Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Jamin siap dalam tiga tahun

Posted:

Jamin siap dalam tiga tahun

Jamin siap dalam tiga tahun

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb.- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjanji akan menyiapkan projek Rumah Kos Rendah (RKR) Setapak Jaya Baru, yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu, dalam tempoh tiga tahun.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mengakui penangguhan projek itu berpunca daripada kelemahan di pihaknya.

"Kali ini DBKL akan memastikan penduduk mendapat tempat tinggal baru yang telah dijanjikan selama ini. Malah, lebih baik daripada kediaman sekarang.

"DBKL juga akan memastikan projek tersebut siap dalam tempoh tiga tahun dan jika pemaju gagal untuk menyiapkannya, mereka akan dikenakan tindakan yang tegas," jelasnya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi penjelasan mengenai isu tersebut kepada penduduk di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, DBKL telah beberapa kali membuat bancian terhadap 351 orang penduduk di perumahan tersebut dan hanya 168 orang daripadanya yang layak membeli rumah di Projek Rumah Kos Rendah Setapak Jaya Baru itu.

Bagaimanapun, projek yang dikendalikan oleh DBKL itu telah tertangguh selama sembilan tahun menyebabkan sebahagian daripada pembeli yang kini tinggal di Desa Rejang marah dan tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku.

Wakil penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Hussen Zulkarai berkata, tindakan Ahmad Fuad turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar mengapa projek itu tertangguh dan memberi jaminan bahawa ia akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun melegakan mereka.

"Kami tidak puas hati kerana banyak masalah di kawasan perumahan di sini antaranya tempat letak kenderaan yang sempit dan masalah penyelenggaraan .

"Oleh itu, kami sangat berharap kali ini DBKL dapat mengotakan janji mereka agar kami mendapat kediaman baru yang lebih selesa," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rahmah Keman, 60, memberitahu, dia berharap agar rumah di Setapak Jaya Baru itu nanti lebih selesa dan mempunyai keluasan yang lebih besar daripada rumah yang didiami sekarang.

Katanya, di perumahan sekarang, selain masalah paip bocor, penduduk juga berhadapan dengan masalah lif yang sering rosak sehingga menyukarkan urusan harian penduduk.

"Tetapi saya gembira apabila diberitahu bahawa rumah di Setapak Jaya Baru itu menyediakan satu tempat letak kenderaan bagi setiap rumah," katanya.

Terpaksa lupakan sekolah

Posted:

Terpaksa lupakan sekolah

Terpaksa lupakan sekolah

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
kota@utusan.com.my


Abdul Rahman Mohd. Ridzuan (kiri) mengajar adik-adiknya yang tidak bersekolah di rumah mereka di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, kelmarin.


HULU SELANGOR 14 Feb. - Akibat kemiskinan hidup, empat beradik di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini terpaksa melupakan hasrat untuk menyarung pakaian seragam sekolah seperti kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka.

Abdul Aziz, 12; Siti Hajar, 10, Abdullah, 8, dan Siti Hawa, 7, merupakan empat daripada tujuh anak kepada pasangan Mohd. Ridzuan Mohd. Suhaimi, 42, (gambar kecil) dan Zarinatul Asiah Mohamed Isa, 39.

Anak sulung pasangan itu, Abdul Rahman, 14, kini belajar di Sekolah Menengah Taman Bunga Raya dan terpaksa berjalan kira-kira tiga kilometer setiap hari untuk ke sekolah manakala Siti Hawa sepatutnya memasuki tahun satu pada Januari lalu.

Dua lagi anak pasangan itu ialah Abdul Latif, 5, dan Muhamad Hakim (tujuh bulan).

Menurut Mohd. Ridzuan, empat anaknya itu pernah belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Beruntung di sini, tetapi terpaksa berhenti pada tahun ini akibat kesempitan hidup.

Katanya, anak bongsu mereka yang dilahirkan di rumah pula tidak mempunyai sijil kelahiran berpunca daripada kelewatan mendaftarkan kelahirannya.

"Kami hidup miskin sejak tiga tahun lalu apabila saya diberhentikan kerja oleh sebuah syarikat swasta atas alasan kesihatan yang dikaitkan dengan masalah kemurungan.

"Sejak itu usaha untuk mendapatkan kerja tidak berhasil atas faktor usia dan masalah kesihatan. Pelbagai cara telah saya cuba, tapi semuanya tidak berhasil. Kini saya terpaksa berbuat apa sahaja kerja untuk menampung hidup," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari rumah yang disewa sebelum ini dengan kadar RM150 sebulan kerana tidak mampu membayar sewa dan rumah sekarang baru diduduki tiga bulan lalu.

Menurut Mohd. Ridzuan, usaha untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak berhasil apabila diberitahu namanya tidak disenaraikan meskipun sudah tiga kali mengisi borang.

Sementara itu, Abdul Aziz yang sepatutnya berada di tahun enam dan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak dapat menahan tangisan mengenangkan nasibnya tidak dapat bersekolah.

"Saya nak belajar seperti kawan-kawan yang lain. Setiap kali bermain, mereka tanya kenapa saya tidak bersekolah. Saya tahu boleh dapat 5A (dalam UPSR), cuma saya tak dapat pergi ke sekolah," katanya.

Menurutnya, keluarganya hidup dalam kesusahan dan menu harian mereka adalah nasi dan telur goreng sahaja.

Pesakit dakwa terima layanan kasar doktor

Posted:

Pesakit dakwa terima layanan kasar doktor

Pesakit dakwa terima layanan kasar doktor


Mubarak Shiekh Said menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan layanan kasar yang diberikan oleh seorang doktor terhadap isterinya di Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Seorang pesakit warga emas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendakwa dirinya dilayan dengan kasar oleh seorang doktor pakar di hospital berkenaan.

Mangsa, Sharifah Rome Syed Abdul Rahman, 74, mendakwa, doktor pakar tersebut melakukan perbuatan yang disifatkannya sebagai kasar itu sebanyak dua kali iaitu pada Khamis lalu dan semalam.

"Kejadian pertama berlaku apabila doktor berkenaan berjumpa saya dan bertanyakan tentang situasi penyakit saya, kemudian saya mengadu kepadanya yang kaki saya sakit akibat gout.

"Selepas itu, doktor itu terus menepuk dan menampar kedua-dua kaki saya sambil berkata kalau kaki saya sakit, mesti kaki saya ada lebam atau tanda-tanda kesakitan. Saya minta dia berhenti buat demikian kerana ia menambah kesakitan di kaki saya," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, pada Sabtu lepas, dia telah dikeluarkan dari hospital berkenaan dan kurang enam jam selepas itu, dia pengsan dan dimasukkan semula ke hospital itu.

"Semalam, doktor berkenaan datang berjumpa saya untuk melakukan pemeriksaan dan kemudian menuduh saya tidak makan ubat yang diberikan sedangkan ubat berkenaan telah terjatuh tanpa saya sedari.

"Doktor itu turut menghamburkan kata-kata kasar kepada saya sekiranya saya tidak mahu makan ubat kerana ingin tinggal lama di sini, lebih baik saya ambil kain buruk dan penyapu untuk membersihkan kawasan hospital.

"Saya cukup terkilan dengan kata-kata yang diucapkan oleh doktor berkenaan dan hanya mampu menangis mengenangkan kata-kata doktor berkenaan yang berbaur penghinaan buat warga emas seperti saya," jelasnya.

Sementara itu, suami mangsa, Mubarak Shaikh Syed, 75, berkata, dia cukup terkilan dengan sikap doktor berkenaan yang jelas telah mencemarkan imej hospital berkenaan.

"Kenyataan menghina dan menyinggung pesakit tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang doktor kerana ia pasti akan memberi kesan kepada mental pesakit.

"Saya tidak menyalahkan hospital, tapi saya menyalahkan sikap doktor berkenaan yang biadap dan tidak profesional semasa berdepan dengan kerenah pesakit," tegasnya.

Laporan polis turut dilakukan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa setelah doktor berkenaan mencabarnya untuk membuat laporan sekiranya tidak berpuas hati.

Sementara itu, jurucakap HKL ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan memanggil doktor berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

"Kami memandang serius perkara ini terutamanya melibatkan layanan kepada pesakit dan kes ini akan disiasat secepat mungkin.

"Sekiranya doktor berkenaan bersalah, ia terpulang kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan terhadapnya manakala dari pihak hospital pula, ia akan akan ditentukan oleh Ketua Pengarahnya," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan