Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Tajudin tarik balik rayuan

Posted:

Tajudin tarik balik rayuan

Tajudin tarik balik rayuan

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Feb. - Pertikaian saman yang berlarutan di antara bekas Pengerusi Eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta) dan dua anak syarikatnya tiba di penghujung apabila tokoh korporat itu menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini.

Beliau menarik balik rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 7 Disember 2009 yang mengarahkannya membayar RM589.14 juta kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dan dua anak syarikatnya.

Dengan penyelesaian itu, Tajudin turut menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman balasnya terhadap 24 lagi pihak termasuk beberapa GLC, Kerajaan Malaysia dan individu-individu korporat.

Tajudin mengemukakan saman balas ke atas 24 defendan termasuk GLC terlibat bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin ketika membenarkan rayuan itu ditarik balik mengarahkan Tajudin membayar kos berjumlah RM185,000.

Kos itu melibatkan sejumlah RM180,000 kepada syarikat-syarikat berkenaan manakala Kerajaan Malaysia sebanyak RM5,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa kos tersebut adalah munasabah dan adil bagi semua pihak selepas menimbangkan penghujahan barisan peguam bela dan setelah mengambil kira tindakan Tajudin menarik balik rayuannya.

Panel itu menangguhkan hingga Khamis ini bagi mendengar isu-isu interlokutori melibatkan Tajudin dan MAS.

Sebelum itu, peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin memaklumkan, anak guamnya bersetuju menarik balik rayuannya dan menyelesaikan pertikaian saman itu secara baik serta memohon agar semua pihak menanggung kos guaman masing-masing.

Bagaimanapun, responden-responden tidak bersetuju agar setiap pihak menanggung kos guaman masing-masing atas alasan walaupun penghujahan tidak dikemukakan di mahkamah, penghujahan bertulis dan segala bentuk dokumentasi sudah difailkan bagi rayuan tersebut.

Tajudin menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membuat penghakiman memihak kepada Pengurusan Danaharta, Danaharta Urus Sdn. Bhd. dan Danaharta Managers Sdn. Bhd. terhadap beliau.

Mahkamah mengarahkan beliau membayar RM589.14 juta setakat 31 Disember 2005 kepada Danaharta, serta faedah pada kadar dua peratus lebih tinggi daripada kadar pinjaman asas (BLR) Malayan Banking Bhd. hingga tarikh penyelesaian pembayaran.

Kes itu berbangkit selepas Tajudin melaksanakan perjanjian kemudahan pada 13 Julai 1994 untuk meminjam RM1.792 bilion daripada sekumpulan peminjam bersindiket untuk membiayai pembelian 32 peratus pegangan dalam MAS.

Bagaimanapun, dari 1994 hingga 1998, beliau gagal membayar pinjaman asal menyebabkan ia menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL).

Ujian saringan air kencing Saiful positif dadah

Posted:

Ujian saringan air kencing Saiful positif dadah

Ujian saringan air kencing Saiful positif dadah

PETALING JAYA 14 Feb. - Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa ujian saringan air kencing pelakon komedi, Saiful Apek bersama tiga rakannya termasuk seorang wanita menunjukkan mereka positif dadah ganja.

Menurut Detektif Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Sarjan M. Sanggar, 48, dia diarahkan membuat ujian itu oleh Cif Inspektor Shaifuddin Mohd. Zulkifli yang mengetuai serbuan terhadap pelakon tersebut dan rakan-rakannya di No. 306, Blok C, Kondominium Sunway di sini pada pukul 10 malam, 12 Jun 2010.

Katanya, proses pengambilan bahan bukti yang bermula daripada mengambil spesimen air kencing hingga ke memateri tudung botol spesimen itu dilakukan sendiri olehnya dengan dibantu pegawai penyiasat dari IPD yang sama, Inspektor Rozlia Razali.

Sanggar merupakan saksi kedua dalam perbicaraan terhadap Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohamad Saifulazam Mohamed Yusof, 43, serta tiga yang lain atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Tiga tertuduh tersebut ialah Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 29, Shaiful Baharom, 25, dan Noremy Mohamad, 29.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad untuk mengecam gambar botol spesimen, Sanggar mengakui telah melakukan kesilapan pada label bekas air kencing milik Saiful Apek dan Noremy apabila menulis tarikh 12 September 2010 sedangkan tarikh sebenar ialah 12 Jun 2010.

Peguam Zambri Idrus yang mewakili kesemua tertuduh kemudian meminta Sanggar menjelaskan kesilapan tersebut, namun anggota polis itu berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan kerana ia memang satu kesilapan.

Mendengar jawapan itu, Zambri menuduh Sanggar berbohong dan kemungkinan barang kes telah diganggu tetapi dinafikan oleh Sanggar.

''Ujian saringan dibuat di hadapan kesemua suspek dan saya memberitahu keputusan ujian itu kepada mereka sebelum menulis nama, nombor kad pengenalan dan tarikh pada label setiap bekas yang mengandungi air kencing.

''Selesai sahaja melabel, Inspektor Rozlia memateri kesemua tudung botol spesimen itu sebelum diserahkan kepada Cif Inspektor Shaifuddin,'' katanya.

Terdahulu, Shaifuddin dalam keterangannya memberitahu ketika dia dan lapan anggota lain menyerbu unit kondominium tersebut, mereka menjumpai dadah disyaki ganja.

Menurutnya, kesemua botol spesimen yang mengandungi air kencing setiap tertuduh diterimanya dalam keadaan baik dan bersih sebelum diserahkan pula kepada pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Syed Mohd. Rahayat Syed Ramlee.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid bersambung pada 27 Mac depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan