Jumaat, 10 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Telok Kemang tiada minyak masak

Posted:

Telok Kemang tiada minyak masak

Telok Kemang tiada minyak masak

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


S. Raju menunjukkan ketiadaan bekalan minyak masak peket di sebuah pasar raya di Port Dickson, semalam.


TELOK KEMANG 9 Feb. - Masalah bekalan minyak masak yang dilaporkan meruncing di Lembah Klang kini melanda bandar ini apabila orang ramai dikatakan sukar untuk mendapatkan bahan itu.

Para peniaga dan orang ramai yang ditemui memberitahu, bekalan minyak masak peket sukar untuk diperoleh sejak beberapa bulan lalu sehingga terpaksa mengunjungi beberapa kedai di sekitar bandar ini untuk mendapatkannya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit di sekitar kawasan ini mendapati, rak jualan bekalan minyak masak terutama minyak masak peket satu kilogram kosong.

Seorang peruncit, V. Kumar, 58, berkata, kali terakhir kedainya menerima bekalan minyak masak adalah pada Disember tahun lalu.

"Walaupun minyak masak kurang dibeli di kedai saya disebabkan berhampiran dengan hotel, tetapi kini ada segelintir penduduk yang datang mencari bekalan minyak di sini disebabkan kawasan sekeliling kediaman mereka kehabisan bekalan," ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Lim Jit Huang, 53, berkata, dia juga menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram.

"Setiap kali pelanggan datang hanya satu peket dibenarkan dibeli sehingga ada pelanggan merungut.

"Dahulunya saya mendapat bekalan daripada pembekal sebanyak 100 peket untuk sebulan tetapi ia berkurangan menjadi 50 peket dan baru-baru ini 30 peket," ujarnya.

Peniaga, R. Balan, 50, pula kesal dengan segelintir pelanggan yang mendakwa mereka sengaja menyembunyikan minyak masak sedangkan adalah sukar untuk mendapatkan bekalannya daripada pemborong.

"Tiada sebab untuk kami berbuat demikian kerana apa yang diberi oleh pembekal, itulah yang kami pasarkan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana minyak masak merupakan antara keperluan harian yang penting," tambahnya.

Penduduk bimbang ancaman babi hutan

Posted:

Penduduk bimbang ancaman babi hutan

Penduduk bimbang ancaman babi hutan

MELAKA 9 Feb. - Penduduk Kampung Pernu di sini menggesa pihak berkuasa segera menghapuskan babi hutan yang semakin kerap muncul di kampung tersebut sehingga mengganggu kehidupan seharian mereka.

Seorang penduduk, Jaapar Atan, 46, berkata, perkara ini perlu diambil serius bagi memastikan tiada sebarang kejadian buruk berlaku terutama membabitkan nyawa penduduk.

Katanya, dia sendiri pernah terserempak dengan haiwan liar itusebut di simpang masuk kampung tersebut baru-baru ini, namun sempat mengelak daripada bertembung dengan haiwan berkenaan.

"Oleh itu, tindakan segera perlu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya dari terus dibelenggu kebimbangan," kata Jaapar ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Asiah Ali, 32, berkata, anaknya juga pernah melihat babi hutan berkenaan ketika sedang bermain bersama beberapa rakannya di halaman rumah mereka, Ahad lalu.

Menurutnya, meskipun babi hutan berkenaan hanya muncul sekali sekali namun beliau bimbang sekiranya ia bertindak ganas dan mengancam keselamatan anaknya.

"Sebelum ini, saya pernah lihat babi hutan ini muncul pada waktu malam tetapi kini ia berani pula keluar pada waktu siang," katanya.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat segera menghapuskan babi hutan ini kerana dikhuatiri ia akan membiak dengan banyak sehingga sukar untuk diatasi kelak," katanya.

Seorang lagi penduduk, turut meminta tindakan segera diambil memandangkan rumahnya juga berisiko dimasuki oleh haiwan liar berkenaan.

"Namun apa yang lebih membimbangkan saya, bagaimana kalau haiwan ini berkeliaran sehingga memasuki sebuah surau tidak jauh dari sini," katanya yang enggan dikenali.

BN NS atur strategi rampas kembali kerusi yang kalah

Posted:

BN NS atur strategi rampas kembali kerusi yang kalah

BN NS atur strategi rampas kembali kerusi yang kalah

SEREMBAN 9 Feb. - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bukan sahaja akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya malah merampas kembali kerusi yang terlepas kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang terlepas kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Taufek Abdul Ghani.

"Jaga kawasan dia. DUN Paroi akan kita rampas balik daripada dia," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mohd. Taufek di sini semalam.

Mohd. Taufek dalam satu portal berita semalam berkata, Pas negeri mengenal pasti lapan kerusi DUN yang berpotensi dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang, kebanyakannya di kawasan pengundi campuran seperti Klawang, Gemencheh dan Chembong.

Katanya, para pengundi bukan Melayu di kawasan tersebut yang kebanyakannya didakwa propakatan pembangkang mencapai jumlah sehingga 40 peratus.

Dalam pilihan raya umum lalu, kecuali Mohd. Taufek, semua 15 calon Pas tewas di tangan BN.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, BN negeri mempunyai strategi bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dan pada masa yang sama merampas semula kerusi yang dimenangi oleh parti pembangkang.

"Terdapat beberapa kerusi dimenangi oleh pembangkang dengan majoriti tipis yang akan dirampas semula oleh BN," katanya.

Beliau mengulangi pendirian bahawa kemenangan parti pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana kekuatan yang dimiliki oleh mereka sebaliknya disebabkan perpecahan dan sabotaj yang dibuat oleh penyokong kerajaan.

"Pakatan pembangkang bercita-cita mahu menawan negeri ini dan mereka menabur pelbagai janji yang belum tentu mahu ditunaikan," ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, keghairahan untuk menang dalam pilihan raya telah mendorong kempen menarik sokongan dilakukan dengan begitu agresif hingga menimbulkan isu perkauman.

"Kebelakangan ini, akibat terlampau bernafsu untuk menang hingga ada yang lupa batasan dengan membangkitkan isu yang berbau perkauman.

"Saya bimbang sesuatu yang buruk boleh berlaku kerana tidak semua orang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi apabila diprovokasi," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan