Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Pendirian Anwar ancam negara

Posted:

Pendirian Anwar ancam negara

Pendirian Anwar ancam negara

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my


Kiri Ismail Mina Ahmad, Dr. Maamor Osman


KUALA LUMPUR 7 Feb. – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sokongan kepada sebarang usaha bagi melindungi keselamatan Israel disifatkan berbahaya dan boleh mengancam negara.

Ini kerana menurut Ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, kenyataan ketua pembangkang itu dikhuatiri akan menyebabkan golongan radikal pro-Palestin melabel Malaysia sebagai antara negara penyokong rejim Zionis.

"Saya bimbang golongan ini tersalah tafsir berhubung polisi luar negara kerana kenyataan Anwar itu seolah-olah menggambarkan kita menyokong kedaulatan Israel. Dikhuatiri Malaysia akan menjadi sasaran seterusnya buat golongan radikal ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar mencetuskan kontroversi apabila dalam wawancara dengan The Wall Street Journal pada akhir bulan lalu menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh antarabangsa yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Ujar Ismail Mina, ancaman daripada golongan radikal tersebut boleh wujud kerana tindakan menyokong entiti haram Israel dan seumpamanya adalah seperti mengkhianati perjuangan umat Islam seluruh dunia.

"Entiti haram Israel tersebut ditubuhkan atas konspirasi Zionis-Kristian yang bermatlamat merampas hak rakyat Palestin. Semua pihak seharusnya bertanggungjawab mengembalikan status quo serta hak tersebut kepada penduduk asal Baitulmaqdis," ujar beliau.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang menegah usaha menyokong perjuangan bangsa Yahudi seperti yang termaktub pada Surah al-Baqarah ayat 120.

Katanya, sememangnya bangsa Yahudi tidak akan berhenti memusuhi umat Islam selagi umat tersebut tidak tunduk kepada ajaran dan telunjuk mereka, justeru umat Islam jangan sekali-kali merendahkan diri pada mereka dan mengikut kemahuan kaum berkenaan.

"Pendirian Anwar itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Sehubungan itu, Anwar perlu bertaubat dengan kembali ke pangkal jalan kerana menagih sokongan masyarakat Yahudi.

"Alhamdulillah, sejak dahulu lagi, polisi negara kita sentiasa kukuh dalam menyokong gerakan pembebasan Palestin dan kita percaya tindakan meminta sokongan musuh adalah tidak betul dan bertentangan dengan agama Islam.

"Saya juga akan berdoa kepada Allah agar Anwar terbuka hati menerima hidayah serta menyedari perbuatan beliau adalah salah dan memperbetulkan langkahnya demi kesucian Islam sejagat," kata beliau.

Wujud akta khas iklan

Posted:

Wujud akta khas iklan

Wujud akta khas iklan

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kerajaan digesa mewujudkan akta yang mewajibkan setiap iklan terutama berkaitan produk makanan dan minuman supaya mempamerkan logo halal.

Desakan itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berikutan lambakan produk yang diiklankan terutama menerusi kaca televisyen ketika ini tidak diketahui statusnya.

Apa yang membimbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit adalah sikap pengguna di negara ini yang disifatkan sebagai belum cukup 'bijak' untuk menilai sesuatu produk itu sendiri.

Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, hanya tindakan penguatkuasaan mampu memastikan semua pihak terbabit dalam menerbit atau menyiarkan iklan lebih peka terhadap sensitiviti pengguna Islam.

"Industri halal yang mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perlulah mempamerkan logo halal pada setiap iklan yang disiarkan di media massa.

"Bagi produk makanan yang tidak mempunyai logo halal pula, kenyataan seperti 'produk ini tidak mempunyai pengesahan halal daripada Jakim' perlu dinyatakan dengan jelas," katanya berhubung aspek utama yang perlu dimasukkan di dalam akta khas tersebut.

Mustaffa yang ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini berkata, adalah penting untuk kerajaan menggubal akta khas itu bagi memastikan pemain industri yang memandang ringan perkara tersebut dikenakan hukuman setimpal.

"Mengambil contoh satu produk minyak sapi QBB Pure Ghee yang ditarik balik pensijilan halal pada 2010, namun ia terus diiklankan di kaca televisyen tanpa disedari pengguna tentang status produk tersebut pada masa itu.

"Hal sebegini terjadi kerana tiada pemantauan pihak kerajaan serta tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap syarikat mengiklankan produk itu," katanya.

Memandang serius perkara tersebut, PPIM kata Mustaffa, telah menghantar cadangan kepada Jawatankuasa Pemantau Iklan yang terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memastikan gesaan tersebut diketahui di peringkat akar umbi.

Pada masa sama, katanya, PPIM berharap Kementerian Dalam Negeri dapat melibatkan persatuan pengguna sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Penapisan Filem bagi melakukan pemantauan dengan lebih tegas untuk memastikan tiada lagi iklan mengelirukan terutamanya berkaitan dengan produk makanan.

Sementara itu, menurut Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, penggubalan akta khas penting berikutan pada masa ini, syarikat pengiklan hanya terikat dengan Kod Amalan Periklanan Malaysia sahaja.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan kepada syarikat melanggar kod tersebut kerana ia hanyalah garis panduan untuk pengiklan, agensi pengiklanan dan media semata-mata.

Kata Mohd. Yusof, pengiklan yang tidak bertanggungjawab dengan mudah akan memperdayakan pengguna.

"Sekiranya terdapat iklan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini contohnya, hanya agensi media menyiarkan iklan tersebut dikenakan tindakan.

"Sebaliknya, pengiklan dan agensi pengiklanan terbabit terlepas begitu sahaja. Sehubungan itu, FOMCA berharap hukuman lebih menyeluruh dan tidak berat sebelah adalah perlu," katanya.

3 penjenayah mati ditembak

Posted:

3 penjenayah mati ditembak

3 penjenayah mati ditembak

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my


Anggota Forensik mengangkat mayat perompak yang mati ditembak dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang, Ijok, Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 7 Feb. – Polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi ini.

Seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu. Identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Difahamkan, sebelum kejadian berbalas tembak, kesemua suspek baru menyamun rumah seorang pemandu lori di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 3 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebaik sahaja menerima laporan kejadian itu, polis yang kebetulan menjalankan rondaan berdekatan tempat kejadian terserempak dengan kenderaan suspek terbabit.

Beliau berkata, suspek yang cuba lari telah dikejar sejauh tiga kilometer sebelum tiga daripada mereka mati selepas berbalas tembak dengan polis di tempat kejadian.

"Semasa polis sedang mengejar suspek di dalam kawasan ladang kelapa sawit, kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam lopak di Jalan Parit Mahang. Keempat-empat suspek keluar daripada kereta dan dua daripada mereka terus melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

"Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis melepaskan tembakan balas dan tiga daripada penjenayah terbabit mati di tempat kejadian namun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohd. Adnan berkata, hasil pemeriksaan terhadap mayat tiga suspek tersebut dan kereta Proton Wira yang dinaiki mereka, polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan Smith and Wesson, satu parang, sabit, beg komputer riba serta sejumlah wang.

Menurut beliau, semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek mendapati, kenderaan itu dilaporkan dicuri di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 Januari lalu.

"Kita kini sedang menyiasat sama ada kesemua suspek terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di sekitar Selangor.

"Kita juga telah mengerahkan Unit Anjing Pengesan untuk mengesan suspek yang masih bebas," katanya sambil memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 307 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan