Sabtu, 11 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Rumah nelayan hampir roboh

Posted:

Rumah nelayan hampir roboh

Rumah nelayan hampir roboh

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


ABU Hassan Ahmad menunjukkan rumahnya yang hampir roboh di Kampung Sungai Baru, Kuala Sanglang, Jerlun, Kedah, kelmarin.


KUBANG PASU 10 Feb. - Seorang nelayan di Kampung Sungai Baru, Kuala Sanglang di sini, terpaksa membawa keluarganya menumpang rumah mertuanya di Utan Aji, Perlis kerana bimbang keselamatan mereka terancam disebabkan rumahnya hampir roboh akibat hakisan sungai.

Abu Hassan Ahmad, 57, berkata, dia membawa lima anak, termasuk isteri, Hasnah Kasa, 55, berpindah dari rumah itu sejak setahun lalu kerana struktur rumah yang semakin senget ke arah sungai.

"Saya pernah menerima bantuan membina rumah ini dua tahun lalu, tetapi kerja pembinaan tertangguh sehingga kini.

"Bahagian rumah yang menempatkan dapur dan bilik hampir menjunam ke sungai hingga memaksa saya menambat setiap penjuru rumah ke pokok dengan tali," katanya di sini semalam.

Menurutnya, apabila air sungai pasang ia melimpah ke ruang rumah menyebabkan kediaman diperbuat daripada kayu itu kian mereput.

"Saya sudah memohon bantuan membaiki rumah ini daripada pelbagai pihak, namun pelbagai dalih diterima kerana rumah saya terletak bersempadan antara Kedah dan Perlis.

"Saya bingung kerana pihak-pihak terlibat tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

"Sekiranya boleh saya tidak mahu menumpang di rumah mertua tetapi terpaksa," katanya yang sudah 20 tahun menginap di rumah itu.

Abu Hassan menambah, pendapatan sebagai nelayan RM700 sebulan tidak mencukupi untuk meneruskan kerja membina semula rumah itu.

Malah bertambah malang, sampan Abu Hassan mengalami kerosakan enjin dan kos membaikinya pula tinggi.

"Saya terpaksa menumpang sampan kawan-kawan yang hendak ke laut kerana sampan sendiri sudah rosak," katanya.

Ujarnya, setiap hari dia terpaksa berulang-alik dari Perlis ke Kuala Sanglang untuk ke laut dengan menumpang sampan rakannya selain menjenguk keadaan rumahnya.

Pihak yang ingin membantu Abu Hassan boleh hubungi talian 017-4297394.

UniMAP perlu jadi universiti tersohor – Raja Muda Perlis

Posted:

UniMAP perlu jadi universiti tersohor – Raja Muda Perlis

UniMAP perlu jadi universiti tersohor – Raja Muda Perlis

KANGAR 10 Feb. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkembang menjadi sebuah universiti yang berdaya usaha tersohor di rantau ini.

Bertitah ketika melancarkan program Business On Wheel UniMAP di sini kelmarin, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor universiti itu, yakin hasrat tersebut boleh direalisasikan melalui kesungguhan melaksanakan pelbagai program yang boleh menjana ekonominya dan para mahasiswanya.

Baginda berharap, program Business On Wheel akan menjadi penjana baharu aktiviti ekonomi, terutama yang melibatkan golongan siswazah.

Program kendalian anak syarikat Technopreneur@UniMAP Sdn. Bhd. itu bermula dengan program pemilihan usahawan siswazah dan mereka kemudiannya akan disalur dalam produk perniagaan terpilih, termasuk produk berjenama di bawah skim francais.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) universiti itu sudah pasti berupaya membimbing usahawan berpendidikan tinggi yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Baginda menyarankan, institusi pengajian tinggi mendekatkan diri dengan industri-industri, terutama industri kecil dan sederhana (IKS) untuk berkolaborasi bagi memastikan produk yang dihasilkan mempunyai pasaran.

"Kekangan yang wujud di institusi pengajian tinggi secara umumnya ialah kegagalan untuk mengkormersialkan produk. Ini pentingnya hubungan dengan sektor industri," titah baginda.

Sempena pelancaran program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut merasmikan bangunan PPIPT yang kini mempunyai 957 mahasiswa, termasuk 76 mahasiswa antarabangsa dengan 43 tenaga akademik dan enam kakitangan pentadbiran.

PPIPT beroperasi di empat blok bangunan yang disewa dan dilengkapi dengan bilik kuliah, bilik pensyarah, bilik mesyuarat utama, bilik diskusi, surau, bilik komputer dan inkubator teknousahawan.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin. - BERNAMA

410 penduduk kongsi RM205,000

Posted:

410 penduduk kongsi RM205,000

410 penduduk kongsi RM205,000


RAJA Ahmad Zainuddin (tengah) menyerahkan baucar BR1M kepada penduduk pada majlis penyerahan di Dewan Terbuka Ijok, Larut, kelmarin.


LARUT 10 Feb. - Seramai 410 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah di sini, menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang keseluruhannya berjumlah RM205,000 semalam.

Penyampaian baucar tunai yang setiap satunya bernilai RM500 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Zainuddin di Dewan Terbuka Ijok.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Raja Ahmad berkata, bantuan itu disalurkan oleh kerajaan bukan bertujuan untuk memancing undi, sebaliknya bagi meringankan beban golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Katanya, melalui bantuan berkenaan jelas membuktikan kerajaan komited memastikan rakyat menikmati arus pembangunan tanpa mengira latar belakang seseorang.

"Apa yang mustahak, semua pihak perlu 'membuka mata' yang BR1M akan memberi kesan jangka panjang dan diharap dapat membawa kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat," katanya.

Menurut Raja Ahmad, rakyat sewajarnya menilai dengan bijak dan rasional bagi setiap bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

"Ini kerana pelbagai langkah pembangunan telah direncanakan untuk semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan politik.

"Ia secara jelas menterjemahkan keupayaan ekonomi negara serta kepimpinan yang cekap dan mampu memberi jaminan kesejahteraan terhadap golongan berpendapatan rendah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan