penting yang bakal menjana perkembangan Bandar Baru Kijal dijangka beroperasi Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pusat tekstil terbesar di Pantai Timur itu disasarkan sebagai lokasi pengusaha tekstil dari dalam dan luar negara.

Menurut Ahmad, kompleks tiga tingkat bernilai kira-kira RM40.7 juta itu mengandungi 44 unit kedai bakal merancakkan pertumbuhan bandar yang sedang dibangunkan.

"Dengan sewa bulanan RM3,500 seunit, pusat itu bakal menjadi tumpuan pemborong dan peruncit tekstil dari seluruh negara termasuk 10 pengusaha tempatan yang telah menyatakan minat untuk bertapak di sini," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan perkembangan projek berkenaan hari ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran, Mustafar Khalid.

Katanya, projek itu diharap menjadi pusat tumpuan umum sebagaimana Nilai di Negeri Sembilan dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

"Jadi dengan itu rakyat di sebelah Pantai Timur tidak lagi perlu ke Nilai 3 atau Kuala Lumpur untuk berbelanja," katanya.

Komplek itu adalah antara 12 komponen projek bagi pembangunan bandar berkenaan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM143 juta.

Pembangunan di tanah seluas 160 hektar itu turut melibatkan unit kedai, Kompleks Usahawan Mara, tapak pendaratan kering Jabatan Kastam dan loji rawatan kumbahan.

"Apabila siap sepenuhnya, ia mampu menjadi penjana ekonomi di Kijal dengan ribuan peluang pekerjaan. Turut dirancang ialah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah dan Hospital Daerah," katanya.

Ahmad turut mengingatkan pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab menyiapkan jalan dan sistem perparitan bandar itu dapat menyempurnakan projek berkenaan mengikut jadual.

Penawar sumbang RM66,000 bantu 33 PDK

Posted:

Penawar sumbang RM66,000 bantu 33 PDK

Penawar sumbang RM66,000 bantu 33 PDK

TUMPAT 7 Feb. - Persatuan Isteri-isteri dan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Penawar) menyumbangkan RM66,000 kepada 33 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan bagi tahun ini.

Setiausaha Kehormat Penawar, Datin Wan Haspah Wan Yusof berkata, setiap PDK terlibat menerima bantuan berjumlah RM2,000 yang diperoleh daripada Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) bagi keperluan kanak-kanak dan remaja yang dilatih di pusat itu.

''Bakti prihatin dengan keperluan mereka yang terlibat dan menyalurkan sumbangan berkenaan melalui Penawar untuk digunakan anak-anak di PDK tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Semai Bakti melalui Penawar kepada Jajahan Tumpat di PDK Wakaf Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Md. Noor Chik dan Pengerusi PDK Wakaf Bahru, Nasir Sulaiman.

Menurut Wan Haspah, terdapat enam PDK di jajahan Tumpat yang menempatkan hampir 200 anak kurang upaya.

Katanya, Penawar prihatin dengan keperluan anak-anak berkenaan dan sumbangan dari Bakti mampu menceriakan mereka.

Beliau juga menyeru ibu bapa supaya menghantar anak-anak kurang upaya ke pusat terbabit dan tidak meminggirkan daripada mendapatkan pendidikan asas.

Koperasi OKU antara yang terbaik di Terengganu

Posted:

Koperasi OKU antara yang terbaik di Terengganu

Koperasi OKU antara yang terbaik di Terengganu

MARANG 7 Feb. - Dikelompokkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), jelas bukan penghalang sekumpulan penduduk di Taman Rahmat, Pulau Kerengga di sini untuk mengendalikan koperasi sehingga muncul antara 10 yang terbaik di Terengganu.

Pengiktirafan daripada 400 koperasi di seluruh negeri itu membolehkan Koperasi Tongkat Putih Taman Rahmat menerima ganjaran RM10,000 daripada kerajaan negeri.

Pengerusi koperasi, Tahir Musa, yang cacat penglihatan berkata tidak ada masalah baginya mengendalikan urus niaga di koperasi tersebut kerana beliau berupaya mengenal pasti barangan dan harganya.

"Selain itu, kami turut dibantu oleh anak-anak yang sempurna tetapi dalam banyak urusan saya lakukan sendiri termasuk membuat laporan bulanan dalam tulisan braille," katanya ketika ditemui di sini.

Bermodalkan RM3,000, koperasi yang dibuka Mei lepas itu mencatatkan peningkatan jualan setiap bulan sekalipun menjual barangan pada harga paling murah berbanding kedai runcit di kawasan sekitar.

Selain barangan runcit, koperasi itu yang dianggotai 15 penduduk Taman Rahmat turut menjual produk kraf tangan yang dihasilkan golongan istimewa di taman perumahan tersebut.

Kata Tahir, selain menjadi tumpuan golongan OKU yang tinggal di situ, koperasi tersebut turut dikunjungi penduduk kawasan sekitar.

"Penduduk di taman ini rata-rata golongan OKU termasuk ada yang cacat anggota badan dan kami berusaha untuk meningkatkan taraf hidup tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan," kata Tahir yang juga pengerusi jawatankuasa penduduk taman itu.

Katanya, mereka kini dalam proses mengembangkan perniagaan menerusi bantuan RM5,000 yang diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Kami yakin akan dapat meningkatkan perniagaan dan juga menambah anggota koperasi," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan