Khamis, 2 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


YIK nafi tidak beri kerjasama

Posted:

YIK nafi tidak beri kerjasama

YIK nafi tidak beri kerjasama

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Mohd. Amar Nik Abdullah (tiga kiri) beramah mesra dengan sebahagian 15 pelajar cemerlang STAM 2011 Yayasan Islam Kelantan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 1 Feb. – Yayasan Islam Kelantan (YIK) menafikan pihaknya tidak memberi kerjasama untuk menghantar senarai lengkap pelajar mereka kepada Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar tidak dapat disalurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, YIK awal-awal lagi sudah memberikan senarai nama itu kepada kementerian dan menyerahkan sekali lagi data terkini pada 25 Januari lalu.

"Paling terbaru apabila kita menerima edaran pekeliling daripada pihak kementerian pada 15 Januari yang mahukan senarai nama terkini pelajar sekolah YIK.

"Kami telah mengambil tindakan segera dengan membuat taklimat kepada semua pengetua pada 19 Januari dan pada 25 Januari, senarai nama pelajar kemudiannya dihantar kepada kementerian.

"Sehingga hari ini, tiga sekolah Ma'ahad telah menerima bantuan tidak termasuk 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang telah menerimanya lebih awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah YIK, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Mohd. Amar berkata, terdapat 26 ma'ahad, 42 buah Sekolah Menengah Ugama (Arab) dan 20 buah SABK di bawah YIK dengan bilangan pelajar seramai 33,000 orang.

Justeru itu katanya, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin baru-baru ini yang mengatakan YIK gagal memberikan kerjasama adalah tidak tepat dan menimbulkan pandangan kurang baik masyarakat terhadap peranan YIK sebagai sebuah agensi pendidikan.

"Tidak eloklah keluar pernyataan begitu sedangkan pegawai kami sudah beberapa kali berulang-alik ke kementerian dan menghadiri mesyuarat bersama. Awang sebagai Timbalan Menteri sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Pelajaran dan juga YIK sendiri," katanya.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, pihaknya kini dalam perbincangan akhir dengan Universiti Ummul Qura, Arab Saudi untuk memberi peluang kepada 15 pelajar yang mendapat 10 Mumtaz dalam peperiksaan STAM 2011 mengikuti pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di sana.

Beliau berkata, sekiranya rundingan tersebut berjaya, pelajar cemerlang yang berminat akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti itu sepanjang tempoh pengajian empat tahun.

Seramai 1,769 pelajar dari 23 buah sekolah YIK menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu dengan kelulusan 66.65 peratus berbanding 65.57 peratus pada 2010 iaitu peningkatan sebanyak 1.08 peratus.

Full content generated by Get Full RSS.

Polis tahan bekas banduan, selesai 11 kes curi

Posted:

Polis tahan bekas banduan, selesai 11 kes curi

Polis tahan bekas banduan, selesai 11 kes curi

MARANG 1 Feb. - Polis berjaya menahan seorang bekas banduan yang dipercayai bertanggungjawab melakukan 11 kes curi termasuk di surau di sekitar daerah ini melibatkan kerugian kira-kira RM15,000 sejak November lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, suspek berusia 37 tahun yang juga seorang penagih dadah itu ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di Kampung Kijing di sini, pukul 10.50 pagi, pada Khamis lalu.

Katanya, dalam serbuan hasil maklumat awam dan intipan itu, polis menemui semula barangan yang dipercayai dicuri termasuk televisyen, pemain cakera padat (CD) serta cakera padat video (VCD), set karaoke dan sistem audio.

"Siasatan lanjut mendapati barang-barang itu dilaporkan hilang di beberapa buah surau, kedai makan dan tabika di sekitar daerah ini. Polis juga percaya telah menyelesaikan 11 kes curi," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Ahmad Mazlan berkata, suspek yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini kelmarin dan kini ditahan di Penjara Marang.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiga penjenayah diburu terlibat kes pecah rumah, ragut dan curi

Posted:

Tiga penjenayah diburu terlibat kes pecah rumah, ragut dan curi

Tiga penjenayah diburu terlibat kes pecah rumah, ragut dan curi

MARANG 1 Feb. - Polis sedang giat memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah, ragut serta curi motosikal di sekitar Bukit Payong dan Marang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya ketiga-tiga suspek tersebut.

Katanya, mereka ialah Mohd. Zulhelmi Rosli atau dikenali sebagai 'Mie Tiger', 24, dari Kampung Alor Limbat, Bukit Payong dan Mohd. Zakaria Abd. Ghani atau 'Mamat Itik', 23, dari Kampung Rhu Muda di sini.

"Seorang lagi suspek ialah Abdul Latip Mat Bidin atau 'Latip', 29, berasal dari Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya semalam.

Menurut beliau, 'Mie Tiger' pernah didakwa namun suspek gagal hadir ke mahkamah.

Polis berharap suspek ini bersama dua lagi rakannya dapat dijejaki bagi membantu menyelesaikan kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar daerah ini, katanya.

Ahmad Mazlan berkata, orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 09-6182222 atau Balai Polis Bukit Payong di talian 09-6191222.

Mereka juga boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) terus kepada Rakan Cop atau datang ke mana-mana balai polis yang berdekatan, katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan