Khamis, 2 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


8 pendatang asing mati lemas

Posted:

8 pendatang asing mati lemas

8 pendatang asing mati lemas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my


CHE Mahazan Che Aik memeriksa lapan mayat warga asing yang mati lemas di Pantai Teluk Semayong, Sedili, Kota Tinggi, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


KOTA TINGGI 1 Feb. – Lapan lelaki warga asing mati lemas, lima hilang, manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam pada kedudukan tujuh batu nautika (13 kilometer) dari perairan Teluk Semayong, Sedili Besar di sini awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika kesemua 25 pendatang asing dari Afghanistan dan Iraq berusia antara 20 hingga 35 tahun cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk menuju ke sebuah negara lain dipercayai Australia.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8 pagi daripada penduduk tempatan yang menemui lapan mayat dan mangsa terdampar di pantai Teluk Semayong.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada lebihan muatan selain keadaan laut bergelora.

"Siasatan awal mendapati, kesemua 25 warga asing itu dipercayai ingin keluar dari negara ini sebelum bot mereka dipukul ombak menyebabkan ia karam.

"Menurut beberapa mangsa yang terselamat, tekong bot sempat melarikan diri. Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang hilang," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Tanjung Sedili di sini hari ini.

Ini merupakan kejadian terbaru melibatkan bot karam membawa pendatang asing di rantau ini. Baru-baru ini, sebuah bot yang menyeludup warga asing dari Asia Barat dan beberapa negara lain menuju ke Australia karam di perairan Jawa Timur, Indonesia mengakibatkan 217 orang dikhuatiri lemas.

Tragedi melibatkan warga Afghanistan, Turki, Iran dan Arab Saudi itu berlaku kira-kira 30 batu nautika (55 kilometer) dari perairan Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.

Che Mahazan berkata, kesemua mangsa yang selamat mendakwa semua dokumen pengenalan diri hilang dihanyutkan ombak dan ini menyukarkan polis untuk memastikan identiti sebenar mereka.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai lokasi sebenar digunakan mereka untuk menyusup keluar dari negara ini dan mereka dipercayai tidak menggunakan laluan di sepanjang pantai Kota Tinggi.

"Kita juga mengalami masalah untuk menjalankan siasatan kerana kesemua mangsa yang terselamat tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Atallah Rafki, 23, berkata, dia bersama rakan lain mula berasa cemas apabila bot karam dan melihat ada yang lemas sekali gus berusaha untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke tepian.

"Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri dan kami juga tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan," katanya.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Nametullah, 25, berkata, kejadian itu merupakan pengalaman terburuk dalam hidupnya malah masih terkejut apabila ramai mangsa lemas.

"Semua dokumen pengenalan diri kami hilang dan selepas ini keadaan akan menjadi lebih sukar untuk kami," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Buku Jingga tak sesuai di Kedah

Posted:

Buku Jingga tak sesuai di Kedah

Buku Jingga tak sesuai di Kedah

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 1 Feb. – Datuk Seri Azizan Abdul Razak ternyata tidak gentar dengan kritikan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengenai tindakan beliau tidak mematuhi apa terkandung dalam Buku Jingga yang dikeluarkan pakatan itu.

Ia terbukti apabila hari ini, Menteri Besar Kedah itu secara terbuka berkata, pelaksanaan apa yang terkandung dalam buku itu yang juga manifesto Pakatan Pembangkang bergantung kepada kesesuaian sesuatu negeri.

Sehubungan itu beliau menegaskan, terdapat perkara-perkara dalam buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat setempat.

"Kita menghormati Buku Jingga tetapi ada benda-benda yang kadang-kadang kita boleh guna sekarang dan yang tak boleh lagi sebab setiap negeri itu ada masalah tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini.

Sebelum ini Azizan dikritik oleh pemimpin kedua-dua parti itu kerana didakwa tidak mematuhi apa yang terkandung dalam Buku Jingga berhubung isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) baru-baru ini.

Ia memandangkan mereka membuat tafsiran bahawa Azizan yang juga Pengerusi KUIN mengambil tindakan berlandaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) manakala dalam Buku Jingga dicadang dimansuhkan jika pembangkang memerintah negara.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, tindakan tidak mematuhi sebahagian kandungan Buku Jingga bukan bererti beliau menolak buku tersebut tetapi berpendapat janji-janji dalam buku itu lebih sesuai dilaksanakan jika pakatan pembangkang memerintah negara.

"Sebagai contoh, dalam al-Quran, hukum mencuri adalah potong tangan tetapi terdapat juga kes pada zaman dahulu pencuri tak dipotong tangan kerana tahun itu berlaku kebuluran, jadi maknanya tak melaksanakan hukum itu bukan bererti menolak al-Quran tetapi mengambil kira suasana untuk memberi keadilan," jelasnya.

Justeru, beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pada masa sama akan menghantar pegawainya ke Kuala Lumpur untuk menjelaskan isu penggantungan pelajar KUIN itu kepada Pas Pusat.

Sementara itu, kata Azizan, terserah kepada pucuk pimpinan Pas Pusat sama ada memilih beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Pas negeri itu berkata, jika Pas Pusat tidak mahu beliau bertanding lagi menjadi calon pilihan raya maka beliau akan akur dan berhenti daripada memegang jawatan.

"Itu hak Pas Pusat dan pemimpin di atas, kalau tak beri bertanding maka saya berhenti tetapi selagi saya di sini maka saya buat kerja macam biasa," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Sokong perkukuh ekonomi

Posted:

Sokong perkukuh ekonomi

Sokong perkukuh ekonomi


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) kepada Senator G. Palanivel sempena Hari Wilayah Persekutuan 2012 di Istana Melawati, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 1 Feb. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang diramalkan tidak menentu.

Seri Paduka bertitah, rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih.

Titah Seri Paduka, keadaan ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan juga perdagangan dunia yang lebih perlahan.

"Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

"Justeru seluruh rakyat Malaysia termasuk warga Wilayah Persekutuan perlulah sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara," titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Istana Melawati sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam titah Seri Paduka, Tuanku Abdul Halim turut meminta rakyat berbilang kaum untuk terus memupuk dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama bagi memastikan kemakmuran dan keamanan yang dikecapi hari ini dapat dikekalkan.

Seri Paduka juga melahirkan rasa sukacita dengan Kuala Lumpur yang membangun dengan pesat dan berada di atas landasan yang tepat menuju pencapaian status bandar raya bertaraf dunia dan menjadi antara senarai 20 bandar raya paling sesuai didiami menjelang 2020.

Seri Paduka juga berharap Wilayah Persekutuan Labuan akan terus berkembang menjadi hab halal bagi produk berasaskan keluaran laut dan hab logistik bagi minyak dan gas, selain menumpukan usaha menjadikannya sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

"Demikian juga dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Selain menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, beta merasa gembira kerana Putrajaya telah mengorak langkah menuju matlamat menjadi bandar raya yang mapan dan makmur demi kesejahteraan seluruh warganya," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim percaya pelbagai usaha yang sedang dijalankan kerajaan akan memenuhi matlamat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah yang maju dan makmur ke arah mencapai kehidupan yang berkualiti dan sejahtera.

Terdahulu pada istiadat itu, Seri Paduka menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 kepada 279 penerima.

Antara penerima ialah Yang Dipertua Persatuan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Hassan Omar yang dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang turut menerima SUMW, bagaimanapun tidak hadir pada istiadat hari ini kerana sedang melakukan lawatan kerja ke London dan dijadual pulang ke tanah air Khamis ini.

Selain itu lima penerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri pula ialah Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ahmad Kabit, Pengerusi KUB Malaysia Berhad, Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad, Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong Ten Soo dan Timbalan Presiden Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Malaysia, Datuk Seri Mohamed Iqbal Kuppapitchai Rawther.

Seramai 34 orang dianugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, 30 penerima Johan Mahkota Wilayah (JMW). Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Abdul Jalil Abdul Hamid menerima bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW).

Selain itu seramai 74 penerima pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 84 lagi menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan