Jumaat, 10 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Rampas jika tak siap’

Posted: 09 Feb 2012 11:06 AM PST

BANGI: Kegagalan syarikat pemaju Projek Perumahan Kos Rendah Kelisa Ria, Kampung Sungai Tangkas, di sini, menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan mereka diberi 'kata dua' oleh kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah itu.

Malah, tindakan yang lebih keras mungkin dikenakan terhadap pemaju terbabit termasuk 'merampas' hartanah projek berkenaan jika pemaju gagal menemui kerajaan negeri dalam masa terdekat.


Difahamkan, masalah kekurangan dana menyebabkan pemaju projek terbabit menyiapkan 80 peratus kerja pembinaan sehingga kini walaupun projek itu bermula 2002 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2005.

Bagaimanapun, sehingga kini pemaju didakwa gagal menyiapkan projek terbabit menyebabkan 420 pembeli berputih mata apabila terpaksa meneruskan bayaran ansuran rumah berkenaan.


Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya memberi tempoh untuk pemaju terbabit tampil bertemu pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).


"Kami merampas seluruh hartanah itu jika dalam tempoh yang diberikan, pemaju masih gagal menemui kami. Projek ini hanya diisytiharkan terbengkalai Julai tahun lalu oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Ia kerana pemaju terbabit masih meneruskan projek itu secara beransur-ansur selepas tempoh yang dijadualkan bagi mengelak diisytiharkan terbengkalai, namun masalah kewangan yang tenat menyebabkan mereka menghentikan projek berkenaan. "Sebelum ini, pemaju sering mengelak dan memberi pelbagai alasan untuk berjumpa kerajaan berhubung masalah itu," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan yang terbengkalai itu di sini, semalam.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata, masalah projek perumahan terbengkalai itu berlarutan sejak enam tahun lalu hingga menimbulkan kerisauan pemilik dan masalah itu diajukan kepadanya beberapa kali.

"Kami sudah memanggil pemaju beberapa kali sebelum ini, tapi pelbagai alasan diberi untuk mengelakkan diri. Saya juga sudah banyak kali membawa perkara ini ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri. "Malah, saya difahamkan projek terbabit tinggal 20 peratus saja untuk disiapkan manakala baki RM6 juta diperlukan untuk menyiapkan jalan di kawasan itu serta beberapa infrastruktur lain," katanya.


Katanya, projek perumahan yang bernilai hampir RM25 juta itu terdiri daripada lima blok mengandungi 500 rumah berharga RM42,000 setiap unit.



Kolumnis hina Nabi ditahan

Posted: 09 Feb 2012 11:02 AM PST

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari yang dikehendaki kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.

Sumber Interpol memberitahu semalam, lelaki itu ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam selepas melarikan diri dari negara itu.


Kolumnis terbabit dilaporkan mengeluarkan satu laporan menghina Islam melalui twitternya yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.

Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan laporan itu pada sambutan Maulidur Rasul minggu lalu dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad dan seolah-olah kedua-dua mereka sama taraf. — Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan