Khamis, 5 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


DAP jadi 'abang besar'

Posted:

DAP jadi 'abang besar'

DAP jadi 'abang besar'

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM


Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nizar Jamaluddin, Lim Kit Siang serta calon pembangkang menunjukkan manifesto yang dilancarkan pada pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini.


KABINET bayangan Sarawak yang diumumkan oleh Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng pada 1 Mei lalu dilihat banyak pihak sebagai manifestasi gerak langkah kedua parti itu untuk menjadi 'abang besar' di kalangan parti pembangkang negeri berkenaan.

Sebelum ini, sejurus menawan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri 16 April lalu, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang mencadangkan idea penggabungan parti berkenaan dengan sebuah lagi parti pembangkang tempatan iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).

Motif penggabungan itu jelas, ia umpama pengakuan DAP bahawa mereka tidak akan sesekali mampu memerintah negeri ini tanpa sokongan kaum bumiputera kerana kerusi kaum Cina semata-mata tidak akan mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Cadangan penggabungan itu membuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cukup terluka kerana Snap sebelum ini terlibat dalam drama tarik tali dengan parti itu dalam soal pengagihan kerusi sehingga akhirnya mereka bertembung sesama sendiri.

Belum sembuh luka berkenaan, DAP sekali lagi bertindak umpama 'menitiskan perahan air limau' di atas luka itu apabila mengumumkan senarai Kabinet bayangan yang dimonopoli mereka.

Daripada 16 anggota Kabinet berkenaan, 12 orang ialah daripada DAP, manakala PKR hanya tiga dan Pas pula hanya seorang-barangkali untuk menjaga hati parti itu walaupun ia kalah di lima kerusi DUN yang ditandingi.

PKR benar-benar tercabar dengan pengumuman DAP Sarawak itu sehingga Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa barisan Kabinet bayangan itu hanyalah cadangan DAP dan ia belum muktamad.

"Ia akan dibincangkan, ia masih belum muktamad lagi dan itu hanya cadangan DAP sahaja," kata Anwar.

Barangkali Anwar mengharapkan DAP Sarawak memberi lebih banyak peranan kepada PKR sementelah pembangkang sewaktu tempoh kempen pilihan raya negeri baru-baru ini mengumumkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri jika pembangkang mencapai kejayaan.

DAP Sarawak pula menggunakan sifir mudah, siapa yang paling banyak kerusi, dialah yang akan mendominasi dan kerana itulah Ho Leng diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

Dan perkara itu juga sepatutnya berlaku di peringkat Dewan Rakyat namun DAP pusat cukup bijak merangka strategi dengan tetap menyerahkan kerusi Ketua Pembangkang kepada Anwar walaupun jumlah kerusi PKR sudah berkurangan berbanding DAP.

Bagaimanapun, sikap bermuka-muka DAP di peringkat Dewan Rakyat tidak berlaku di Sarawak dan DAP memanfaatkan kelebihan yang mereka miliki tanpa perlu memberi perhatian kepada PKR.

Kerana itulah amarah PKR tidak sukar untuk dilihat, malah Baru dalam laman webnya www.barubian.net hari ini membuat satu kenyataan rasmi yang menegaskan barisan Kabinet bayangan itu tidak dibincang dan dirunding secara teratur.

"Kali pertama saya melihat senarai barisan Kabinet bayangan adalah pada pukul 1.20 petang, 10 minit sebelum sidang akhbar (pengumuman Ho Leng) yang pada 1.30 petang yang dihantar oleh Vernon Kerdit (pegawai media PKR Sarawak) melalui Blackberry" katanya.

Menurut Baru lagi, barisan Kabinet bayangan versi DAP itu tidak memberi gambaran perwakilan yang seimbang antara orang Islam dan bumiputera bukan Islam.

Dalam bahasa mudah, Baru mengingatkan DAP bahawa barisan Kabinet bayangan itu terlalu kecinaan sedangkan Sarawak mempunyai rakyat berbilang bangsa.

Ho Leng sebagai arkitek kemenangan DAP di Sarawak juga tidak berdiam diri dengan asakan PKR itu dan mendakwa Anwar tidak menerima maklumat yang tepat mengenai isu Kabinet bayangan Sarawak daripada wakil PKR yang menghadiri mesyuarat majlis pakatan pembangkang negeri.

Tegasnya, walaupun Baru tidak dapat hadir, beliau menghantar tiga orang wakil manakala dua wakil Pas pula tidak dapat hadir tetapi mengemukakan notis.

"Barisan Kabinet bayangan Sarawak diumumkan selepas perundingan yang teratur dalam mesyuarat majlis di Kuching pada petang itu," tegasnya.

Jika kenyataan Ho Leng lebih berlapik, lain pula dengan Setiausaha DAP Sarawak merangkap ADUN Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang membuat kenyataan yang agak keras.

"Saya tidak tahu sama ada Anwar diberi taklimat menyeluruh dalam isu ini dan saya tidak fikir dalam isu seperti menubuhkan Kabinet bayangan memerlukan kelulusan dari Semenanjung," katanya.

Kenyataan demi kenyataan pimpinan PKR dan DAP dalam isu Kabinet bayangan yang tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Sarawak sebenarnya cukup menggelikan hati, jika dalam isu seperti itu mereka bertelagah pastinya keadaan makin kritikal jika berjaya membentuk kerajaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Di sebalik kematian Beng Hock

Posted:

Di sebalik kematian Beng Hock

Di sebalik kematian Beng Hock

Oleh NURUL ANUAR KARI


Seorang LELAKI cuba menghalang kenderaan dinaiki Pengarah Bahagian Perundangan dan pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, selepas kes perbicaraan kematian Teoh Beng Hock di Shah Alam, pada 18 Ogos tahun lalu.


KES kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menjadi duri dalam daging untuk semua agensi penguat kuasa di negara ini.

Sebelum ini, pelbagai dakwaan dilontar kepada SPRM sehingga ke tahap ada yang mendakwa pegawai SPRM sendiri membunuh Beng Hock, seorang saksi penting dalam siasatan mereka.

Kebanyakan anggota masyarakat yang bijak menilai dengan segera menolak dakwaan sedemikian kerana memahami ada pihak tertentu yang cuba mengalih perhatian umum daripada siasatan penyelewengan di negeri Selangor.

Tujuan pihak berkepentingan melengah-lengahkan usaha menyelesaikan siasatan kes itu juga semakin terbongkar melalui prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja yang sedang berlangsung kini apabila satu persatu hasil siasatan SPRM mula dikongsi dan didedahkan. Pendedahan tersebut semakin menunjuk ke arah kemungkinan sesuatu yang tidak kena dan mencurigakan telah atau sedang berlaku di kalangan individu tertentu dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Hakikatnya, anggota exco kerajaan negeri itu merupakan antara yang paling lantang melaungkan sokongan menentang penyelewengan dan rasuah selama ini tetapi kini dilihat tidak mahu atau kurang memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan SPRM.

Pelbagai alasan dan taktik mengalih perhatian diambil terutamanya dihebohkan dalam media alternatif ketika SPRM cuba mendapatkan kerjasama mereka seterusnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada rakyat. Terbaru, Tv Selangor melalui portal www.selangorkini.com.my melaporkan pada 25 April lalu bahawa bekas majikan Beng Hock, Ean Yong Hian Wah menafikan pembabitan mendiang selaku orang tengah dalam urusan sebut harga dengan kontraktor.

Hian Wah juga didakwa mengutuk SPRM yang menyatakan wujud kaitan Beng Hock dan parti DAP dalam urusan sebut harga tersebut ketika prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja berlangsung, seolah-olah menunjukkan berlaku penerimaan rasuah dan komisen daripada kontraktor.

Pada 26 April lalu, portal berita Malaysiakini pula melaporkan SPRM gagal mencari bukti salah guna dana kerajaan negeri Selangor membabitkan Hian Wah di bawah Seksyen 18, Akta SPRM.

Portal itu turut melaporkan reaksi segera Hian Wah terhadap laporan tersebut dalam laman Facebook beliau dengan menulis, "Selepas menunggu lebih dua tahun, keadilan akhirnya tiba jua."

Persoalannya, adakah siasatan SPRM sudah selesai dalam kes tersebut dan benarkah keputusan rasmi siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan itu adalah 'tiada aktiviti penyelewengan atau rasuah dikesan'?

Lee Wye Wing, kontraktor yang menjadi saksi ketika prosiding itu sendiri mendakwa Beng Hock menjadi orang tengah mengenai sebut harga tetapi siasatan terpaksa dihentikan separuh jalan apabila saksi penting kes, Beng Hock 'mati mengejut'.

Pada prosiding sama, Pemangku Penguasa Kanan SPRM, Ahmad Shafik Abdul Rahman @ Alwee mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada saksi lain, siasatan diganggu malahan pegawai-pegawai suruhanjaya itu turut menerima ugutan selepas kematian Beng Hock.

Kenyataan Ahmad Shafik menunjukkan siasatan kes penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor itu belum selesai dan dengan itu sepatutnya belum mempunyai keputusan rasmi.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri yang diminta memberi penjelasan umum prosedur kertas siasatan menjelaskan tiada istilah kes ditutup kerana sesuatu kes hanya 'selesai' secara rasmi selepas dikemukakan kepada mahkamah atau pihak pendakwaraya.

"Bagi pihak polis, kes bermula dengan laporan salah laku jenayah, disiasat jika wujud keraguan maklumat dengan merakam percakapan pihak terbabit dan maklumat berkaitan dan berakhir dengan tangkapan.

"Kes selesai selepas dibawa ke mahkamah sahaja dan jika tidak, akan kekal sebagai 'dalam simpanan' iaitu kes berkenaan boleh disambung siasatan kelak jika terdapat maklumat baru," jelasnya.

Tambah Shafie, kertas siasatan yang belum lengkap akan disimpan sehingga mendapat bukti baru dan jika individu disiasat tidak bersalah, kes akan kekal 'dalam simpanan' sehingga ada bukti lain yang menunjuk kepada individu sebenar yang membuat kesalahan tersebut.

Mengikut penjelasan umum prosedur siasatan bermula dan berakhir itu, nyata sekali siasatan yang tertunda akibat kematian Beng Hock masih 'dalam simpanan' dan tiada pihak yang boleh mengaku dirinya telah dibuktikan tidak bersalah kecuali selepas mahkamah membuat keputusan.

Ini bermakna kenyataan 'gagal mencari bukti' bukan bermakna 'tidak bersalah', sebaliknya hanya menunjukkan siasatan masih berterusan dan tidak tamat selagi mahkamah tidak menetapkan keputusannya.

Oleh itu, bukan sahaja tidak wajar menuduh seseorang itu bersalah sebelum dibawa ke mahkamah, individu yang dikaitkan juga tidak boleh sesuka hati 'melepas dan membebaskan diri' daripada siasatan kes yang belum selesai.

Walaupun bukti kukuh masih belum ditemui mengaitkan aktiviti jenayah kepada individu atau kumpulan tertentu, Hian Wah selaku ADUN Seri Kembangan tidak sepatutnya memilih sendiri kontraktor dan 'membenarkan' penambahan nilai sebut harga berlaku.

Dalam kata lain, tindakan itu tidak salah dari sudut perundangan tetapi salah dari sudut moral terutamanya dengan laungan pentadbiran CAT (kecekapan, kebertanggungjawapan dan ketelusan) oleh DAP.

Dakwaan kaitan ahli keluarga Wye Wing (kontraktor) dengan parti itu juga menimbulkan persoalan sama ada amalan kronisme dan nepotisme sedang menular dalam DAP dan pihak pembangkang terutamanya di Selangor.

Wye Wing ketika prosiding itu berlangsung bersetuju dengan cadangan peguam SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa ada ahli keluarganya mempunyai hubungan dengan pemimpin tertinggi DAP.

Suruhanjaya itu turut dimaklumkan Wye Wing sebenarnya telah didakwa menggunakan nama syarikat bumiputera bagi mengaut projek-projek Kelas F di kawasan Seri Kembangan dan Kampung Tunku yang sepatutnya diperuntukan kepada kontraktor bumiputera.

Maka, secara moralnya bukan sekadar pemilihan kontraktor secara terus, malahan kontraktor dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menjalankan projek di Selangor dan bukannya kontraktor kelas F bumiputera.

Terkini, pegawai SPRM sama, Ahmad Shafik semalam menyatakan terdapat elemen kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan bersubahat ditemui selepas beliau mengambil alih siasatan yang sebelum ini dikendalikan SPRM Selangor.

Hian Wah, Beng Hock dan Wye Wing disyaki terlibat dalam kegiatan menipu kerajaan negeri Selangor dengan menyalahgunakan lesen syarikat kontraktor bumiputera bagi mendapatkan projek serta program di bawah peruntukan wakil rakyat.

Menurut Ahmad Shafik, walaupun kes itu merujuk kepada Seksyen 18 (tuntutan palsu), terdapat juga kesalahan lain yang boleh disiasat seperti Seksyen 23 (salah guna kuasa) atau menipu di bawah Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap kesalahan itu tidak dapat dilakukan berikutan kematian Beng Hock selain kontroversi dan keadaan yang tidak sesuai serta dipolitikkan pihak tertentu selepas kejadian tersebut.

Walaupun sukar atau tidak dapat dibuktikan berlakunya salah laku atau penyelewengan, pihak pembangkang terutamanya DAP di Selangor perlu bertindak membersihkan imej mereka berikutan perkembangan dan pendedahan kes tersebut.

Bukan semua rakyat Selangor begitu mudah diperolok untuk percaya apa sahaja oleh mana-mana pihak. Penilaian peribadi wakil rakyat oleh setiap pengundi akan menentukan sama ada mahu mengekalkan kepimpinan negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan