Utusan Online - Pahang |
- Kerajaan sementara wujud
- Naik taraf R&R Temerloh bermula Isnin ini
- Gajah rosakkan tanaman kelapa sawit
Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT Oleh Shahrinnahar Latib Adnan Yaakob (kiri) melihat pertunjukan oleh anggota TLDM ketika hadir pada Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Negeri Pahang di Markas Wilayah Laut Pangkalan (TLDM) Tanjung Gelang, semalam. KUANTAN 30 Mac - Perjalanan urusan kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang terbubar secara automatik pada 8 April ini. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selepas DUN Pahang terbubar, kerajaan sementara akan diwujudkan dan segala urusan pentadbiran diteruskan sehingga pilihan raya. "Tetapi kerajaan sementara ini tidak boleh membuat keputusan yang membabitkan beberapa perkara seperti soal dasar dan perbelanjaan baru," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini. Yang hadir sama, Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Muda Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff. Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam beliau berkata, perbincangan kira-kira 20 minit itu telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding. "Tetapi senarai nama tersebut boleh ditukar mengikut kesesuaian keadaan sehingga hari penamaan calon," katanya. Dalam pada itu beliau berkata, program-program tranformasi yang dijalankan oleh Perdana Menteri selama ini menunjukkan kebaikan kepada rakyat. |
Naik taraf R&R Temerloh bermula Isnin ini Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT KUANTAN 30 Mac - Syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad akan memulakan kerja-kerja menaik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di kedua-dua arah selama tiga bulan bermula Isnin ini. Menurut Pengarahnya, Wan Razali Muda, kerja-kerja tersebut melibatkan penutupan tandas dan surau di kedua-dua arah kawasan R&R berkenaan manakala gerai makanan, buah-buahan dan stesen minyak beroperasi seperti biasa. "Kita memberi jaminan akan menyediakan sejumlah tandas dan surau sementara mencukupi bagi pengguna yang singgah di kawasan terbabit. "Bagaimanapun, sebagai langkah alternatif, pengguna lebuh raya boleh memilih untuk menggunakan R&R terdekat di R&R Gambang atau Hentian Sebelah Maran yang menghala ke Kuantan. "Bagi yang menghala ke Kuala Lumpur pula, mereka boleh membuat pilihan di Hentian Sebelah Lanchang atau Hentian Sebelah Genting Sempah," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Jelas beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada proses naik taraf melibatkan keseluruhan R&R dan hentian sebelah di sepanjang LPT yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun bermula di R&R Temerloh, Gambang dan terakhir di Genting Sempah. "Langkah ini merupakan inisiatif ANIH sebagai pemegang konsesi LPT dalam usaha berterusan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan," katanya. Sehubungan itu, kata Wan Razali, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan kerja-kerja berkenaan dengan menaikkan papan tanda di lokasi terbabit untuk kemudahan orang ramai dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 09-5479111. |
Gajah rosakkan tanaman kelapa sawit Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT HAIROL Azmi Musa (kiri) bersama Che Ibrahim Omar melihat pokok kelapa sawit yang rosak akibat dimusnahkan sekumpulan gajah di Felda Tekam Utara semalam. JERANTUT 30 Mac - Para peneroka di Felda Tekam utara di sini bimbang berikutan kehadiran sekumpulan gajah yang masuk ke ladang sawit mereka sehingga merosakkan tanaman tersebut baru-baru ini. Seorang peneroka, Khairol Azmi Musa, 44, berkata, kejadian tersebut disedari pada 26 Mac lalu dan membabitkan lapan gajah yang menceroboh dua kawasan ladang serta telah memusnahkan sebanyak 15 pokok kelapa sawit yang melibatkan kerugian RM4,000. Menurutnya, dia menyedari kehadiran haiwan itu pada pukul 8 malam yang dipercayai datang dari arah Hutan Simpan Berkelah berdekatan dengan tanah rancangan ini. "Kita meminta para peneroka bersatu dengan memberi kerjasama kepada pihak tertentu dalam memasang pagar elektrik di ladang masing-masing. "Langkah itu bertujuan bagi mengelak haiwan tersebut terus memasuki ladang dan memusnahkan pokok kelapa sawit di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Khairol berkata, sekiranya tiada tindakan diambil, para penduduk bimbang haiwan tersebut akan memasuki kampung dan mengancam keselamatan penduduk di sini. Bagi seorang lagi penduduk, Che Ibrahim Omar, 60, pada pukul 11 malam kejadian itu, dia bersama beberapa petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah itu masuk semula ke dalam hutan berhampiran. ''Jika ancaman gajah ini berterusan sudah tentu peneroka akan mengalami kerugian besar. ''Oleh itu, saya menyeru peneroka di sini supaya memberi kerjasama kepada pihak berkenaan dalam usaha membina pagar elektrik untuk kebaikan bersama," katanya. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas, 56, berkata, kejadian itu sudah berlarutan sejak 2009 dan kumpulan gajah tersebut akan kembali untuk mendapatkan makanan dengan musnahkan pokok kelapa sawit peneroka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan