Sabtu, 14 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dari Pakistan ke Bukit Bintang

Posted: 13 May 2011 12:32 PM PDT

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya mematahkan cubaan sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Islamabad, Pakistan yang cuba membawa masuk heroin mentah seberat 214.5 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM37.8 juta di Pelabuhan Klang, pada 28 April lalu.

Taktik sindiket menyorokkan dadah terbabit di dalam bungkusan simen di satu daripada lima kontena simen gagal apabila kastam yang curiga dengan dokumen kargo itu mencatatkan alamat pembeli di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sedangkan kawasan berkenaan hanya berurus niaga produk berkaitan teknologi maklumat (IT) seperti telefon dan komputer.


Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yacub berkata, susulan itu kastam menahan lima unit kontena di Pelabuhan Utara pada 18 April lalu.

"Semua kontena didapati tiba ke negara ini dari Islamabad, Pakistan melalui Pelabuhan Karachi dan semakan borang pengimport mendapati setiap unit kontena diikrar membawa sebanyak 560 beg simen.


"Pada jam 3 petang, 28 April lalu unit penguat kuasa KDRM dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor yang menjalankan pemeriksaan rapi ke atas lima kontena simen menemui 278 bungkusan serbuk dipercayai heroin mentah seberat 214.5kg disorokkan dalam beg simen pada kontena pertama,"katanya dalam sidang akhbar di KDRM Pelabuhan Utara, semalam.


Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir.

Azis berkata, polis yang turut melakukan pemeriksaan mendapati heroin mentah itu dibungkus kemas dalam beg plastik serta disembunyikan di tengah beg simen.


Berikutan itu, kastam dengan kerjasama polis menahan dua warga Pakistan berusia 21 dan 27 tahun di sebuah kondominium di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur kerana dipercayai mendalangi kegiatan penyeludupan dadah pada 5 Mei lalu.

Azis berkata, kedua-dua suspek terbabit kini direman di Balai Polis Dang Wangi sehingga Selasa depan dan dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket antarabangsa itu bekerjasama dengan pengedar dadah tempatan untuk memproses dadah mentah bagi keperluan tempatan dan juga dieksport semula ke negara jiran.


"Harga dadah yang sudah diproses meningkat tiga kali ganda mengikut gred ketelitian memproses. Ini bererti dadah mentah seberat 214.5kg yang dirampas boleh dijual dengan harga pasaran melebihi RM100 juta," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2 maut kereta rempuh treler

Posted: 13 May 2011 12:22 PM PDT

KUANTAN: Seorang pengarah urusan syarikat swasta yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu atas urusan perniagaan maut apabila kereta mewah dipandunya merempuh belakang treler membawa muatan besi, di Kilometer 232.5, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berhampiran Plaza Tol Kuantan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, Muhammad Hilmy Hamzah, 34, dari Kampung Alor Melaka, Pulau Chondong, Kelantan, yang memandu Mercedes Benz S280, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.


Turut terbunuh di tempat kejadian ialah penumpang kereta berkenaan, Aziz Hussin, 49, dari Batu Pahat, Johor, juga dipercayai mengalami kecederaan sama.

Seorang lagi rakannya, Norhasni Ismail, 33, dari Seksyen 7, Bangi, Selangor, pula cedera di pipi kiri akibat terkena kaca dan masih menerima rawatan di Wad Pemerhatian di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat Muhammad Hilmy dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Kuantan selepas tersepit, manakala mayat Aziz dikeluarkan anggota polis di tempat kejadian.


Norhasli yang cedera dibawa orang awam ke HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut.

Katanya, kemalangan berkenaan apabila kereta dipandu Muhammad Hilmy dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler itu yang dalam perjalanan ke Kuantan.


"Pemandu treler terbabit yang berusia 50 tahun dari Batu Caves, Selangor, mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang sebelum berhenti di tepi jalan melakukan pemeriksaan lanjut.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian Norhasli dikatakan sedang tidur di tempat duduk penumpang hadapan dan mendakwa tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku," katanya.


Menurutnya, pada masa sama, polis mengambil keterangan pemandu treler terbabit untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.


Sementara itu, isteri Muhammad Hilmy yang baru lima bulan melahirkan anak kelima dan ditemui di HTAA, gagal ditemuramah kerana tidak dapat menahan kesedihan selepas mendapat tahu mengenai kemalangan terbabit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan