Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penduduk terima manfaat

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

YAP Pian Hon melihat lakaran projek pembinaan klinik kesihatan di Persiaran Suadamai, Bandar Hussien Onn, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kira-kira 200,000 penduduk kawasan sekitar Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan Balakong di sini bakal menerima manfaat apabila sebuah klinik kesihatan bakal dibina di Persiaran Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn.

Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, kemudahan yang bakal direalisasikan itu merupakan usaha para pemimpin Barisan Nasional di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu, selain permintaan penduduk sendiri.

"Klinik kesihatan itu bakal dibina di tanah seluas 2.89 ekar di Persiaran Suadamai selepas permohonan diluluskan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan," katanya dalam sidang akhbar bagi mengumunkan mengenai pembinaan klinik kesihatan itu di sini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Cawangan Bandar Tun Hussein Onn; Datuk Che Ab. Ghani Che Lah, Ahli Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia; Datuk Dr. Lai Kwong Choy dan Pengerusi Rukun Tetangga Bandar Tun Hussein Onn, Roslan Hassan.

Menurut Pian Hon, projek itu dijangka akan dimulakan secepat mungkin selepas urusan pemilihan tender selesai.

Bagaimanapun katanya, kos pembinaan klinik kesihatan itu belum dapat dipastikan kerana beberapa perkara termasuk pelan reka bentuk masih diperingkat rancangan.

"Kerajaan amat prihatin dan memahami kehendak penduduk di sini dan ia bukan janji pilihanraya semata-mata," katanya.

Tambah Pian Hon, selain klinik kesihatan, pusat sosio ekonomi di kawasan Balakong turut dicadangkan, selain Klinik 1Malaysia yang telah dibina.

Dalam perkembangan lain, Pian Hon turut mengumumkan cadangan projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat bakal direalisasikan di tapak seluas 1.53 ekar di Jalan Suakasih.

"Saya telah menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat pada November tahun lalu yang memaklumkan cadangan pembinaan tersebut telah diberi keutamaan dalam senarai permohonan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Pelaksanaannya akan dilakukan dengan kadar segera selepas peruntukan dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri diluluskan," ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan projek tersebut boleh menghadiri Majlis Pengesahan Tapak Klinik Kesihatan (Jenis 3) di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras , Sabtu ini.

Majlis akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Program yang bermula dari pukul 9.30 pagi itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, cabutan bertuah dan pameran kesihatan.

Mangsa tanah runtuh pindah semula Ahad ini

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Abdullah Marjunid (kanan) menerangkan mengenai status terkini tebing runtuh di Blok B, Pangsapuri Beringin, Batu 13, Puchong, Selangor kepada Abdul Razak Elias (kiri) dalam lawatannya ke pangsapuri berkenaan, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL

PUCHONG 28 Mac - Seramai 228 penghuni Blok B, Pangsapuri Seri Beringin, Pusat Bandar Puchong di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kelmarin dijangka berpindah semula ke kediaman masing-masing, Ahad ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Abdullah Marjunid berkata, pihak kontraktor Indah Water Konsortium (IWK) telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan paip pembentungan dan pengukuhan tebing.

Menurutnya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga telah dilantik untuk menjalankan penyiasatan tapak bagi menilai tahap kestabilan struktur bangunan di lokasi kejadian.

"Setakat ini Ikram mengesahkan pangsapuri berkenaan berada dalam keadaan baik dan kerja-kerja pengukuhan tebing akan diteruskan dari semasa ke semasa,''katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di lokasi terlibat, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP. Abd. Razak Elias.

Menurut Abdullah, hasil siasatan mendapati runtuhan adalah disebabkan kerosakan dan kebocoran paip pembetungan yang tidak diurus dan diselenggara dengan sempurna.

"Kerja-kerja baik pulih yang melibatkan kos kira-kira RM500,000 ini perlu dilakukan segera selepas mengambil kira kesulitan penduduk lebih-lebih lagi sesi persekolahan akan bermula minggu depan,"katanya.

Sementara itu, Abd. Razak turut menasihatkan penghuni yang ingin mengambil barang-barang mereka perlu melaporkan kepada pegawai polis bertugas di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) Pangsapuri Seri Beringin, Tiagrajah Raj berharap kerja-kerja pembaikan segera diselesaikan.

Katanya, pihak pemaju pangsapuri juga dirayu agar dapat bertemu penghuni bagi menjelaskan sesuatu berhubung kejadian itu.

Anggota keselamatan dihargai

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua dari kiri) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang pesara polis dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Bukit Jalil kepada 99 bekas polis dan tentera dan Majlis Cabutan Bertuah di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mac - Seramai 99 bekas tentera dan polis hari ini menerima surat tawaran menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tawaran itu dibuat sebagai penghargaan kerajaan melalui kementeriannya di atas sumbangan mereka kepada negara selama ini.

Menurut Raja Nong Chik, mereka merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama yang terdiri daripada 584 orang kelainan upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal menerima tawaran sama Januari lalu.

"Pemberian surat tawaran ini juga berdasarkan permintaan beberapa persatuan anggota keselamatan itu yang telah mengemukakan permohonan untuk menyewa di rumah PPR.

"Mereka boleh menduduki rumah tersebut setelah membayar deposit kepada DBKL," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada 99 bekas tentera dan polis dan Majlis Cabutan Bertuah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, menurut Raja Nong Chik, seramai 40,000 orang memohon untuk menyewa di PPR dan Perumahan Awam (PA).

Dalam majlis itu, sebanyak 81 penyewa yang layak serta tidak mempunyai tunggakan sewa sehingga untuk tempoh Januari hingga Disember 2012 dipilih menerima hadiah cabutan bertuah.

"Pemberian hadiah cabutan bertuah ini bukan gula-gula dari kerajaan tapi sebagai inisiatif dan dorongan untuk mereka membayar sewa tepat pada masanya," ujarnya.

Sementara itu, pesara polis, Yahya Tani, 72 berkata, dia gembira dengan tawaran tersebut kerana sebelum ini terpaksa membayar sewa RM500 setiap bulan.

"Dengan sewa yang ditawarkan serendah RM124, saya yakin sesiapa pun mampu untuk membayarnya," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Abdul Yahya Jusoh, 63, juga pesara polis.

Katanya, dia berasa terharu dan gembira kerana penantiannya selama enam tahun berakhir.

"Saya bersyukur ditawarkan menyewa PPR ini kerana sebelum ini terpaksa menumpang rumah anak- anak di Pulau Pinang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan