Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Peluang belia ceburi automotif

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir (tengah) bersama Mohd. Madani, Halim Azhar, Abdul Latif dan Abu Hasan menunjukan surat perjanjian kolaborasi peluang pekerjaan golongan belia Jerlun untuk menceburi bidang automotif sempena Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Jerlun 2013, semalam.

KUBANG PASU 30 Mac - Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Jerlun di Dataran Ayer Hitam di sini yang berakhir hari ini menyaksikan satu majlis penyerahan surat perjanjian kerjasama peluang pekerjaan kepada belia untuk berkecimpung dalam industri automotif negara.

Kerjasama itu adalah antara Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas).

Penyerahan surat perjanjian tersebut turut disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

ILP diwakili pengarahnya, Halim Azhar Mohd. Yatim manakala Polimas, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Abdul Latif Halim.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan berkongsi sumber dan kemudahan dalam organisasi masing-masing yang mampu memberi manfaat kepada pelajar memperoleh pekerjaan di syarikat automotif manakala syarikat pula mendapat sumber tenaga berkemahiran tinggi.

Mukhriz berkata, kerjasama pintar itu merupakan situasi 'menang-menang' antara tiga pihak iaitu pelajar, institut pengajian dan industri automotif, sekali gus dilihat mampu melonjakkan nama negara dalam bidang tersebut.

Katanya, negara juga boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing separa mahir dan mahir kerana menjadi dasar kerajaan untuk membangunkan industri itu menerusi tenaga mahir tempatan.

"Industri automotif pesat berkembang walaupun saingan sengit negara jiran, namun Malaysia dilihat sebagai pusat industri ini di rantau Asia yang menjadi pilihan pelabur asing.

"Permintaan tenaga kerja dalam bidang ini tidak putus malah berterusan dan ini memberi peluang kepada tenaga muda tempatan bagi memperoleh kemahiran tinggi serta pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita sempena majlis itu.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohd. Madani Sahari.

Fiesta yang bermula sejak Khamis lalu adalah anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Jerlun, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu serta Majlis Belia Daerah Kubang Pasu.

Mangsa kebakaran dibantu

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

ABDUL Azeez Abdul Rahim (tengah) melawat rumah Irwan Md. Nayan di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh, Baling, Kedah, semalam. - MINGGUAN/AZMAN MD. NOOR.

BALING 30 Mac - UMNO Bahagian Baling menyalurkan bantuan sebanyak RM36,000 untuk membina rumah baharu kepada sebuah keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh pada 11 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, rumah milik Irwan Md. Nayan, 32, musnah dijilat api manakala anak keduanya, Adam Ikmal, 5, maut kerana terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

Irwan berkata, selepas rumahnya hangus, mereka sekeluarga terpaksa menumpang rumah saudara terdekat buat sementara waktu dan bersyukur apabila dimaklumkan UMNO Baling akan membantu mereka membina sebuah rumah.

"Saya berasa lega atas keprihatinan pemimpin setempat membantu meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga.

"Saya tidak mampu membina sebuah rumah baharu dalam sekelip mata memandangkan keadaan hidup saya juga susah dan bergantung dengan makan gaji setiap bulan," katanya yang bertugas sebagai anggota tentera di Pengkalan Hulu, Perak.

Menurutnya, meskipun anak keduanya meninggal dunia dalam kejadian itu, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah dan berharap dapat menjalani kehidupan baru di rumah berkenaan.

"Kami sekeluarga juga berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana mengambil tindakan segera untuk membantu bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Irwan berkata, sumbangan diterima amat bermakna kepada mereka sekeluarga yang kehilangan tempat berteduh selepas kejadian itu.

"Alhamdulillah, semua turut membantu termasuk penduduk kampung, pihak tentera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pemimpin setempat," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu sedang dijalankan dan dijangka siap pada 15 April ini.

"Sebagai tanda peringatan kepada arwah anaknya, kediaman yang bakal didudukinya dinamakan teratak Adam Ikmal," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan