Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


43 peneroka dapat bayaran SITS

Posted:

43 peneroka dapat bayaran SITS

43 peneroka dapat bayaran SITS

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com


SHAHANIZA Shamsudidin (kiri) menerima replika cek SITS untuk peneroka daripada Mohd. Nozri Ibrahim (dua dari kanan ) sambil disertai Saari Din (dua, kiri) di Dewan JKKK Felda Hulu Jempol, Maran, baru-baru ini.


MARAN 14 Feb. - Seramai 43 peneroka Felda Hulu Jempol di sini gembira apabila Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meluluskan pembayaran khas wang Skim Insentif Tanam Semula (SITS) berjumlah RM158,827 baru-baru ini.

Skim itu membabitkan pembayaran purata RM4,000 seorang berdasarkan keluasan tanah dan secara langsung menamatkan penantian peneroka terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pemberian itu bertujuan menggalakkan peneroka menanam semula pokok sawit dengan benih baharu bernilai tinggi.

"MPOB berfungsi untuk menyelaras sebarang kegiatan yang didapatinya perlu bagi melindungi dan memajukan kepentingan industri kelapa sawit negara.

"Agensi itu juga berfungsi menetapkan piawaian atau gred kelapa sawit serta keluasan tanaman itu," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis bayaran SITS di Felda Hulu Jempol dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din dan Ketua MPOB Wilayah Timur, Mohd. Nozri Ibrahim.

Menurut Shahaniza, wang yang diterima itu sedikit sebanyak membantu peneroka mengurus perbelanjaan serta meringankan beban perbelanjaan terutama ketika membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.

Katanya, skim itu juga merupakan durian runtuh kepada mereka dan menjadi pemangkin untuk terus berusaha memajukan kebun masing-masing.

"Saya berharap peneroka terbabit lebih komited sekali gus menjadikannya sebagai galakan serta perangsang untuk meningkatkan lagi komitmen terhadap Felda," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Hulu Jempol, Idris Shah Musa berkata, pembayaran skim itu tepat pada masanya ketika para peneroka memerlukan wang untuk perbelanjaan harian.

Penduduk lega bekalan gas masak pulih

Posted:

Penduduk lega bekalan gas masak pulih

Penduduk lega bekalan gas masak pulih

JERANTUT 14 Feb. - Para peneroka di sekitar Gugusan Felda Lepar Utara dekat sini menarik nafas lega apabila bekalan gas memasak kembali berada di pasaran sejak beberapa hari lalu.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Lepar Utara, Osman Shaari, 47, berkata, para penduduk bersyukur kerana Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang bertindak pantas dengan memohon kerjasama pembekal Petronas menambahkan bilangan pemunggahan tong gas ke gugusan Felda berkenaan.

"Kesukaran di kalangan penduduk di sini disebabkan pertukaran tong gas kosong jenama syarikat lain dengan pembekal dan peruncit Petronas di sini sehingga penduduk tidak mempunyai alternatif.

"Bagaimanapun, kita anggap masalah sudah selesai berasaskan situasi menang-menang kerana kredibiliti dan peranan agensi itu cepat bertindak sehingga senario ketiadaan bekalan tersebut kembali pulih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berharap lebih ramai peruncit di gugusan itu diberi lesen perniagaan gas masak oleh agensi kerajaan terbabit dan Petronas di samping mewujudkan depot gas memasak di kawasan itu untuk memenuhi permintaan 15,000 penduduk.

Seorang penjual gas masak Petronas Felda Lepar Utara 3, Zakaria Abd. Rahman, 56, berkata, punca keputusan tong gas itu bermula sejak bulan lalu kerana bekalan lewat sampai dari Bandar Tun Razak Jengka selain keengganan sebuah syarikat menerima tong kosong dari jenama lain.

"Segalanya selesai apabila tong gas kosong jenama lain diterima oleh Petronas dan saya menerima sebanyak 30 tong gas cukup untuk bekalan dua minggu sebelum tiba penghantaran baru," katanya.

Beliau berkata, pemulihan semula bekalan itu menghilangkan tekanan apabila setiap kali berdepan dengan penduduk yang marah kerana dia enggan menukarkan tong gas kosong jenama lain dengan Petronas.

Penduduk Felda Lepar Utara 2, Osman Hamid, 50, berkata, dia lega dengan tindakan pantas agensi itu sehingga memulihkan kembali jualan gas memasak di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini peneroka terpaksa ke bandar Jerantut dan Jengka sejauh 90 kilometer dengan menyewa kereta untuk membeli gas memasak. Jika tidak, anak-anak kami tidak dapat makan," katanya.

Pahang tidak halang Himpunan Hijau - MB

Posted:

Pahang tidak halang Himpunan Hijau - MB

Pahang tidak halang Himpunan Hijau - MB

KUANTAN 14 Feb. - Kerajaan negeri tidak menghalang kehadiran kira-kira 20,000 orang yang akan menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini pada 26 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kehadiran mereka akan disambut dengan tangan terbuka kerana ia menambahkan lagi sumber pendapatan buat peniaga dan pengusaha hotel di bandar ini.

"Mustahil mereka yang datang tidak berbelanja, makan dan menginap di hotel, jadi ia boleh meningkatkan pendapatan golongan peniaga. Kalau boleh kita galakkan lebih ramai yang datang. Lebih ramai lebih bagus, jadikan ia seramai 30,000 orang datang ke perhimpunan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghargaan penyampaian cek kerajaan negeri kepada 12 penerima yang menjadi pelapor kesalahan rasuah di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Adnan berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan rakyat bebas melakukan aktiviti asalkan ia tidak melanggar undang-undang serta menggugat ketenteraman orang ramai.

"Mungkin selepas ini ada pula tunjuk perasaan 40,000 orang yang membantah dan melawan balik mereka (Himpunan Hijau), jadi ia sekali gus meningkatkan lagi pendapatan peniaga," katanya secara sinis.

Ketika ditanya sekiranya penjawat awam mahu menyertainya Adnan berkata, ia bergantung pada kebenaran ketua jabatan masing-masing.

Sementara itu, Adnan mengakui populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melebihi populariti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau menyeru semua wakil rakyat serta pemimpin komponen BN meneruskan tugas masing-masing dengan mendekatkan diri kepada rakyat untuk meningkatkan populariti mereka.

Menurutnya, jika dapat dilakukan ia akan memudahkan tugas dan usaha Perdana Menteri sebagai pemimpin parti dalam memenangi hati rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan