Selasa, 7 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


SPR jangka Parlimen bubar awal Mei 2012

Posted: 07 Feb 2012 03:20 PM PST

Nasional

Jawatankuasa Pilihan Khas PSC selesai cadangan April

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi bayangan Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu sama ada pada Mei atau Jun.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin membubarkan Parlimen dalam masa terdekat kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya (PSC) hanya dijangka selesai mengemukakan semua cadangan ke Dewan Rakyat untuk dilaksanakan SPR pada April depan. Justeru, Abdul Aziz berkata, beliau berharap Perdana Menteri memberikan tempoh beberapa bulan kepada Ahli Panel SPR berbincang dan melaksanakan penambahbaikan proses pilihan raya seperti dicadangkan oleh PSC.

Dapatkan naskhah Berita Harian hari ini untuk berita lanjut

Bersama jaya konsep ‘nambikei’

Posted: 07 Feb 2012 03:18 PM PST

Nasional

NAJIB bersama  Rosmah  menerima kalungan bunga daripada Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanamm, Datuk R Nadarajah (dua dari kiri) ketika merasmikan sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Gombak, semalam.

NAJIB bersama Rosmah menerima kalungan bunga daripada Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanamm, Datuk R Nadarajah (dua dari kiri) ketika merasmikan sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Gombak, semalam.

Sejajar misi transformasi kerajaan ke arah negara moden berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak kaum India menjadi rakan kongsi kerajaan berasaskan konsep 'nambikei' yang bermaksud kepercayaan dan keyakinan untuk mencapai matlamat pelaksanaan program transformasi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk memenuhi misi ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat India. Beliau percaya rakan kongsi yang wujud sekarang, termasuk di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) India menerusi konsep nambikei dapat memperbanyakkan usaha pembangunan rakyat dalam pelbagai aspek.

"Dengan adanya konsep ini (nambikei), tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. I trust you... you trust me (saya percayakan anda dan anda percayakan saya)," katanya yang mengenakan kurta berwarna kuning langsat, iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan perayaan Thaipusam, di Batu Caves, di sini, semalam.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri di JPM, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Duta Khas (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan awal RM2 juta bagi memulakan pembinaan pusat kebudayaan di kawasan Batu Caves.
Najib juga memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memenuhi janji yang dibuat secara sama rata tanpa mengira kaum, sama ada bagi komuniti India atau bangsa lain.

Beliau berkata, penyelesaian masalah di kalangan kaum India dalam bidang pendidikan, ekonomi, keagamaan dan isu kewarganegaraan sehingga kini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu komuniti itu.

Katanya, sebanyak 3,315 kes ketiadaan kad pengenalan dan kewarganegaraan di kalangan kaum India berjaya diselesaikan sejak program MyDaftar untuk komuniti itu dilancarkan 10 bulan lalu.

"Kita tidak pernah mungkir janji dan jika kita janji untuk melakukan sesuatu, kerajaan BN akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata, seperti pentingnya sambutan Thaipusam bagi penganut Hindu dengan menunaikan hajat untuk kehidupan lebih baik, kerajaan juga berharap dapat memberi masa depan yang lebih terjamin kepada kehidupan rakyat.

Najib berkata, sebagai langkah meningkatkan taraf pendidikan kaum India, kerajaan akan meluluskan pembinaan enam lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baru di Selangor, Perak, Kedah dan Johor, seperti ditetapkan pada pertemuan dengan Guru Besar SJKT baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan