Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Tidak tahan bau busuk kilang baja

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penduduk mengadakan perhimpunan aman membantah operasi sebuah kilang memproses baja yang didakwa menyebabkan pencemaran bau di Kawasan Perindustrian Silibin di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 29 Mac - Penduduk di enam taman perumahan berhampiran kawasan Perindustrian Silibin di sini mendesak pihak berkuasa menangani masalah bau busuk berpunca daripada kilang memproses baja yang beroperasi di kawasan itu sejak empat bulan lalu.

Tindakan pemilik kilang tersebut menjadikan sebuah lagi premis lain sebagai tempat memproses bahan berkenaan lebih memburukkan keadaan kerana kawasan perumahan terbabit dicemari bau najis ayam.

Seorang penduduk, Nelson Ng, 60, mendakwa, akibat menghidu bau busuk tersebut, isterinya mengalami jangkitan paru-paru dan terpaksa dibedah kerana dijangkiti bakteria akibat menghidu udara kotor dan tercemar.

"Bayangkan sejak Disember lalu setiap hari kami terpaksa menghidu bau yang sangat busuk umpama bau mayat. Keadaan lebih buruk apabila musim hujan dan angin bertiup kencang kerana bau merebak ke seluruh kawasan perumahan.

"Pekerja di kilang saya turut merungut dan tidak mahu bekerja lebih masa gara-gara tidak tahan dengan bau busuk itu," katanya.

Nelson ditemui selepas mengadakan bantahan bersama kira-kira 100 lagi penduduk di hadapan kilang berkenaan hari ini.

Dalam perhimpunan yang berlangsung hampir 10 minit tersebut, penduduk terbabit yang tinggal di Taman Silibin, Taman Silibin Ria, Taman Pertama, Taman Utama, Taman Tinggi dan Taman Risha membawa sepanduk tertera Tak Nak Kilang Berbau Busuk.

Seorang lagi penduduk, Sarban Singh, 58, berkata, akibat bau busuk yang meloyakan itu, dia dan keluarganya yang baharu tinggal di Taman One Utama dekat sini berasa amat tidak selesa dan sering mengalami sesak nafas.

"Saya membeli rumah bernilai RM600,000 di kawasan belakang kilang itu. Meskipun duduk di rumah yang selesa, namun bau busuk itu amat tidak menyenangkan kami sekeluarga.

"Anak saya sendiri yang pulang bercuti pada setiap hujung minggu enggan pulang ke rumah lagi akibat tidak tahan dengan bau tersebut. Saya amat berharap pihak bertanggungjawab dapat bertindak, kasihanilah kami," katanya.

Jirannya, Chin Wei Asiung, 27, pula berkata, pencemaran bau yang berlaku perlu diatasi segera kerana keadaan itu menjejaskan kesihatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.

"Penduduk telah menghantar surat bantahan kepada kilang tersebut tetapi tidak diendahkan. Kita berhasrat merujuk masalah ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh dan membuat laporan polis jika kilang tersebut terus beroperasi," katanya.

50,000 bakal meriahkan Hari Terbuka ATM

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Md. Dzahir Abd. Rashid (belakang, di tengah) bersama para pegawai 2 Briged menyampaikan risalah Hari Terbuka ATM kepada orang ramai sewaktu kempen publisiti aktiviti berkenaan di Padang Polo, Ipoh, kelmarin.

IPOH 29 Mac - Orang ramai yang berminat untuk mencuba sendiri senjata serta peralatan perang anggota keselamatan negara dipelawa memeriahkan Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan diadakan selama dua hari bermula 6 April depan.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Md. Dzahir Abd. Rashid berkata, program yang diadakan sempena Hari Sukarelawan Komuniti Ketenteraan (MCVD) itu akan diadakan serentak di 39 kem di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 pengunjung disasarkan hadir memeriahkan program yang akan diadakan di tiga lokasi di Perak iaitu di Kem Syed Putra, Tambun; Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut serta di Padang Esplanade, Taiping.

Menurut Md. Dzahir, program yang bertemakan Tentera dan Rakyat Sentiasa Bersama itu antara lain bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara anggota keselamatan negara bersama masyarakat.

"Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran statik melibatkan peralatan ketenteraan serta pameran helikopter Nuri akan diadakan. Kita mahu rakyat daripada seluruh kaum hadir memeriahkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang mempromosikan program tersebut kepada orang ramai di sekitar Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Hari Sukarelawan Komuniti Ketenteraan yang dianjurkan sebagai kesinambungan program My Beautiful Malaysia, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan, Pahang pada 6 April depan.

Di Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir akan merasmikan program tersebut di Pangkalan TLDM Lumut manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim pula akan menyempurnakan majlis perasmian di Padang Esplanade Taiping dan Kem Syed Putra.

Dalam pada itu, Md. Dzahir berkata, pelbagai program lain telah diatur termasuklah sukan rakyat melibatkan anggota tentera dan masyarakat merangkumi tiga kategori iaitu dewasa, kanak-kanak serta pasangan.

Beliau berkata, pihak tentera turut menganjurkan program khidmat masyarakat seperti derma darah serta pemeriksaan pergigian dan kesihatan dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Selain itu, terdapat juga acara senamrobik, persembahan kugiran dan artis jemputan, tarian kebudayaan serta cabutan bertuah," kata beliau lagi.

Gembira dapat rumah baharu

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Toh Chin Leong menunjukkan rumah baharu yang dibina untuk Sukri Mat (tengah) dan ibunya, Rahimah Hamid (di atas kerusi roda) menerusi program MyHome di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 29 Mac - Seorang buruh di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun di sini gembira apabila rumah pusaka keluarganya yang berusia 80 tahun terpilih menerima bantuan pembinaan dan baik pulih oleh IJM Land Berhad melalui program MyHome.

Rumah baharu itu siap dibina oleh IJM Land Berhad pada penghujung tahun lalu dengan kos RM25,000.

Sukri Mat, 45, berkata, dia bersama tiga anaknya kini tinggal dengan selesa setelah rumah papan dua tingkat yang sudah uzur digantikan dengan rumah baharu.

"Banyak bahagian dalam rumah lama telah reput dan bumbung kerap bocor setiap kali hujan.

"Bagaimanapun saya lega kerana permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan beberapa tahun lalu diterima dan IJM Land sudi membina rumah baharu untuk kami," katanya pada majlis penyerahan rumah itu di Jalan Kolam Air, Cherok Tok Kun di sini semalam.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengurus IJM Land Berhad Wilayah Utara, Toh Chin Leong.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Korporat) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdullah Abdul Rahman.

Kata Sukri, sebelum rumahnya dibaiki oleh IJM Land, ibunya Rahimah Hamid, 75, turut menetap di situ tetapi kini tinggal bersama kakaknya, Kamisah Mat, 49, di Kulim, Kedah kerana masalah kesihatan.

"Saya hanya buruh di Jabatan Pertanian dengan pendapatan RM800 sebulan dan menggunakan sebahagian gaji untuk membiayai sekolah anak dan kos perubatan ibu.

"Dengan bantuan rumah baharu ini saya tidak lagi bimbang dengan masalah kerosakan dan kebocoran apabila tiba musim hujan," jelasnya yang sudah berpisah dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan