Utusan Online - Politik |
Sanggup hina Nabi untuk kepentingan politik Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT Dipetik dari akaun Twitter @fahmipkg milik Khairul Fahmi Mat Som. KUALA LUMPUR 30 Mac - Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu. Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan. "Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah. "Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu. Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO." Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam. "Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah. "Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya. Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut. |
Wanita BN tubuh pasukan khas kawal keselamatan pengundi PRU-13 Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT KUALA LUMPUR 30 Mac - Pergerakan Wanita UMNO akan menubuhkan pasukan khas bagi mengawal keselamatan orang ramai, sekali gus menangkis strategi kotor mana-mana pihak yang cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penubuhan pasukan itu penting bagi memastikan hak mengundi rakyat tidak dicuri oleh parti pembangkang yang didakwa begitu licik merancang pelbagai angkara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu. Jelasnya, ketika ini Wanita sudah mula menyusun strategi dan akan mengerakkan pasukan khas itu ke semua pusat mengundi seluruh negara. "Saya beri amaran awal kepada parti pembangkang, Wanita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk anggota keselamatan bagi memastikan pengundi dapat keluar mengundi dan melunaskan hak mereka di bawah undang-undang Malaysia dalam suasana aman. "Kemungkinan besar mereka mahu mencipta suasana huru-hara itu kerana cemas dan takut tewas dalam pilihan raya umum nanti berikutan sokongan padu yang ditonjolkan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Beliau berkata kepada pemberita dalam majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Desa Tasik sempena sambutan Hari Polis Ke-206 di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Syed Mohd.; Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar. Dalam perkembangan sama, Shahrizat memberikan jaminan kepada pengundi di negara ini bahawa keselamatan mereka akan dijaga dan rakyat tidak perlu sesekali takut dengan rancangan pembangkang itu. "Jentera Wanita bersiap-sedia menjadi benteng dalam memastikan keamanan dan kemakmuran negara serta keselamatan orang ramai sentiasa terjamin pada hari mengundi nanti," katanya. Sehubungan itu katanya, Wanita juga akan memulakan gerakan memaklumkan kepada rakyat, sekali gus membongkar rahsia pembangkang untuk mewujudkan kekecohan di pusat mengundi seperti yang didedahkan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di dalam akhbar. Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut menyampaikan Baucar Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia@Hati Rakyat (Karisma) kepada penduduk perumahan tersebut. Habis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan